6 fakta menarik tentang Pasar Borneo Seri Kembangan Selangor

    331

    Borneodihati.org – Salah satu keunikan di mana adanya Orang Borneo adalah kewujudan pasar Tamu. Lihat sahaja di Sabah atau Sarawak, hampir setiap kawasannya tersedianya pasar Tamu. Bahkan ia dianggap seperti “shopping complex” bagi masyarakat setempat.

    Tamu merupakan sebuah tempat di mana para pengunjung boleh membeli pelbagai produk tempatan seperti sayur-sayuran, kuih-muih, masakan dan sebagainya. Tamu juga merupakan tempat bersosial bagi ahli komuniti bagi mengeratkan lagi hubungan antara mereka.

    Maka, tidak menghairankan kenapa warga Borneo yang sudah lama menetap di Semenanjung begitu merindui pasar Tamu di kampung halaman mereka.

    Apa pun, kerinduan terhadap Tamu ini pastinya terubat bagi Sabahan dan Sarawakian yang berada di Semenanjung dengan kewujudan Pasar Borneo yang terletak di Seri Kembangan, Selangor Darul Ehsan.

    Berikut saya kongsikan beberapa perkara menarik tentang Pasar Borneo Seri Kembangan :

    1. Idea Pasar Borneo Seri Kembangan 

    Pasar Borneo ini adalah idea daripada beberapa individu, iaitu Orang Asal, yang sudah lama menetap di Semenanjung.

    2. Tujuan Pasar Borneo Seri Kembangan

    Salah satu objektif penubuhan mereka adalah untuk memperkenalkan produk-produk berasaskan Borneo seperti makanan Borneo, sayur-sayuran Borneo, kuih Borneo serta pelbagai barangan dan produk tradisional dari Borneo.

    Jadi, apabila berkunjung ke sini, anda boleh mendapatkan pelbagai pilihan makanan, barangan dan produk Borneo.

    3. Kelulusan Pasar Borneo Seri Kembangan

    Sudah tentu, aspek perundangan dan kelulusan pihak berkuasa adalah perkara utama yang telah dipertimbangan dan diberi perhatian oleh Ahli Jawatankuasa (AJK) Pasar Borneo Seri Kembangan bagi melancarkan lagi pengoperasian “pasar tamu” ini.

    Permohonan untuk mengadakan Pasar Borneo Seri Kembangan telah pun mendapat kelulusan daripada Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ).

    4. Pembukaan dan rasminya Pasar Borneo Seri Kembangan

    Pasar Borneo Seri Kembangan telah mula dibuka kepada orang ramai dan beroperasi secara rasmi pada awal bulan April 2016. Acara perasmian telah berlangsung pada 9 April 2016 dan dirasmikan oleh Ahli Parlimen Serdang dan ADUN Seri Kembangan .

    5. Waktu Operasi Pasar Borneo Seri Kembangan

    Pasar Borneo Seri Kembangan dibuka setiap Sabtu dari jam 7.00am hingga 11.00am dan bertempat di Jalan Jinma 7, Pusat Seri Kembangan.

    6. Terbuka Kepada Semua Bagi Mengunjungi Pasar Borneo 

    Pasar Borneo ini bukan hanya terhad kepada masyarakat Borneo sahaja tetapi terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia. Ini merupakan peluang yang terbaik bagi masyarakat setempat di Semenanjung untuk melihat dan merasa sendiri pelbagai keunikan barangan, produk Borneo, selain berkenalan dengan rakan-rakan Sabahan dan Sarawakian yang cukup terkenal dengan kemesraan dan hidup berkomuniti yang penuh toleransi.

    Jadi, sahabat-sahabat yang berasal daripada Semenanjung Malaysia, anda amat dialu-alukan untuk mengunjungi Pasar Borneo Seri Kembangan dan merasai sendiri pengalaman berada di Tamu Borneo.



    Comments

    comments