Saya berasal dari Johor, Suami Iban Betong Sarawak. Saya belajar Bahasa Iban melalui CD lagu Iban

12152

Saya perkenalkan diri saya. Nama saya Zuraidah binti Rasti @ Apandi, berusia 38tahun, berasal dari Johor.

Sudah masuk tahun keempat (2014-2017) saya menetap di Betong dan merupakan seorang guru KHB di SMK Saint Augustine, Betong.

Saya sebenarnya memiliki latar belakang keluarga campur dan saya sendiri berkahwin campur. Saya seorang Melayu berkahwin dengan suami saya seorang Iban dan mempunyai 2 orang anak. Kami berkenalan semasa sama-sama belajar di universiti.

Selepas tamat universiti, suami saya bertugas sebagai seorang guru di Pasir Gudang, Johor hampir 7 tahun.

Kemudian kami mengambil keputusan pindah ke Sarawak di bahagian kelahiran suami iaitu Betong setelah saya juga dapat berkhidmat sebagai seorang guru. Tambahan pula, untuk melunaskan janji saya semasa awal perkahwinan dahulu untuk mempelajari budaya bangsa suami saya.

Anak saya yang sulung, Qayyum Iman Nurbadiz bin Badrul Hisyam berumur 9 tahun kini belajar di tahun 3 di SJKC Chung Hua. Anak pertama lahir di Johor dan memulakan persekolahan secara formal di darjah 1 di Sarawak. Anak kedua, yang ini sangat istimewa. Bernama Qayra Isabel Nurbadiz binti Badrul Hisyam. Dilahirkan pramatang iaitu ketika usia kandungan 26 minggu (6 bulan setengah).

Masih ingat lagi saya, iaitu tahun pertama kami berpindah ke Betong, Sarawak suami saya ditempatkan di SK Maludam yang jarak sekolah dengan rumah kami diami hampir dua jam setengah dan perlu menaiki feri. Oleh sebab itu, suami saya hanya akan pulang 2-3 hari sahaja pada hari bekerja, selebihnya menetap di kuarters sekolahnya.

Saya datang ke sekolah pada pagi itu macam biasa, walaupun ada rasa kesakitan seperti mahu bersalin. Disebabkan ramai yang beritahu tiada orang yang bersalin seawal 6 bulan, saya anggap ini adalah tanda-tanda bersalin yang palsu.

Tetapi selepas waktu rehat, saya ke tandas guru mendapati masalah bleeding yang saya hadapi sebelum ini agak berlainan. Darah yang keluar sangat banyak dan berwarna merah terang. Saya terus bergegas balik.

Apabila tiba di rumah, hanya ada anak saudara saya Desmond. Dan dialah yang menghantar saya ke Hospital Betong.

Di hospital, doktor membetitahu saya sudah tidak boleh ambil ubatan kuat rahim atau suntikan seperti rutin sebelum ini. Ini kerana kedudukan bayi yang sudah turun dan bersedia untuk dilahirkan.

Disebabkan Betong tiada doktor pakar dan infrastruktur untuk bayi pramatang, saya dicadangkan dihantar ke Hospital Umum Sarawak di Kuching, yang mengambil masa 4 jam perjalanan.

Oleh sebab sakit yang tidak tertanggung dan darah yang banyak sangat keluar, saya mohon doktor yang mengiringi saya berhenti di Hospital Sri Aman. Saya bersalin di situ, seorang bayi perempuan dengan berat 800gram sahaja.

Setengah jam kemudian, saya dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak. Ini kerana di Hospital Sri Aman juga tiada infrastruktur lengkap untuk bayi pramatang. Tambahan pula bayi saya terlalu kecil dan doktor meramalkan ia hanya ada peluang 40% untuk hidup.

Syukur kepada Tuhan, setelah melalui banyak keperitan dan fasa kesedihan, bayi saya dapat discaj setelah kami berdua tinggal di hospital selama 82 hari. Cuti bersalin 90 hari saya hampir habis digunakan berada di hospital.

Banyak kenangan sepanjang saya menginap di hospital ini. Ada sepasang suami isteri berbangsa Kelabit yang berasal dari Bario. Mereka jiran bilik saya di Rumah Anjung Kasih. Uncle James dan aunty Mariam.

Aunty Mariam, penghidap kanser usus dan sering ke Hospital Umum Sarawak di Kuching untuk rawatan kemoterapi. Uncle dan aunty ini sangat mengambil berat tentang saya. Maklumlah saya seorang diri, keluarga pula jauh.

Jadi mereka inilah yang banyak menemani saya sepanjang 82 hari saya di situ. Mereka akan sentiasa memberi saya kata-kata semangat dan motivasi, menasihati saya agar mebjaga kesihatan dan jangan terlalu risau ttg bayi saya kerana saya masih dalam tempoh berpantang.

Mereka juga akan berusaha membelikan makanan yang sesuai untuk ibu berpantang di kantin hospital.

