Cikgu Emmet Bakal Tampil di Rancangan Bicarawara Nang Rindok, RTM TV1

584

Cikgu Emmet akan menjadi tetamu jemputan dalam Rancangan Bicarawara Nang Rindok yang akan bersiaran langsung di saluran RTM TV 1, pada 9 Mei 2017 (Selasa), 4.05pm.

Cikgu Ahmad Faizal Osman atau lebih mesra dikenali sebagai Cikgu Emmet, sememangnya peribadi yang tidak asing lagi bagi anak Sarawak.

Anak kelahiran Teluk Intan, Perak ini telah bermastautin lebih daripada 20tahun di Sarawak. Beliau bukan saja fasih bertutur dalam Bahasa Melayu Sarawak, tetapi juga Bahasa Iban.

Selain menguasai bahasa-bahasa yang dipertuturkan oleh komuniti Sarawak, Cikgu Emmet turut diterima baik oleh segenap lapisan masyarakat di Sarawak kerana sifat hormat beliau terhadap tradisi dan kebudayaan masyarakat yang berbeza latar belakang.

Beliau juga dilihat sebagai seorang yang cukup prihatin dan ambil peduli akan sensitiviti komuniti Sarawak.

Sekiranya timbul isu-isu semasa yang memberi anggapan serta persepsi yang kurang tepat tentang Sarawak, Cikgu Emmet adalah antara peribadi yang terawal akan tampil, bersuara dan mempertahankan anak-anak Sarawak.

Selain aktif menulis di blog, media sosial dan majalah, Cikgu Emmet juga kerap dijemput oleh pihak sekolah atau agensi-agensi berkaitan bagi menyampai ceramah motivasi kepada murid sekolah dan ibu bapa pelajar.

Boleh dikatakan dari Kapit hingga ke Kuching sudahpun dijejaki oleh beliau dalam misi menyampaikan ilmu dan membantu anak-anak Sarawak.

Bagi para peminat Cikgu Emmet, jangan lupa saksikan temubual bersama beliau pada Selasa, minggu depan.

Comments

comments