Anak Muda Penan dari Hulu Baram, Miri Ini Berjaya Lepasi Viva Tesis Master!

439

Benard Upieh (Beinh Larusso) adalah anak jati Sarawak dari kaum minoriti Penan.

Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Kebangsaan Long Seridan iaitu sebuah sekolah di pedalaman Sarawak, lebih kurang 8 jam menaiki pacuan empat roda dari  Bandaraya Miri.

Menurut anak kedua daripada empat orang adik beradik ini, para pelajar kaum Penan yang bersekolah di Sekolah Rendah Kebangsaan Long Seridan tinggal di asrama kerana jarak rumah dan sekolah yang jauh.

Setiap hujung minggu pula, mereka berjalan kaki pulang ke kampung (berjalan kaki selama 3 jam). Bayangkanlah murid tahun satu, jalan kaki sejauh itu.

Setelah itu, beliau meneruskan persekolahan di SMK Marudi Baram yang terletak di Marudi (2 jam dari Bandaraya Miri).

Beliau bersekolah dari Tingkatan 1 hingga ke Tingkatan 6 Atas di sekolah tersebut sebelum mendapat tawaran kemasukkan ke universiti pada penghujung 2009.

Beliau berjaya mendapat tempat untuk menyambung pengajian Sarjana Muda dalam bidang Polisi Sekitaran Sosial (POSESO) di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan bergraduasi pada penghujung 2013.

Mengenangkan semula pengalaman membuat permohonan kemasukan ke universiti, Benard Upieh memberitahu beliau mahu berterima kasih kepada peribadi bernama Ezra Uda yang telah membantu beliau untuk membuat permohonan, memandangkan beliau pada masa itu buta IT.

Kata Benard Upieh: “dorongan utama saya menyambung pengajian ke peringkat Sarjana dan seterusnya PhD nanti adalah kerana kedua orang tua. Kedua orang tua saya telah banyak berkorban dari sekolah rendah dahulu sehingga ke hari ini. Jadi, saya mesti pulang dengan sesuatu yang boleh membuat mereka bangga”

“Saya berjumpa dengan bakal penyelia berbincang apa yang patut, sebelum mohon untuk Master di UMT. Akhirnya saya berjaya untuk sambung Master di sini bermula Feb 2014 dan Tamat pada Jan 2017. Terima kasih Tuhan! Itu saja yang mampu saya ucapkan”.

Penulisan tesis Sarjana beliau pula adalah berkaitan dengan kebergantungan dan pendayaupayaan ekonomi kaum Penan di Daerah Tutoh-Apoh, Sarawak berasaskan Modal Semula Jadi.

Mengikut Benard Upieh, dalam masa yang sama kaum Penan bergantung (terikat) dengan Modal Semula Jadi, mereka juga mendapat manfaat daripadanya dari segi ekonomi.

Sepanjang kerja lapangan, pengalaman beliau amat seronok sekali dan mendapat kerjasama komuniti sepenuhnya. Beliau gunakan RB Kajian Etnografi untuk kajiannya. Kata  Benard Upieh “apabila kita cintai apa yang kita buat, ia menjadi mudah”.

“Saya juga bercadang untuk meneruskan pengajian PhD di Universiti Malaysia Kelantan dan mahu fokuskan kajian berkaitan kaum Penan. Menuntut ilmu memerlukan kita merantau, jauh dari keluarga dan orang-orang yang kita sayangi, pengorbanan, pahit, manis-ini dinamakan pengalaman”

“Menuntut ilmu bukan sahaja di Universiti yang menjadi tempat kita meneruskan pengajian Ijazah, Sarjana atau PhD. Ia satu proses ke mana sahaja kita pergi. kita belajar setiap hari. Semakin kita belajar, semakin kita mempunyai perasaan ingin tahu dan ia berterusan begitu” ujarnya lagi.

Pesanan Benard Upieh buat anak muda, terutamanya yang tinggal di pedalaman: “Kita terjun ke dalam dunia pendidikan tidak kira bidang apa yang diceburi. Buatlah bersungguh-sungguh. Pasti ada hasilnya”.

“Kunci kepada setiap kejayaan adalah kerja keras. Jika belum berjaya lagi, maksudnya, kita belum membuat sehabis baik. Dalam masa yang sama, utamakan Tuhan dalam segala usaha, tidak kira apa pun agama”.

Comments

comments