Semasa mereka ingin pulang, saya ingat lagi pesan aunty Mariam. Apabila saya dan bayi sudah discaj, bayi sudah besar dan sihat datanglah ke Bario. Dia akan tunggu saya di airport dan bawa saya berjalan di sekitar Bario, makan masakkan orang Kelabit dan juga kenalkan saya dgn budaya mereka.

Dia juga pesan, jangan terlalu lama untuk datang takut tidak sempat dia lihat bayi saya.

Masa itu bulan puasa, dia tenangkan hati saya supaya jangan sedih ingat keluarga dan bagaimana mahu beraya. Dia suruh saya utamakan kesihatan saya kerana bayi saya perlukan saya dan bekalan susu ibu dari saya. Kalau saya sedih nanti susu badan saya berkurang sedangkan saya perlu hantar bekalan susu ibu setiap 3-4 jam ke wad Nicu.

Setelah saya discaj ada sy menghubungi mereka dan bertanya khabar. Pada tahun 2015, saya menghubungi uncle James semula. Ada saya menyatakan beberapa kali saya cuba call sebelum ini tetapi tidak dapat talian. Kemudian saya dimaklumkan aunty Mariam sudah tiada.

Sedih saya mendengarnya. Tidak sempat dia melihat bayi sata dan hasratnya untuk sambut saya di airport Bario.

Saya akan ingat mereka berdua ini sebagai orang yg banyak bagi saya semangat di saat saya sukar.

Tidak lupa juga kepada seorang makcik yang menegur sapa saya ketika saya makan berseorangan di kantin hospital pada waktu berbuka. Dayang Norya nama makcik itu.

Dia nampak saya sangat sedih, lalu dia terus mendekati saya dan saat itulah kami berbual-bual. Dia cakap, kalau rindukan keluarga, anggap sahaja dia keluarga. Dia suruh saya panggil dia ummi. Dia anggap saya sebagai anaknya.

Dia datang ke hospital melawat rakan sekerjanya. Dia juga seorang guru. Itulah pertemuan yang hingga kini kami masih berhubungan. Terima kasih kepada mereka ini sangat prihatin dan simpati terhadap saya.

Yang menarik tentang Betong pula, saya berpeluang menetap di rumah panjang keluarga pada tahun pertama pindah.

Disebabkan suami bertugas jauh, dan saya pula mengalami masalah pendarahan kandungan, suami mengambil keputusan untuk saya tinggal berdekatan dengan ahli keluarganya. Jadi saya menetap di Rumah Panjang Entanak.

Di mana kebetulan ada sebuah rumah di situ yang tidak berpenghuni. Jadi kami menyewa rumah tersebut yang bersebelahan dengan rumah tuai rumah yang juga merupakan biras saya (tuai rumah adalah abang ipar suami).

Saya pada awal berpindah pada tahun 2014 boleh berbahasa Iban dengan minima. Ini kerana saya ada belajar dari pelajar saya di Johor ketika mengajar sebagai guru kontrak sebelum ini.

Dari zaman sebelum berkahwin hingga sudah berkahwin, suami memang tidak ada ajar atau berbahasa Iban dengan saya. Tapi atas inisiatif saya sendiri, saya belajar bahasa Iban.

Saya belajar Bahasa Iban melalui CD lagu Iban. Perkataan yang saya tidak faham akan saya catat dan bertanya kepada suami atau pelajar di sekolah lama di Johor dahulu. Jadi ketika saya berpindah pada 2014, penguasaan bahasa Iban saya lebih kurang 40%.

Apabila bercakap dengan dengan warga rumah panjang, saya masih malu dan tidak yakin sangat kerana takut slang saya berbunyi pelik dan salah cakap. Tapi lama-lama, saya terpaksa juga berbahasa Iban kerana kalau saya bercakap Melayu ramai yang tidak faham.

Saya sangat berterima kasih kepada tuan pengetua sekolah tempat saya bertugas sekarang iaitu Encik Paul Langgang.

Beliau sejak dari tahun pertama saya melapor diri, memang suka bercakap Iban dengan saya. Walaupun saya faham dan membalas dalam bahasa Melayu, dia tetap meneruskan dengan bahasa Iban. Akhirnya, dengan cara beliau itu, saya jadi semakin yakin bercakap dan berkomunikasi dengan bahasa Iban.

Jika saya salah sebut, beliau banyak membetulkan, dan jika ada perkataan yang saya terpinga-pinga tidak faham maksud, beliau akan menberitahu maksudnya.

Selain itu, saya nak ceritakan satu pengalaman sangat berharga iaitu saya dilantik sebagai AJK Induk sambutan Gawai peringkat Bahagian Betong. Di mana saya satu-satunya Melayu Islam dalam dalam bilik mesyuarat itu.

