13 orang gelandangan berjaya diselamatkan dan dihantar pulang ke Sabah

498

Borneodihati.org – Seramai 13 orang anak Sabah yang terpaksa menjadi gelandangan di kawasan Pudu dan sekitar “Kotaraya” Kuala Lumpur serta kawasan hutan di Klang berjaya diselamatkan oleh Momogun Society of Sabahans (MSS) dan dihantar pulang ke Sabah sepanjang tahun 2015 dan 2016.

Menurut Tuan Francis Bugin, Setiausaha Momogun Society of Sabahans (MSS), usaha mengesan kewujudan gelandangan dalam kalangan anak Sabah di Kuala Lumpur dan Selangor adalah bersumberkan hasil maklumat dari Yayasan Kebajikan Negara, Rumah Sabah, Transit gelandangan, gereja-gereja di Kuala Lumpur dan maklumat dari laman media sosial Facebook.

“Kami akan turun ke lapangan setelah kami mengenalpasti lokasi dan maklumat yang diberikan adalah tepat. Setelah itu, kami akan menghubungi orang yang menjumpai mereka sebelum bertemu sendiri dengan gelandangan dan menghantar mereka pulang setelah ahli keluarga mereka dihubungi dan bersedia menerima mereka kembali.” katanya

Menurut Tuan Francis, antara punca utama yang menyebabkan anak-anak Sabah ini menjadi gelandangan adalah disebabkan oleh faktor masalah keluarga (stress), pengaruh dadah dan akibat kurang upaya.

“Pihak persatuan akan terus memantau dan mendapatkan maklumat dari rakan-rakan agensi yang lain serta laporan dari mana-mana individu yang dapat memberikan informasi tentang gelandangan dalam kalangan anak Sabah. Pihak persatuan juga sentiasa berhubung dengan agensi kerajaan terlibat untuk memperbaiki strategi menyelamat di masa akan datang” tambah Tuan Francis.

Selain initiasif menyelamatan gelandangan di pusat kota, Momogun Society of Sabahans (MSS) juga banyak membantu dalam menghantar jenazah anak Sabah yang berada di perantauan pulang ke negeri asal dan memberi sumbangan kewangan kepada mangsa yang terlibat dengan kemalangan.

Momogun Society of Sabahans (MSS) juga adakan jalinan kerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam membantu golongan kurang upaya dan ibu tunggal. “Persatuan baru-baru ini berjaya mendapatkan surat beranak untuk 4 orang kanak-kanak serta menghantar mereka pulang ke Sabah” katanya.

Selain itu, persatuan turut aktif menganjurkan pelbagai jenis aktiviti sukan seperti pertandingan bolasepak, bola tampar serta sepak takraw bagi mengeratkan hubungan antara komuniti Sabah di Semenanjung Malaysia.

Persatuan Momogun sebelum ini dikenali sebagai Momogun Society of Malaysia sebelum  dijenamakan kembali pada tahun 2013 dengan nama Momogun Society of Sabahans (MSS).

Misi utama MSS adalah untuk membantu dan menjaga kebajikan orang-orang Sabah di Semenanjung Malaysia. Sehingga kini, MSS telah ada 3 cawangan utama di Semenanjung Malaysia iaitu MSS Klang, MSS Sri Muda dan MSS Johor. MSS akan melancarkan laman sesawang rasmi persatuan pada bulan Mac ini serta pewujudan Wisma Momogun Society of Sabahans di Kota Kemuning tidak lama lagi.

Comments

comments