5 Info Menarik Tentang Pulut Panggang Sibu Sarawak!

705

Bandar Sibu, Sarawak sememangnya terkenal dengan jolokan “syurga makan”. Di Sibu, anda boleh menikmati pelbagai jenis makanan tradisi dan makanan tempatan seperti mee kampua, kompia, penyaram, kek lapis dan sebagainya, tambahan pula semua makanan ini boleh dibeli pada harga yang murah dan berpatutan.

Selain daripada makan-makan yang disenaraikan diatas, salah satu makanan yang kian popular dan ternama di Sibu adalah pulut panggang Sibu.

Kini pulut panggang Sibu sudah menjadi hidangan mesti bagi pengunjung-pengunjung yang datang melawat Sibu.

Berikut adalah beberapa fakta menarik tentang Pulut Panggang Sibu:

1. Rekod Pulut Panggang Terbesar dan Terpanjang di Malaysia

Pulut panggang gergasi, 22sm diameter, 5.5m panjang serta seberat 160kg (Kredit Foto : Khalid Zaini)

Pada 3 Ogos 2014 yang lepas, warga Sibu mencatatkan sejarah tersendiri apabila berjaya melakarkan nama dalam Malaysia Book of Records (MBOR) atas kejayaan menghasilkan pulut panggang terbesar dan terpanjang.

Pulut panggang yang dibalut dengan daun pisang itu berukuran 22sm diameter dan 5.5m panjang serta seberat 160kg.

2. Pulut Panggang Sibu Dikomersilkan 

Hasil kejayaan penyelidikan oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) yang dikhabarkan pada pengakhir tahun 2016 yang lepas turut membawa berita gembira kepada para pengusaha pulut panggang.

Menerusi hasil penyelidikan tersebut, pembungkusan inovatif dan produk pulut panggang sejuk beku berhasil meningkatkan jangka hayat produk itu antara 6 bulan hingga 8 bulan, sekali gus  membolehkan pulut panggang Sibu dikomersilkan ke serata tempat di Sarawak, dalam dan luar negara.

3. Bahan-bahan bagi menghasilkan Pulut Panggang Sibu

Antara bahan-bahan asas yang digunakan bagi menghasilkan pulut panggang adalah beras pulut, sedikit garam dan santan. Beras pulut akan dimasak terlebih dahulu sebelum dibalut dengan daun pisang.

Pulut yang siap dibalut akan dipanggang (Kredit Foto : Shutterbug Shutterbugs)

Pulut yang telah siap dibalut itu kemudiannya akan dipanggang buat seketika, sebelum ia dihidang dan boleh dijamu.

4. Rasa Pulut Panggang Sibu

Antara keunikan Pulut Panggang Sibu adalah ia tidak mempunyai inti atau kosong di bahagian dalamnya.

Disebabkan ketiadaan inti itulah membuatkan haruman aroma santan dan pulut yang telah dipanggang itu cukup memukau, dan rasa lemak-lemak pulutnya pula pasti akan membuatkan anda sentiasa terkenang-kenang akan pulut panggang Sibu.

Pulut Panggang Sibu dicicah sambal ikan bilis (Kredit Foto : Lee Xuan Ying)

Selain dimakan begitu saja, pulut panggang Sibu juga boleh dinikmati bersama dengan sambal ikan bilis atau perencah yang lain.

5. Pulut Panggang Kak Yam Nor

Antara pengusaha pulut panggang Sibu yang cukup popular di Sibu adalah Mariam Baie atau lebih dikenali sebagai Pulut Panggang Kak Yam Nor.

Salah seorang pekerja di Kak Yam Nor sedang memanggang pulut panggang (Kredit Foto : Warong Hunter)

Gerai Pulut Panggang Kak Yam Nor itu terletak tepi jalan di Kampung Hilir, dan juga di Jalan Bandong, Sibu.

Gerai Pulut Panggang Kak Yam Nor (Kredit Foto : Warong Hunter)

Gerai milik Mariam Baie ini dikatakan mampu mencatatkan jualan sebanyak 700 batang hingga 1000 batang pulut panggang setiap hari. Manakala di musim perayaan pula, jualan harian boleh mencecah sehingga 2800 batang.

Comments

comments