19 Jenis makanan tradisi Sabah dihidangkan sempena Sabah Traditional Food Festival di UPSI, Perak

1608

Sebanyak 19 jenis makanan tradisi Sabah telah dihidangkan sempena dengan Sabah Traditional Food Festival 2017 yang berlangsung di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Perak pada 8 April 2017 yang lepas.

Sabah Traditional Food Festival adalah sebuah program yang dianjurkan oleh Persatuan Ikatan Sepadu Anak Jati Sabah, UPSI.

Objektif utama program ini diadakan adalah untuk memperkenalkan budaya Sabah menerusi makanan-makanan tradisi suku kaum di Sabah kepada semua pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris, selain mengeratkan hubungan serta perpaduan antara pelajar Sabah.

Seramai 200 pelajar telah hadir di festival ini dan mereka berpeluang menikmati pelbagai hidangan makanan tradisi Sabah yang menjadi pilihan di festival ini.

Antaranya adalah seperti kuih penyaram, ikan ampap, sambal tomato, nasi kuning telur, tiula itum, kelupis, tompe, kuih lidah buaya, pastel, terung telur, borobbo, bergedil jagung, losun, hinava, sanggarak tallamek, sanggar peppe, ambuyat, ais pisang ijo dan apurung.

Sabah Traditional Food Festival ini juga sedikit sebanyak telah membantu meleraikan rasa rindu para pelajar akan laman kampung mereka di Sabah.

Selain beraneka pilihan makanan, lagu-lagu dan tarian Sabah turut mewarnai festival kali ini.

Sabah Traditional Food Festival 2017 telah dirasmikan oleh Dr. Rosliah Kiting, Pensyarah Kanan Fakulti Bahasa dan Komunikasi, dan turut hadir bersama adalah Dr. Patricia Ganing.

Comments

comments