9 Tahun bertugas di Sabah, rasa berat hati & berbelah bagi pindah balik ke Semenanjung

9474

Saya Ahmad Mirza Mazalan, seorang anggota polis asal dari Taman Taming Jaya Balakong, Selangor.

Kisah saya bermula pada tahun 2005, setelah terpilih untuk mengikuti latihan asas polis di Kota Kinabalu, Sabah selama 6 bulan.

Ketika itu saya tidak pernah ambil tahu pasal negeri Sabah kerana negeri itu jauh dari tempat saya membesar.

Disamping itu juga, saya rasa sangat teruja dan tidak sabar nak naik kapal terbang percuma sebenarnya, maklumlah kami bukan keluarga senang. Jadi bila dapat naik flight sangat bertuah bagi saya.

Saya baru berumur 18 tahun ketika saya dihantar ke Kota Kinabalu. Umur saya yang rasanya sangat muda berada di rantau orang, tiada keluarga, kawan dan saudara mara.

Bermulalah kehidupan baru dan kena belajar berdikari sendiri. Pada mulanya, memang saya rasa kekok dan selalu teringat kampung.

Menangis time tidur (hahaha bukan sebab apa kerana di Sabah jam 6.00pagi matahari sudah terpacak atas kepala, awal dari Semenanjung).

Bermulalah perubahan masa tidur dan solat, lagi-lagi duduk di pusat latihan, faham-faham saja.

Dari dalam pusat latihan saya sudah mula berkawan dengan yang lain. Pada mulanya, saya hairan dan terkejut kerana di Sabah banyak suku kaum dan percakapan yang berbeza. Seronok time itu, bukan apa sebab saya boleh belajar bahasa Dusun, Sino Kadazan, Kadazan Dusun, Bugis, Bajau dan ada beberapa suku lagi.

Masa praktikal pula, saya dihantar ke sebuah tempat yang bagi saya sangat sunyi dan tenang. Nama tempat tu TENOM. Di sana majoriti berbangsa Murut. Orang sana ya ampun punya la baik-baik, tidak pernah saya jumpa di tempat lain begini mesra.

Masa itu bujang, mula la terpegun sekejap dengan sumandak-sumandak sana. Selama 2 minggu saya di sana, saya rasa sangat-sangat seronok hingga tak nak balik.

Hati saya dah mula cintakan Sabah kerana masyarakat di sana sangat-sangat peramah dan menghormati orang lain, lagi-lagi orang luar. Mereka layan macam keluarga, menghormati agama dan budaya orang lain.

Setelah tamat tempoh latihan selama 6 bulan,  tiba masanya saya ditempatkan di Tawau. Saya pernah dengar daerah ini cuma tidak sampai lagi ke sana. Kawan-kawan 1 platun ramai dari daerah sana, Tawau dan Semporna.

Bila saya jejak kaki di sana, saya hairan sebab orang di sana cakap seolah-olah berlagu. Seperkara lagi saya mahu puji di sini, rakyat Sabah tidak kira bangsa dan agama mereka bersama-sama duduk semeja bersembang santai. Situasi sebegini jarang saya nampak di KL dulu.

Di Tawau, saya ditempatkan di Kem BN 14 PGA di Kem Air Panas. Selama saya bertugas di sana, orang awamnya sangat meghormati kami sebagai pasukan keselamatan walaupun kami bukan la minta dilayan macam seorang yang sangat berkuasa.

Saya sangat senang cara kehidupan di sana, makanan yang sedap-sedap dan murah berbanding di Kuala Lumpur.

Selama 9 tahun di sana, saya dapat cari jawapan dan persoalan orang Semenanjung terhadap negeri Sabah. Selama 9 tahun saya di Sabah saya tidak pernah tengok lagi seperti mana orang Semenanjung cakap macam-macam tentang negeri Sabah.

Apa yang saya nampak orang Sabah amat mghormati agama dan budaya sesama mereka. Saya kagum dengan masyrakat Sabah. Lain suku lain caranya tapi mereka tetap bersama tanpa ada kroni.

Anda perlu merantau ke Sabah atau Sarawak sendiri untuk merasai keindahan keharmonian hidup di sana.

Saya berkahwin pada tahun 2012 dan isteri saya tidak tinggal bersama saya di Tawau kerana saya amat sibuk dengan operasi di Tawau dan Semporna.

Sampailah kejadian pencerobohan pengganas Sulu itu la operasi terakhir saya di Sabah. Saya mendapat berita saya akan ditukarkan ke tempat saya sendiri. Ya, perasaan ketika itu suka bercampur sedih yang amat.

Saya mula berbelah bagi antara Tawau dan kampung halaman sendiri. Saya kalah dengan semua itu, jadi saya berpindah pada 16 april 2014. Saya ditugaskan di KLIA 2 IPD Sepang.

Di sini segalanya berubah dan saya terasa kekok sangat. Saya masih tidak boleh lupakan keunikan dan pengalaman hidup di negeri Sabah dan saya akan kenang sampai bila-bila.

Comments

comments