Di Sabah, saya mengenal erti persahabatan tanpa kira kaum & bangsa – Dr. Didi

3845

Kali pertama menjejakkan kaki ke Sabah adalah pada 18hb Disember 2008. Ketika itu memang semangat bekerja di Sabah amat berkobar-kobar, baru mendapat title Dr di depan nama kan.

Bekerja di Sabah adalah salah satu impian dalam hidup saya, dahulu saya pun tidak pasti kenapa, tapi setelah ke Sabah, saya tahu saya tidak membuat keputusan yang silap.

Ada seramai 15 orang dari batch kami ke Sabah, kebanyakannya atas pilihan sendiri, termasuk saya.

Walaupun kami ramai, tapi kebanyakkan kami tidak kenal rapat di antara satu sama lain. Pengalaman bekerja bersama-sama di Sabah, merapatkan lagi ukhuwwah persahabatan kami.

Seingat saya, hanya saya dan Yuhana yang berbangsa Melayu dan Islam, yang lain-lain semuanya dari keturunan India, Cina dan kaum bumiputera Sabah. Tetapi itu bukanlah alasan yang kami tidak boleh menjadi sahabat baik.

Bangga saya katakan, di Sabah lah saya mengenal erti persahabatan yang tidak mengira kaum dan bangsa, rakyatnya semua bersatu tanpa mengira latar belakang dan perkauman seseorang.

Dibesarkan oleh majoriti kaum Melayu, memang agak janggal pada mulanya, tapi akhirnya kami semua menjadi sahabat baik sehingga sekarang. Perhubungan kami bukan sekadar kawan, tetapi lebih kepada ahli keluarga.

Kemudian, saya dihantar ke Hospital Kudat untuk mengaplikasikan segala yang sudah saya belajar sepanjang housemanship.

Di sini lah bermula perubahan yang paling besar dalam hidup saya. Saya bertemu JODOH saya. Siapa sangka di hujung Borneo kami bertemu, walaupun kedua-duanya berasal dari Kuala Lumpur.

Selepas 2 tahun 3 bulan berada di Kudat, kami membuat keputusan untuk berpindah ke Kota Kinabalu. Saya meneruskan kerja di Jabatan Anaestesiologi, Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah.

Tanggal 4 January 2015, genap 6 tahun dan 17 hari saya berada di Sabah, sebelum berpindah balik ke Perak. Agak panjang tempoh masa itu sebenarnya dan semestinya sangat banyak kenangan suka duka sepanjang berada di Sabah.

Kepada semua kenalan-kenalan saya sepanjang bertugas di Sabah, terima kasih banyak-banyak saya ucapkan. Tanpa anda, saya tak mampu bertahan selama 6 tahun di Sabah.

Kenangan manis sepanjang saya berada di Sabah akan kekal berada dalam ingatan saya sampai bila-bila.

Comments

comments