Gadis dari Beaufort, Sabah Buktikan OKU Juga Mampu Kecapi Impian Mereka

453

Emy Aridah Binti Aripin, berusia 28 tahun, berasal dari Kg. Inuman, Beaufort, Sabah.

Beliau cuma mempunyai ketinggian 98cm dan berat 24kg, dikategorikan OKU fizikal (Achon/kerdil), namun itu tidak pernah menghalangnya mengecapi kejayaan dalam pendidikan dan hidupnya.

Emy Aridah adalah anak sulung dari 5 orang adik beradik. Beliau mendapat pendidikan awal di SK Maraba (1994-2000). Kemudian beliau meneruskan pelajaran di SMK Weston (2001-2006), Politeknik Kota Kinabalu -Diploma akauntansi (2007-2009), dan pada tahun 2014, beliau bergraduasi daripada Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan dianugerahi Ijazah Sarjana Muda Perakaunan.

Menurut Emy Aridah, sepanjang belajar di UMS, kawan-kawan banyak membantu dan mereka juga menawarkan diri menghantar beliau pergi dan balik kuliah, walaupun pihak UMS ada menyediakan pengangkutan khas untuk kemudahan beliau pergi kuliah.

Pensyarah-pensyarah juga banyak memberi sokongan dan mengambil berat tentang beliau. Menurut Emy Aridah lagi, beliau tidak aktif dalam aktiviti yang dianjurkan oleh pihak UMS. Hanya beberapa aktiviti saja yang beliau sertai kerana lebih fokus dengan pembelajaran.

Emy Aridah turut berkongsi bahawa beliau suka mencabar diri sendiri dan melihat sejauh mana kemampuan diri. Mungkin dari kecil ibubapa sentiasa mengajar dan membiasakannya melakukan aktiviti atau kerja yang perlukan ketahanan fizikal.

Tambah Emy Aridah lagi “saya pegang kata-kata bapa saya: tiada yang mustahil kalau kita berusaha, dan saya ingin buktikan OKU juga mampu melakukan aktiviti yang mereka minati”

Harapan Emy Aridah supaya masyarakat tidak memandang rendah terhadap golongan OKU dan sentiasa berfikiran terbuka.

Dorongan dan sokongan keluarga dan kawan-kawan banyak membantu beliau mencapai impian beliau

Comments

comments