Terima kasih orang Sabah sebab mengajar saya tidak prejudis pada agama lain

19049

Tahun 2008, saya yang berasal dari Terengganu baru sampai ke negeri Sabah untuk menyambung pengajian Ijazah saya. Selepas 3 minggu di UMS, saya sakit gigi dan kena ke klinik pergigian Tuaran, kira-kira 20km dari Sepanggar.

Dipendekkan cerita, saya naik bas dan tersesat ke Kota Kinabalu, dan perlu berpatah balik naik bas ke Tuaran.

Saya naik bas dan berharap perjalanan cepat berlalu kerana sakit gigi yang amat sangat. Saya hanya seorang diri dan tiada kawan ketika itu. Saya cuma kenal housemate saja, coursemate pun belum kenal lagi masa itu.

Sewaktu di bas, ada seorang ibu bersama seorang bayinya memandang saya dan senyum. Dia tanya saya dari mana, hendak ke mana, dan saya pun memberitahu destinasi saya.

“ooo, teda jauh itu dik. Limpas jak sakulah, jumpa la klinik gigi itu. Kasian kamu, jauh suda kamu datang. Nanti kaka kasi tunjuk kau itu tampat” kata ibu itu.

Bila sampai di Klinik Pergigian Tuaran, ibu muda itu turun bersama saya. Saat saya mahu bayar tambang bas, kemudian konduktor bas memberitahu ibu muda itu sudah bayarkan untuk saya.

Berkali-kali saya mahu memberi duit kepada ibu itu, tapi dia menolak dan menyuruh saya guna duit itu untuk rawatan gigi. Saya akur kerana dia berkeras, saya berterima kasih dan pergi masuk ke klinik.

Sejam kemudian, rawatan gigi selesai. Saya turun ke hentian bas, dan saya jumpa ibu muda itu kembali. Rupanya dia menunggu saya selesai, dan mahu pastikan saya pulang dengan bas yang betul. Sungguh baik hati!

Dia memberitahu dia perlu pulang ke rumahnya berdekatan Bundu Tuhan, kira-kira 70km dari Tuaran, dan perlu melalui laluan naik ke pergunungan Kinabalu.

Kali ini saya hantarkan dia sebagai balas budi nya. Dia tidak benarkan tapi saya tetap mahu membalasnya.

Dipendekkan cerita, perjalanan ke Bundu Tuhan sangat memualkan dan lama. Langit gelap hujan dan sejuk gila. Hampir sejam setengah baru kami sampai. Hanya yang pernah naik bas ke Gunung Kinabalu saja tahu siksanya.

Bila turun di rumahnya, saya terus dipelawa untuk minum dan bermalam di sana kerana bas hanya akan ada pagi esok. Saya menolak, tetapi terpaksa akur kerana tiada pilihan.

Keluarga ibu muda itu ada 6 orang, ibu bapanya, dan 2 orang adiknya bersama 2 ekor anjing. Suaminya tiada kerana bekerja di Kundasang.

Mana tidak ralat bila saya tahu mereka semuanya Kristian, mana mereka tahu tentang halal haram makanan orang Islam, dalam hati sudah bimbang sebab mana ada tempat untuk saya solat, sebab bimbang dicemari anjing.

Tidak jauh dari rumahnya ada gereja, disitulah saya solat, sebab ianya bersih dan tidak dimasuki oleh anjing.

Saya dijelaskan bahawa mereka menganut agama Kristian Mazhab SDA, yakni mereka memakan makanan halal seperti orang Islam.

Senang cerita, mereka sangat teliti dalam pemakanan, tidak makan daging, tidak makan babi, tidak minum arak atau kopi lebih teliti dari orang Yahudi. Jadi saya tiada masalah untuk masakan dan makanan.

Saya diberi tempat tidur khas dan selimut tebal sebab di atas pergunungan memang sangat sejuk. Keesokan pagi saya bergerak naik bas pulang ke UMS kerana perlu hadiri kuliah yang sudah banyak tertinggal.

Layanan keluarga Kristian ini terhadap saya sangat baik, dan mereka amat menghormati agama yang saya anuti.

Bukan keluarga ini sahaja, malah saya ada ramai kawan beragama Kristian yang sangat baik pada orang Islam. Sepanjang 3 tahun di UMS, tidak pernah ada perdebatan agama, malah masing-masing meraikan perayaan bersama-sama.

Yang Islam gembira bila ada perayaan Krismas, yang Kristian gembira bila ada bulan puasa dan sambutan Hari Raya.

Paling saya terharu, kawan-kawan Kristian sanggup tidak makan sepanjang hari kerana meraikan saya yang berpuasa. Sanggup tunggu sampai waktu berbuka. Kalau terlepas minum makan depan saya, mereka minta maaf atas kelanjuran.

Kepelbagaian agama dan kemeriahan perayaan Sabah/Sarawak memang tidak seperti Semenanjung.

Terima kasih orang Sabah dan kawan-kawan di Sabah sebab mengajar saya tidak prejudis pada agama lain dan bila kita hidup dalam satu negara yang berbagai agama, mesti saling menghormati.

Comments

comments