Pada Usia Muda Mereka Sudah Pandai Hidup Berdikari

49

Saya sangat gembira kerana telah diberi kesempatan untuk menyertai misi Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) yang bertempat di Nanga Nyimoh, Song, Kapit pada penghujung Februari 2016, yang berlangsung selama 2 minggu.

Penyertaan dalam misi ini telah memberi seribu satu pengalaman yang tidak dapat saya gambarkan dengan kata-kata, pengalaman yang tidak mungkin saya perolehi hanya duduk didalam dewan kuliah sahaja.

Saat menyertai misi ini, saya belajar tentang kehidupan, bagaimana adik-adik yang berada ditempat yang boleh dikatakan serba kekurangan berbanding kita yang berada di tempat yang segalanya ada di ‘hujung jari’.

Melihat bagaimana anak-anak kecil di perkampungan Nyimoh ini berusaha mencari ilmu dengan apa yang ada di kampung mereka. Namun, mereka tidak pernah mengeluh, malah sentiasa berusaha untuk menjadi peribadi yang terbaik.

Masih jelas dalam ingatan saya, ketika waktu malam di Sekolah Rendah Nanga Nyimoh dan Nanga Musah, para pelajar tanpa paksaan dan dengan sendirinya menyiapkan tugasan mereka dan mengulangkaji pelajaran.

Masih terbayang kecerian yang terpancar di wajah setiap murid-murid ini apabila mengetahui kami akan bersama mereka selama 2 minggu.

Setiap malam mereka menantikan kehadiran kami, mereka benar-benar menghargai kami para sukarelawan.

Walaupun pada usia muda mereka sudah pandai hidup berdikari. Hampir semua murid-murid sekolah tinggal di asrama, dimana mereka belajar membawa diri dan bertanggungjawab menguruskan kehidupan seharian mereka sendiri.

Tidak dapat saya gambarkan bagaimana jika saya yang berusia 7 tahun tinggal di asrama. Tetapi itulah yang mereka lalui untk mendapatkan ilmu.

Melihat keakraban mereka, kemesraan mereka, membuatkan saya cemburu. Mereka saling bantu-membantu, hormat-menghormati antara satu sama lain.

Seperkara lagi yang membuat saya rasa tersentuh dan kagum dengan adik-adik di sekolah ini adalah sifat tanggungjawab mereka.

Sewaktu kami para sukarelawan mengagihkan roti kepada murid sekolah, saya sempat menghulurkan roti kepada salah seorang murid tahun 6.

Namun, apa yang mengejutkan saya adalah dia membalasnya dengan meminta saya memberikan roti tersebut kepada adik-adik yang lain terlebih dahulu.

Setelah semua murid mendapat bahagian roti masing-masing barulah dia mahu menerima roti pemberian kami.

Pada usia muda mereka sudah tahu erti tanggungjawab dan tolak ansur membuatkan saya benar-benar kagum dengan mereka. – Aliff Oslan

Comments

comments