40 tahun pencarian travel buddy yang terpisah, akhirnya mereka berjumpa semula di Daro Sarawak

147

Pada tahun 1978 saya berkembara dengan Ibrahim Reni ke Eropah backpacking dengan bajet yang sedikit. Kami tidur merata di Youth Hostel, penzione, stesen keretapi, tepi pantai, dalam cinema dan taman bunga untuk jimat kos. Tidak pernah sekali pun beliau merungut dan komplen.

Beliau saorang pendiam, jarang bercakap dan pemalu tetapi rajin mencari kedai untuk membeli roti, sardin dan buah-buahan sebagai makanan harian kami. Saya yang senior akan menentukan itinerari perjalanan dan membuat apa-apa keputusan jika ada masalah. Beliau ‘trust’ saya seratus peratus.

Penggembara jepun yang kami jumpa dalam kembaraan akan menegur kerana rupa beliau ada iras orang nippon, dan beliau hanya menganguk ‘play along’ dan senyum sahaja.

Tatkala itu saya dan Ibrahim Reni baru berumur belasan tahun, tetapi selepas pengalaman trip kembaraan tersebut, pemikiran kami melonjak matang dengan cepat. Campaklah kemana, insyaAllah kami boleh hidup dan berdikari.

Kami berpisah pada penghujung 1978 apabila masing-masing membuat keputusan untuk belajar di berlainan tempat kerana mengambil jurusan yang berlainan, saya di Manchester dan beliau di Leeds.

Semenjak tarikh tersebut lebih kurang 40 tahun kami terpisah dan hilang perhubungan.

Empat tahun lepas, saya cuba menjejak Ibrahim, dengan menelifon beberapa agensi kerajaan di Kuching tetapi menerima jawapan negatif sehinggalah saya war-war kan di Backpackers Buddies Malaysia (BBM). Rupanya ramai ahli BBM yang mengikuti cerita kembaraan  Kutuberahak dan akhirnya Cikgu Afifah Harun yang mengajar di Sekolah Daro menghantar mesej kepada saya.

Beliau telah berjumpa dengan Ibrahim Reni di Daro, Sarawak pada 28 April 2016. Akhirnya saya dapat bercakap dengan Ibrahim setelah 40 tahun dan berjanji yang saya akan datang berjumpa beliau di Sarawak.

Hari ini saya membuat perjalanan dari Sibu ke Daro, selama 3 jam dengan pertukaran feri dua kali dan akhirnya berjumpa ‘face to face’ dengan rakan travel buddy saya yang hilang 40 tahun yang lalu. Perasaan saya tidak dapat digambarkan, antara gembira dan sedih.

Sebenarnya perjalanan hidup Ibrahim tidak ‘plain sailing’ tetapi Allah maha adil, telah menganugerahkan 4 orang anak kepada beliau yang berjaya di dalam pelajaran. Seorang anak beliau masih di universiti mengambil jurusan Perakaunan, dua orang masih belajar di MRSM Mukah dan seorang masih di tingkatan 3 Sekolah Daro.

Saya doakan Allah memudahkan semua urusan kehidupan dan murahkan rezeki keluarga Ibrahim kerana beliau adalah saorang sahabat yang tulin, lurus dan sangat baik.

Comments

comments