Liku perjalanan bergelar pensyarah kanan Bahasa Kadazandusun di UPSI – Dr. Rosliah Kiting

2805

Borneodihati.org – Dr. Rosliah Kiting memulakan persekolahan rendah di SK Rangalau Lama. Beliau kemudiannya meneruskan persekolah di SMK Tun Fuad Stephen Kiulu, Tuaran, Sabah dan melanjutkan pengajian dalam Business Study di School of Business Study Kota Kinabalu dan sesudah itu bekerja sebagai kerani akaun.

Dr. Rosliah Kiting memulakan kerjaya sebagai seorang guru di sekolah rendah pedalaman Sabah setelah beliau selesai mengikuti kursus Diploma Perguruan di Kent Teachers Training College.

Menyedari kepentingan untuk meningkatkan kerjaya maka beliau berusaha untuk menduduki STPM sebagai calon persendirian. Keputusan STPM beliau yang baik telah memberikan ganjaran kenaikan gaji dan layakkannya meneruskan pengajian di Universiti Malaya (UM). Menurut Dr. Rosliah Kiting, pengajian ketika itu dilakukan secara sambilan demi keluarga. Setelah memperolehi Ijazah Sarjana Muda, beliau mendapat tawaran berpindah untuk mengajar di sekolah menengah tetapi terpaksa ditolak kerana komitmen lain yang banyak.

Cabaran berat buat Dr. Rosliah Kiting ketika beliau meneruskan pengajian di peringkat Sarjana di UTM kerana ketika itu suami beliau sakit tenat. “Mengalir air mata bila mendengar nasihat doktor yang mengatakan jangka hayat suami tidak melebihi dua tahun”  luahan Dr. Rosliah Kiting.

“Memikirkan masa depan anak-anak seramai enam orang yang sering menyatakan cita-cita mereka suatu masa nanti, digagahkan diri bersengkang mata untuk belajar sambil menjaga suami di hospital pada waktu malam dan bekerja pada siang hari. Bersyukur kerana sentiasa ditemani oleh ibu bapa, adik-beradik dan keluarga sebelah mertua sepanjang masa melalui saat getir sehinggalah selesai pengajian dalam tempoh lebih kurang setahun setengah” tambah Dr. Rosliah Kiting.

Pemergian suami ketika semua anak-anak masih di sekolah menyebabkan cita-cita  beliau meneruskan pengajian ke peringkat PhD terpaksa ditangguh. Usaha untuk menampung keperluan harian keluarga, ansuran dua buah kereta dan rumah digandakan.

Dalam kesedihan dan kepayahan tersebut, Dr. Rosliah Kiting masih terasa sangat bersyukur dengan Rencana Indah Tuhan kerana peluang demi peluang datang mempermudahkan usaha dan urusan.

Antaranya beliau mendapat tawaran sebagai tenaga pengajar sambilan di OUM, penilai buku DBP, penulis modul UMS dan sebagainya.

Dr. Rosliah Kiting juga memberitahu, peluang untuk  beliau berpindah bertugas ke sekolah kurang murid (SKM) banyak membantu meringankan beban sekaligus memudahkan urusan keluarga dan melakukan kerja sambilan waktu hujung minggu.

“Setinggi-tinggi penghargaan dan ingatan tulus kasih kepada semua rakan guru terutamanya Cikgu Rohaini yang memberikan info dan Cikgu Kadir, penyelia PPD Tamparuli yang membantu menguruskan perpindahan saya ke sekolah baru dalam tempoh kurang dua minggu” – Dr. Rosliah Kiting

Tahun 2010 pula merupakan lembaran sejarah dalam kehidupan Dr. Rosliah Kiting kerana mendapat tawaran sebagai pensyarah kanan di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).  Ketika menerima surat tawaran, linangan air mata menitis pada kertas. Linangan air mata gembira kerana kerjaya ini merupakan amanah yang besar untuk bangsa Kadazandusun dan pastinya dengan rezeki yang boleh dibanggakan.

Tetapi suatu yang berat adalah linangan air mata sedih kerana tawaran ini menuntut beliau untuk terpaksa berjauhan dengan anak-anak. Dengan restu ibu bapa, ibu dan bapa mertua serta adik-adik, digagahkan diri melangkah dengan satu prinsip “setiap langkah dan usaha dilakukan demi anak-anak”.

Menurut Dr. Rosliah, memulakan kerjaya di tempat jauh merupakan peluang untuk menambah ilmu, kemahiran dan pengalaman sebenarnya. Kini kena punch card untuk masuk fakulti. Jadual waktu mengajar hingga malam. Aktiviti kerja tidak mengenal waktu siang atau malam dan cuti umum. Suasana jauh berbeza dengan sekolah.

Kebijaksanaan mengatur diri perlu ada. Namun yang istimewa adalah peluang untuk meningkatkan ilmu dan kemahiran diri terbentang luas. Penglibatan dalam penulisan dan penyelidikan menjadi rutin. Prasarana untuk pelbagai aktiviti lengkap dan terbuka. Tempat beribadat juga terdapat dalam persekitaran universiti. Kos kehidupan lebih rendah, sewa bilik hanya RM150 manakala masih kenyang dengan makanan RM2.

