Ayam hidup dibalut dengan surat khabar di Sibu Sarawak, ini sebabnya!

    8292

    Sibu Central Market atau Pasar Sentral Sibu, Sarawak menempatkan lebih 1000 penjual dan dikatakan sebagai antara market yang terbesar di Malaysia.

    Suasana pasar tamu di Pasar Sentral Sibu (Kredit Foto : Lam Ching Fu)

    Bagi sahabat-sahabat yang kali pertama berkunjung ke Sibu, Sarawak, salah satu keunikan atau pemandangan yang luar biasa yang anda boleh jumpai di market ini adalah keadaan dimana ayam hidup dibalut dengan surat khabar dan dijual di market tersebut.

    Ayam hidup yang siap dibalut dengan surat khabar (Kredit Foto : Juliana Semaon)

    Ini jauh sekali berbeza dengan keadaan di pasar-pasar yang pernah anda kunjungi sebelum ini, dimana ayam hidup dikurung dalam sangkar besi atau plastik sebelum dijual.

    Hanya di market Sibu ini, anda akan berpeluang melihat ayam hidup yang mahu dijual tidak dikurungkan dalam sangkar, sebaliknya ia dibalut dengan surat khabar, kemudian disusun di atas lantai atau meja atau secara bertingkat, siap untuk dijual kepada para pembeli.

    Ayam hidup yang sudah dibalut disusun atas meja atau rak untuk dijual (Kredit foto : Amy Hooi)

    Lebih unik – ayam ini tidak berkokok atau mengeluarkan bunyi bising. Jadi, ketika sedang berjalan-jalan di sekitar market, anda sebenarnya tidak akan terdengar kokokan ayam.

    Barangkali ayam-ayam ini “duduk” diam, seakan mereka tahu nasib yang bakal menimpa mereka.

    Sebab ayam dibalut dengan surat khabar : 

    1. Kebersihan 

    Terdapat dua sebab utama ayam hidup ini dibungkus sedemikian rupa. Pertama, para penjual ingin menjaga kebersihan pasar, mengelak najis ayam daripada bertaburan di atas lantai.

    2. Memudahkan urusan jual beli

    Kedua, pembungkusan sedemikian rupa juga bertujuan memudahkan urusan jual beli. Ayam hidup yang siap dibalut dengan surat khabar dan telah diikat dengan sempurna memudahkan para pembeli membawa pulang ayam hidup yang dibeli, dan menyenangkan kerja para penjual.

    Ayam hidup sentiasa menjadi pilihan penduduk di Sibu bagi memastikan kesegaran daging ayam. Lagi-lagi kalau tinggal jauh di kawasan jauh dari bandar Sibu.

    Sekurang-kurangnya dengan membeli ayam hidup, sampai di rumah nanti kualiti dan kesegaran daging ayam hidup adalah terjamin berbanding daging sejuk beku.

    Itik dan angsa juga dibalut dengan cara serupa (Kredit Foto : Yew Siang)

    Sekiranya anda berkunjung ke bandar Sibu, pastikan anda singgah di Sibu Central Market @ Pasar Sentral Sibu bagi melihat dan alami sendiri pengalaman yang luar biasa ini.

    Comments

    comments