“Adik-adik saya tak pernah makan KFC ini cikgu”

4144

Kisah ini berlaku ketika saya menjadi Ketua Jurulatih Bola Sepak B12 Zon Banggi, Kudat, Sabah. Pasukan kami adalah gabungan pemain-pemain terbaik sekolah-sekolah di Pulau Banggi, Kudat dan semuanya 15 orang murid.

Kami barisan guru pengiring membawa 15 orang murid asal pulau ini keluar ke tanah besar Kudat untuk menyertai Bola Sepak Peringkat Daerah. Kami menginap di Rumah Rehat Kudat sepanjang kejohanan tu berlangsung selama 3 hari.

Tambang feri, penginapan, kos pengakutan ke venue kejohanan dan makan minum murid semua ditanggung sendiri oleh guru. Perkara biasa. Kami tebalkan muka minta sumbangan. Yang penting anak pulau ini diberi peluang untuk tonjolkan bakat mereka.

Semua pemain di kumpulkan sesama mereka. Berbeza sekolah, berbeza latar belakang. Semua di satukan. Dipendekkam cerita, kami Zon Banggi muncul juara. Jadi kami barisan guru pengiring berpakat untuk kumpul duit dan belanja mereka semua makan KFC dan bermain di “playground” di Esplaned Kudat untuk meraikan kejayaan mereka.

Untuk pengetahuan semua, Zon Banggi adalah pendalaman Sabah. Tidak semua pemain kami itu pernah naik feri. Apatah lagi jejak kaki di tanah besar Kudat.

Jadi boleh kamu bayangkan keterujaan kanak-kanak ini mencipta pengalaman baru bagi mereka. Ini adalah satu faktor saya masih bertahan di sini. Everything new for them.

Berbalik cerita di KFC itu, semua pemain kami makan dengan penuh kenikmatan. Kami hanya memerhati gelagat mereka. Tengok kepuasan mereka sudah cukup bagi kami.

Snack plate bahagian kami juga kami hulurkan kepada mereka. Tambah. Sedap mereka cakap. Makanlah nak.

Bila semua orang siap makan, saya terpandang 2 orang pemain kami tengah “tapaukan” ayam goreng yang mereka tidak habis makan.

Saya tanya kenapa kamu tidak habiskan saja makanan itu? “Kanyang suda saya sigu” jawab dia sambil masukkan lebihan ayam goreng dalam kotak KFC itu. Dalam hati saya “yelah dia tu bersaiz kecik mmg tak makan banyak pon”.

Pagi esok kami perlu checkout tempat menginap kami kerana feri ke Pulau Banggi pukul 9 pagi. Sesudah subuh saya arahkan semua murid bersiap dan kemas bilik dan barang-barang mereka.

Saya terpandang dekat 2 orang pemain saya yang mengikat plastik KFC di beg sekolah (beg pakaian) mereka.

“Laaa kenapa kamu tak makan lagi KFC tu? Nanti basi la. Dari semalam lagi KFC itu kan?”.  Mereka diam saja.

Bajuku ditarik oleh kapten pasukan. “Coach, dia nak bawak balik KFC untuk adik dia sebab itu semalam dia tak kasi habiskan KFC dia. Dia simpan separuh untuk adiknya”

Erk?!

Sesudah kemas barang segalanya saya cuba slowtalk dengan murid itu tadi. “Betol ke KFC yang kamu tapau itu untuk adik kamu?”. Kedua mereka diam. “Cikgu tak marah la, cikgu cuma tanya jak”. Mereka angguk.

“Adik-adik saya tak pernah makan KFC ini cikgu. Jadi saya bawak balik la sikit”

Bergelora sudah hati. Sebak. Tahan. Control Macho.

“Sikitnya itu. Kenapa kamu tak beritahu awal-awal? Sudahlah perjalanan kamu sampai rumah jauh lagi. Naik feri 1jam 15minit. Lepas itu sambung naik hilux 40 minit. Lepas itu berjalan kaki lagi barulah sampai rumah. Sejuk sudah tu. Nanti basi macam mana?”

“Takpelah cikgu okay jugak ini, yang penting adik-adik saya dapat merasa” Jawab mereka sambil berlari ke arah kawan-kawan mereka yang lain.

Kami barisan guru pengiring terdiam. Merenung sesama sendiri. Speechless.

Peristiwa begini betul-betul menyentapkan kami. Kadang-kadang kita tidak pernah cukup dengan apa yang kita ada. Sampai lupa untuk bersyukur disebabkan kita merasa itu hanya remeh dan kecil. Setakat KFC jep kot. Mana ada orang pandang sudah KFC kalau di bandar besar. Alhamdulilah kerjayaku sebagai seorang pendidik di pendalaman banyak menyedarkan aku kadangkala yang sering lupa untuk bersyukur terhadap rezekiMU.

Comments

comments