OKU penglihatan & pendengaran sertai misi “Buta Pekak Jelajah Borneo”

162

Malam ini saya dapat bersama dengan beberapa orang yang sangat istimewa.

Di sebelah kiri saudara Riduan dari Buku Pojok, saudara Shafiq (OKU Penglihatan) dan Lukman (OKU Pendengaran).

Mereka bertiga dalam pengembaraan untuk menghasilkan satu travelog yang diberi nama Travelog Buta Pekak Jelajah Borneo (travelog BPJB).

Pengembaraan yang bermula pada 9 Mac 2017 dengan jangkamasa selama 26 hari merentasi kepelbagian geografi di Sabah dan Sarawak.

Daripada kawasan tanah tinggi hingga ke pulau dan pantai. Daripada bandar-bandar besar hingga ke kawasan pedalaman yang terpencil.

Mereka mula menjelajah Borneo bermula dari Tawau, Maliau Basin, Semporna (Pulau Mabul & Kapalai), Lahad Datu, Kundasang, Kota Kinabalu & Pulau Sapi, Beaufort, Tenom, Lawas, Bakelalan, Bario, Miri, Sibu, Kapit dan menamatkannya di Kuching, sebelum pulang semula ke Semenanjung.

Dalam perancangan mereka, di Kapit ini mereka akan tinggal selama dua malam. 

Publisher yang akan menerbitkan buku ini nanti adalah Buku Pojok. Buku travelog mereka ini akan menceritakan dari tiga sudut pandangan, iaitu normal (Riduan), pandangan orang buta (Shafiq) dan pandangan orang pekak (Lukman). 

Menjelang Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) yang akan bermula akhir bulan April ini, satu slot khas akan diadakan untuk memperkenalkan travelog ini kepada masyarakat umum.

Semasa berjumpa dengan mereka, hanya dengan Riduan sahaja yang memang boleh berkongsi banyak perkara.

Dengan Shafiq boleh bercakap dan berbual juga sedikit, manakala dengan Lukman sangat sedikit boleh berinteraksi dengannya dan banyak melalui Riduan jika ingin tahu apa-apa.

Subhanallah, malam ini juga saya dapat tengok secara berdepan bagaimana sahabat OKU penglihatan dan OKU pendengeran menggunakan telefon pintar dan boleh ber’whatsapp’ menggunakan teks walaupun tidak nampak.

Juga saya tahu bahawa yang OKU penglihatan dan pendengaran boleh berinteraksi sesama mereka menggunakan teks melalui telefon pintar masing-masing. Mereka ada satu aplikasi dalam telefon untuk menukar teks kepada suara dan suara kepada teks.

Hampir tiga jam saya bersama mereka. Itupun merasa belum cukup perkongsian bersama mereka.

Comments

comments