Semoga airmata ini menyucikan hati anak-anak – Cikgu Emmet Menulis

856

Hari ini saya buat ceramah motivasi HIPERS bersama calon-calon UPSR 2017 dan ibu bapa mereka. Saya cuba membuat kelainan sedikit dalam slot sentuhan kalbu. Setiap murid dibekalkan sekeping tisu basah dipertengahan program.

Waktu itu mata anak-anak sudah berkaca dan mengalir bening air jernih di pipi. Saat mereka ingin mengelap airmata saya pun berkata, jangan kamu lap tisu itu pada mata kamu. Tisu basah itu bukan untuk kamu. Pegang tangan ibu dan bapa, cikgu mahu kamu gosok tangan ibu, bersihkan, gosok tangan ayah kamu bersihkan dengan tisu basah itu.

Lihatlah tangan itu yang menyuap kamu makan semasa kamu masih kecil. Tangan yang kamu lap itulah tangan ibu yang membuat susu kamu, memimpin kamu sekolah, menyarung baju malah membasuh najis kamu semasa kamu kecil.

Tangan ayah kamu yang berdaki dan berkedut itu yang mencari rezeki untuk makan anak-anaknya. Dialah berkerja keras membanting tulang untuk keluarga. Bayangkan kalau kamu lap tangan ibu dan ayah ini buat kali terakhir, bagai memandikan jenazah mereka, apakah kamu masih mahu derhaka?

Maka berderailah airmata ibu dan bapa. Mereka berpelukan dan menangis bersama-sama.
Semoga airmata ini menyucikan hati anak-anak semua.

Terima kasih kepada ibubapa SK Engkilili No1 kerana hadir dan komited dalam program ini. Tahniah kepada guru besar Encik Ugil kerana mengambil langkah proaktif membina motivasi murid. Terima kasih jawatankuasa pengelola yang terdiri dari guru-guru dan AKP SK Engkilili No1 yang melaksanakan motivasi ini.

Comments

comments