Sabah damai buat saya. Kristian & Muslim akrab sungguh, sahabat Cina pun petah berbahasa Melayu

6277

Saya berulang-alik ke Kota Kinabalu, Sabah semenjak 2010. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini setiap bulan 3-4 hari mesti di sini.

Kenapa KK damai buat saya? Saya pun tak tahu. Memang banyak sebab emosi rasanya.

Di Semenanjung, kerap terbaca di dada akhbar berita isu perkauman dan agama. Asimilasi gagal. Ramai juga rakyat Malaysia yang tidak fasih berbahasa kebangsaan menyukarkan lagi proses penyatuan bangsa Malaysia.

Dahulu kemajmukan Malaysia membawa kemakmuran unik. Sekarang rekahan perkauman semakin menjadi jurang lebar. Sukar disimen.

Memang salah kecacatan sistem pendidikan vernakular. Waktu kecil diasingkan dan kemudian mengharapkan bangsa-bangsa ini bersatu di waktu tua.

Politik pun tidak membantu. Memang ditakutkan rakyat dengan bogeyman bangsa. Mekar strategi pecah-perintah mereka.

Di Sabah, isu kaum dan agama tak wujud. Pertama kali ke sini dahulu memang susah saya kenal pasti siapa agama apa. Tetapi itu bukannya isu besar pun. Kristian dan Muslim akrab sungguh. Sahabat Cina di sini petah berbahasa Melayu. Lebih fasih daripada sebahagian Melayu Semenanjung. Serius.

Sedikit demi sedikit saya belajar subjek lokaliti. Sekarang boleh tahu perbezaan Kadazandusun dan Bajau. Tahulah juga ciri distingtif Murut, Orang Sungei dan Melayu Brunei.

Pernah juga memandu ke Bandar Seri Begawan melalui Beaufort, Lawas dan Limbang. Dari BSB ke Miri pula. Nostalgia. Kenangan ke Kota Marudu pun seronok. Sipitang saya suka. Lautnya indah. Kundasang nyaman.

Sekarang, sahabat-sahabat Sabah sudah ramai. Mereka rai saya macam keluarga. Ini sebahagian daripada keistimewaan membina bisnes berkelana jauh dari tanah asal.

Geng-geng hotel pun sudah kenal. Bila check-in sudah tak perlu ID. Sudah tahu bila mahu tiba siap beri servis shuttle ekstra dari KKIA ke hotel.

Kalau kita berbudi, orang akan berbahasa. Kawan-kawan Sabah, jangan jemu jamu saya makan ya. Saya akan semakin kerap ke sini tau.

Comments

comments