Pembentangan konsep hiasan pentas di hadapan Tuan Residen Datu Romie Sigan Daniel

Pada tahun 2016 yang lalu, ketika Pejabat Residen Betong ingin menganjurkan sambutan Gawai peringkat bahagian, Encik Paul selaku Timbalan Pengerusi telah mencadangkan nama saya kepada komuniti Dayak Betong untuk masuk sebagai ketua hiasan pentas dalam AJK Induk.

Pada awalnya, saya sangat takut dan beranggapan beliau hanya bergurau dengan saya bila dimaklumkan saya perlu buat presentation idea hiasan pentas Majlis Makan Malam Gawai tersebut.

Saya rasa sangat takut, kerana ia satu tugasan besar dan majlis akan dihadiri oleh ketua-ketua jabatan dan VVIP.

Manakan tidak, saya seorang Melayu Semenanjung, perlu membuat tugasan untuk komuniti Dayak. Saya takut idea saya bercanggah dengan adat dan budaya mereka.

Tapi tuan pengetua saya banyak memberi sokongan dan galakkan. Sehinggalah pada hari presentation di bilik mesyuarat Pejabat Residen, saya satu-satunya Melayu Islam. Saya seorang yang bertudung. Nampak sangat berlainan dan saya rasa janggal bila semua mata memandang ke arah saya.

Mujur tuan pengetua saya ada bersama dan banyak beri sokongan dan galakan untuk saya membentang idea saya di hadapan Tuan Residen Betong iaitu Datu Romie Sigan Daniel dengan bahasa Iban. Ini kerana, mesyuarat tersebut memang sepenuhnya dikendalikan dengan bahasa Iban.

Saya tidak tahu lah betul atau tidak ayat saya ketika itu. Ada saya campur cakap Melayu juga kerana terlalu nervous. Tapi mujur mereka faham. Dan ada beberapa bahagian, tuan pengetua saya ambil peranan untuk menjelaskan dengan lebih lanjut. Mungkin beliau nampak saya dah sangat kebimbangan ketika itu. Terima kasih bos!

Hiasan pentas Gawai 2016 yg diketuai oleh saya

Majlis Makan Malam Gawai berlangsung dengan lancar, dan ramai memuji hiasan petas saya. Disebabkan itu, saya telah mendapat tawaran menghias pentas yang dianjurkan oleh YB Tan Sri Alfred Jabu untuk majlis penghargaan petugas SPR.

Selepas itu menyusul pula tawaran menghias pentas untuk Majlis Makan Malam untuk Gereja Saint Augustine di Dewan Kalong Ningkan. Dan pada hujung tahun lepas, sekali lagi saya dipilih oleh YB Gerald Rentap Jabu untuk menghias pentas bagi Majlis Rumah Terbuka Krismas N24.

Menyertai perarakan Gawai, dengan memakai pakaian tradisional etnik di Sarawak juga sangat seronok buat saya.

Saya diberi kepercayaan untuk menguruskan kontinjen sekolah untuk perarakan ini. Sekolah kami berjaya mendapat tempat ketiga. Semua ini satu pengalaman yang sangat berharga yang mana saya tidak dapat nikmati di Johor.

Adat-adat rumah panjang, banyak yang saya pelajari sepanjang saya menginap di rumah panjang selama hampir setahun lebih.

Komuniti rumah panjang tidak pernah memandang saya pelik atau rasis. Saya rasa sangat bertuah kerana memiliki keluarga mertua yang sangat memahami dan menghormati anutan agama saya.

Saya libatkan diri dengan komuniti rumah panjang dengan belajar membuat kraf manik dan anyaman. Saya membantu kakak ipar turun ngetau (menuai) padi huma.

Saya juga meneroka keindahan alam di sini dengan pergi berkelah bersama keluarga dan pelajar dan saya juga telah berjaya mendaki Bukit Sadok, iaitu tempat bersejarah pahlawan Iban.

Jika ada majlis-majlis, saya turut serta meraikan. Tetapi komuniti rumah panjang sangat peka tentang makan minum saya. Mereka tidak sesekali menghidangkan saya makanan dan minuman yang dilarang oleh agama saya.

Untuk lebih terjamin halal, mereka akan menghidangkan saya air bikarbonat atau air kotak bersama makanan ringan yang dibeli di pasar raya. Jika ingin makan makanan tradisional seperti nasi ruas, pansuh, kari ayam dan sebagainya, kakak ipar akan memanggil saya untuk masak bersama-sama. Dia akan memberi bimbingan untuk saya memasak menu tersebut.

Sekarang sudah masuk 4 tahun saya di Betong dan suami saya juga sudah dapat bertugas di sekolah berhampiran iaitu di SK Nanga Passa.

Sekarang kami sekeluarga tinggal di kuarters sekolah suami kerana dia dilantik sebagsi ketua warden. Tapi apabila hujung minggu, pasti kami sekeluarga akan ke rumah panjang di Entanak.

 

Comments

comments