Cuma terasa sedikit kesukaran pada peringkat awal kata Dr. Rosliah kerana beliau terlalu kerap berulang-alik ke Sabah untuk meleraikan kerinduan terhadap anak-anak serta melaksanakan kerja sambilan. Kewangan banyak digunakan untuk penerbangan. Oleh itu, beliau terpaksa berkongsi rumah dengan pelajar dan menggunakan kereta sewa untuk urusan tertentu. Pada waktu cuti sekolah pula, semua anak-anak dan emak akan dibawa bersama ke UPSI.

Setelah dua tahun bertugas, UPSI berikan peluang kepada Dr. Rosliah Kiting untuk cuti belajar. Dekan menyampaikan peluang tersebut kepada beliau dengan satu pesanan “kembali dengan membawa ijazah”. Ketika itu, terasa kaki seolah-olah tidak mencecah tanah, “terlalu gembira” dapat balik ke Sabah, belajar sambil menjaga anak, katanya.

Meskipun mendapat cuti belajar dengan biasiswa tetapi sukar untuk melakukannya secara total. Untuk 2 tahun pertama, Dr. Rosliah Kiting terpaksa melakukan kerja sambilan di UMS dan Kolej Yayasan Sabah pada hari biasa manakala hujung minggu di OUM dan Asia e-Universty.  Ini disebabkan ketika itu empat orang anak beliau sedang belajar di universiti dan dua orang di sekolah menengah.

Bagaimanapun, waktu malam beliau digunakan semaksima yang mungkin untuk belajar.  Semangat untuk mencari rezeki ini dikuatkan dengan pencapaian anak-anak yang sentiasa membanggakan. Sedaya upaya berusaha membantu anak-anak mencapai cita-cita mereka di samping mengejar impian sendiri – ujarnya.

Ketika cuti belajar, meskipun jadual sangat padat namun sentiasa mencari peluang untuk menghiburkan diri sendiri dengan melancong dan melakukan aktiviti sosial. Keindahan panorama di luar biasanya akan terasa memberikan ketenangan.  Aktiviti ini dilakukan setiap kali mencapai suatu tahap ketika belajar, contohnya proposal diterima atau siap satu bab.

Pesanan Dr. Rosliah “pengajian untuk mendapatkan PhD merupakan satu perjalanan yang jauh. Banyak cabaran namun ada juga kegembiraan. Memang gembira kerana berlimpah ilmu baru yang diperolehi, ramai kenalan dari dalam dan luar negara. Pandai-pandailah bawa diri dan manfaatkan segala yang perlu.  Adakalanya sedih bila lalui perjalanan yang sukar dan sendirian. Pernah juga masuk dalam wad semasa dalam pengajian.  Ketika itu saya memperolehi sokongan keluarga dan kawan-kawan untuk kembalikan semangat.  Untuk melalui saat-saat sedemikian, saya pegang prinsip, “hidup perlu diteruskan”.

Dari segi pengalaman mengajar di UPSI, Dr. Rosliah memberitahu bahawa suasana di UPSI adalah amat menggembirakan kerana dapat berkhidmat mencurahkan ilmu kepada pelbagai bangsa. Kebetulan beliau ditempatkan di Fakulti Bahasa dan Komunikasi yang menawarkan bahasa tempatan dan antarabangsa. Ini memberi peluang kepadanya bekerja dan berinteraksi dengan pelbagai bangsa.  Rakan sejawat juga begitu mudah untuk bekerjasama, sentiasa membantu dan menghormati sesama.

Meskipun bertugas di perantauan tetapi Dr. Rosliah terasa seolah-olah berada di tempat sendiri kerana ramai pelajar berasal dari Borneo yang menuntut di UPSI. Sekurang-kurangnya masih ada kawan untuk menggunakan bahasa dan melaksanakan budaya Borneo di Semenanjung Malaysia.

“Kami merayakan Pesta Kaamatan dan Gawai di sini. Pelbagai aktiviti lain yang dilakukan untuk meleraikan rindu dengan Borneo seperti karnival makanan Borneo. Pelajar-pelajar menyediakan makanan Borneo dengan dinikmati oleh seluruh warga universiti.  Lagu-lagu dan tarian Borneo sentiasa mewarnai perayaan-perayaan di sini. Ini menjadikan Borneo walau jauh di mata tetapi sentiasa dekat di hati ” – Dr. Rosliah

Sepanjang masa bertugas di Semenanjung, beliau tidak pernah menghadapi masalah berat berkaitan dengan pelajar Borneo. Mereka kelihatan bersemangat untuk belajar dan bertekad untuk berjaya dalam hidup. Malahan dalam barisan Majlis Perwakilan Pelajar peringkat universiti sentiasa ada wakil daripada Sabah dan Sarawak dalam setiap pemilihan. Ini menunjukkan pelajar mempunyai kesedaran akan kepentingan sikap kepimpinan.

Mereka juga sentiasa bekerjasama dalam menangani sesuatu masalah atau isu malah berani berjuang sehingga memperolehi penyelesaian dengan baik. Kejayaan mereka memperjuangkan sambutan perayaan-perayaan Borneo termasuk sambutan Krismas dalam universiti sangat membanggakan.

Sokongan daripada menteri-menteri Sabah dan badan-badan NGO terhadap aktiviti-aktiviti Borneo di sini juga sangat baik. Memang terdapat juga kes-kes dalam jumlah yang sangat kecil berkaitan dengan pelajar Borneo di sini dan kami sentiasa berusaha untuk membantu, kalau pun tidak dapat selesaikan segala hal tetapi sekurang-kurangnya kami pastikan pelajar selamat kembali ke pangkuan keluarga.

Comments

comments