40 orang alumni bergabung bantu jayakan program motivasi di SMK Pengiran Omar Sipitang, Sabah

82

Program motivasi “Semarak Minda, Menggapai Impian” adalah program khas untuk pelajar Pra-universiti SMK Pengiran Omar, Sipitang, Sabah telah diadakan dengan jayanya di SMK Pengiran Omar, Sipitang pada 5 hingga 7 Ogos 2016 yang lepas.

Seramai 208 orang pelajar dan 40 orang alumni yang bertugas sebagai fasilitator telah mengambil bahagian dalam program ini.

Program anjuran bersama Alumni Pra-universiti SMK Pengiran Omar ini bertujuan untuk membantu para pelajar pra-universiti yang baharu untuk meningkatkan motivasi mereka.

Alumni Pra-Universiti SMK Pengiran Omar, Sipitang merupakan antara bekas pelajar yang sedang menuntut dan sudah tamat pengajian dari seluruh Universiti Awam di Malaysia.

Penggerak penubuhan Alumni Pra-Universiti ini diilhamkan oleh Penolong Kanan Pra-Universiti SMK Pengiran Omar, Sipitang,   Cik Ramlah Binti Awang Ali dan dibantu oleh En Mohd Azwan Bin Mohd Yakof yang merupakan pendidik di Daerah Sipitang.

Matlamat penubuhan Alumni ini ialah supaya adanya satu saluran yang perlu diwujudkan bagi memastikan pengalaman dan kepakaran bekas pelajar-pelajar dapat digunakan untuk memacu kecemerlangan dan kemajuan sekolah, khasnya pelajar Pra-Universiti  SMK Pengiran Omar, Sipitang.

Alumni Pra-Universiti SMK Pengiran Omar, telah diberi peluang menyertai dan melaksanakan program dan aktiviti  bagi membawa impak yang lebih besar kepada kemajuan sekolah amnya.

Pihak sekolah sendiri pastinya menyimpan harapan agar pelajar-pelajar yang pernah menuntut di sini pulang semula untuk menabur bakti dan membantu pihak sekolah mencapai visinya menjadi pusat perkembangan pendidikan dengan iltizam untuk membina komuniti yang berilmu dan berkemahiran seiring dengan falsafah pendidikan kebangsaan.

Pada hari pertama program berlansung, peserta telah bekerjasama untuk membersihkan kawasan penginapan dan mendirikan khemah di padang sekolah.

Selepas itu, ice breaking diadakan sebagai sesi kenal-mengenali antara peserta dan fasilitator. Aktiviti permulaan yang telah diadakan iaitu LDK pertama ialah mengangkat belon atas kerusi diadakan untuk menguatkan lagi hubungan antara peserta.

Pada hari kedua, aktiviti senamrobik telah diadakan sebelum aktiviti fizikal dijalankan. Aktiviti dimulakan dengan ‘Explorace’ yang terdiri daripada 7 stesen.

Stesen yang paling mencabar adalah stesen ‘Water Confident’ yang diadakan di kawasan pantai dan laut.

Aktiviti ini dijalankan untuk menguji tahap kepimpinan ketua kumpulan bersama anak buahnya dalam mengendalikan tugas yang diberikan di dalam air. Namun, isu keselamatan peserta dititikberatkan dalam setiap aktiviti.

Selepas itu, para peserta dikehendaki untuk memasak makanan tengah hari menggunakan buluh. Aktiviti memasak ini bertujuan untuk mendedahkan para peserta dengan ‘survival skill’. Seterusnya, aktiviti ‘Team builiding’ seperti harga diri dan ‘freeze’ turut diadakan. Hubungan antara peserta kelihatan semakin rapat dan mampu bekerjasama antara satu sama lain.

Pada malam hari kedua, sesi soal jawab antara fasilitator dan peserta telah diadakan. Aktiviti ini bertujuan untuk memberikan peluang kepada para peserta untuk mendapatkan nasihat daripada para fasilitator tentang teknik belajar dan juga hala tuju untuk melangkah ke menara gading.

 Malam kedua diakhiri dengan aktiviti unggun api di mana para peserta mengelilingi unggun api dan menyanyi serta membalas pantun antara satu sama lain.

Pada hari terakhir, para peserta telah mengemas tapak perkhemahan sebelum majlis penutupan diadakan. Majlis penutupan telah dihadiri oleh tuan pengetua SMK Pengiran Omar, Sipitang iaitu En Hj Kula bin Hj Mamit, penolong-penolong kanan dan juga pensyarah.

 Ucapan perasmian yang disampaikan oleh tuan pengetua menyatakan beliau berharap agar aktiviti seperti begini harus diteruskan dan mengharapkan aktiviti tersebut mendatangkan impak yang positif kepada para peserta.

Secara keseluruhannya, program motivasi ini berjalan dengan lancar dan berjaya mencapai objektif yang telah ditetapkan oleh pihak penganjur.

Comments

comments