121 sukarelawan siswa akan sertai misi sukarelawan dan berkampung di Miri, Sarawak

146

Borneodihati.org – Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) memulakan misi sulung pada tahun 2017 dengan menganjurkan Misi Sukarelawan Siswa YSS-ASEAN Ke Miri, Sarawak 2017 bersama sukarelawan siswa terpilih dari Universiti Awam (UA), Universiti Swasta (US), Kolej Komuniti, Politeknik dan Guru Pelatih Institusi Pendidikan Guru Malaysia (IPGM).

Misi sukarelawan ini akan berlangsung pada 09 Februari hingga 26 Februari 2017.

Misi kali ini akan melibatkan 5 buah kampung di Rumah Panjang (Rh) Buddy dan Rh Rawing di daerah Beluru, Rh Ayai dan Rh Mentali di Bekenu dan di Kampung Lajong, Niah.

Sepanjang pelaksanaan Misi Sukarelawan Siswa YSS-ASEAN ke Miri, Sarawak, sukarelawan siswa akan mengadakan sesi ‘Fun Learning’ yang menekankan penguasaan subjek Matematik, Sains dan Bahasa Inggeris.

Selain itu, sukarelawan siswa juga akan membantu membaiki fasiliti sekolah dan kawasan kampung seperti menyimen laluan pejalan kaki serta melukis mural dan mengecat bangunan sekolah. Program pendidikan kesihatan dan saringan kesihatan percuma juga akan dijalankan untuk penduduk kampung.

Lebih menarik lagi misi kali ini turut disertai 4 orang mahasiswa dari negara ASEAN iaitu dari Lao PDR dan Vietnam. Penglibatan mahasiswa dari negara ASEAN ini membuktikan YSS komited dalam mempromosikan semangat ASEAN dalam kalangan mahasiswa.

Misi Sukarelawan Siswa YSS-ASEAN Ke Miri, Sarawak dimulakan dengan ‘Pre-departure Training’ di Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) selama 2 hari bertujuan untuk memberi pengenalan dan persediaan kepada sukarelawan siswa sebelum berlepas ke Sarawak, ‘Bumi Kenyalang’.

Terdahulu YSS telah mengadakan misi sukarelawan di kawasan pedalaman Sarawak antaranya di Song, Kapit, Bintulu dan di kawasan pedalaman Kuching.

Bagi misi kali ini Miri dipilih sebagai lokasi untuk melaksanakan misi sukarelawan yang berimpak tinggi ini kerana Miri merupakan bahagian utama di negeri Sarawak yang belum diterokai YSS. Selaras dengan hasrat YSS untuk melebarkan sayap ke seluruh negeri Sarawak dalam keterlibatan komuniti tempatan selain merapatkan jurang kehidupan bandar dan luar bandar di Malaysia. – Yayasan Sukarelawan Siswa

Comments

comments