Keunikan sambutan persaraan guru besar di sekolah pedalaman, Pulau Banggi, Kudat, Sabah

1069

Sempena meraihkan majlis persaraan Tuan Zakaria bin Awg Damit, guru besar SK Padang Pulau Banggi, Kudat Sabah, para guru sekolah merancang acara kelainan bagi memberi penghormatan dan penghargaan terakhir buat guru besar yang dikasihi.

Walaupun disepit kekangan masa kerana baru sahaja menganjurkan Sukan MSS Zon Banggi 2017 tetapi dengan semangat kekitaan dalam kalangan warga sekolah dan guru-guru, program ini dapat dilaksanakan.

Atas inisiatif untuk mencari kelainan itu, guru-guru SK Padang menggunakan pedati yang dipinjam daripada penduduk kampung Damaran dan kemudiannya dihiasi dengan pelbagai haisan dan ditarik oleh kerbau yang dimiliki salah seorang murid di SK Padang.

Pada hari sambutan, guru besar diminta menaiki pedati yang telah dihias dan diiringi sepanjang perjalanan menuju ke pentas majlis diadakan.

Tuan Zakaria Awg Damit yang telah berkhidmat selama 36tahun ketika ditanya tentang perasaan menghadapi persaraan, beliau dengan ringkas memberitahu “rasa lega tapi sayu. Lega dari bebanan tugas tetapi sayu meninggalkan rakan seperjuangan”.

Antara kata-kata yang dipetik melalui ucapan beliau, Tuan Zakaria Awg Damit mengibaratkan diri sebagai sebatang lidi  dan apabila datang ke suatu tempat, beliau menjadi seberkas lidi dan berjuang bersama-sama rakan guru di sekolah.

Beliau turut mengongsikan satu kalimat yang dipegang sepanjang perkhidmatan iaitu ikhlas. Keikhlasan itu biarlah seperti sehelai rambut hitam yang diletakkan di atas batu yang hitam, nilai keikhlasan tidak dapat dilihat oleh mata, sebaliknya hanya dapat dirasa oleh hati.

Tuan Zakaria Awg Damit mula bertugas pada tahun 1981-1984 sebagai penolong kanan Kurikulum di Sk Karakit Pulau Banggi.

Pada tahun 1985-1986, beliau bertugas sebagai Penolong kanan kurikulum di SK Sungai Bedaun Wilayah Persekutuan Labuan.

Seterusnya tahun 1987- 1997, beliau menjadi Penolong Kanan Hal Ehwal Murid di SK Bukit Kalam Wilayah Persekutuan Labuan dan mula bertugas selaku guru besar pada tahun 1997-2011 di SK Karakit Pulau Banggi, sebelum berpindah akhir bertugas sebagai guru besar di SK Padang Pulau Banggi (2011 – 2017)

Sebagai tanda penghargaan, ucapan terima kasih dan kenang-kenangan, kelab guru dan staf SK Padang telah menghadiakan sepasang kambing kepada beliau.

Seluruh warga sekolah, guru-guru, murid-murid, Persatuan Ibubapa dan Komuniti (PIBK) dan penduduk kampung sangat sedih dan sayu dengan persaraan beliau kerana beliau seorang yang sangat disenangi, ramah, baik hati, menjaga kebajikan orang disekeliling beliau, penuh bertolak ansur dan sangat komited dengan tugas.

Semoga beliau terus diberikan kesihatan dan semuanya baik-baik sahaja.

Comments

comments