Hari Raya & Kek Lapis Sarawak

437
Kek Lapis Sarawak (Kredit Foto: Amy Dzulaiqha)

Tidak lengkap sambutan Hari Raya di Bumi Kenyalang tanpa kek lapis. “Di Sarawak warna-warni Hari Raya ialah pada kek lapisnya” demikian kata-kata oleh Cikgu Emmet.

Warna-warni kek lapis – kek tradisional Sarawak yang terkenal dengan rasa yang penuh keenakan, rasa manis serta tiap lapisan kek yang berwarna-warni menjadi hidangan mesti Berhari Raya bagi tiap keluarga di Sarawak.

Hidangan kek lapis (Kredit Foto: Florence Jonathan)

Terdapat pelbagai jenis perisa kek lapis seperti masam manis, pandan, lumut, sutera ungu, coklat, madu belang, pudina, evergreen, papermint dan berpuluh-puluh jenis rasa lagi.

Sebagai tetamu yang hadir, anda pasti tidak akan terhenti daripada menjamah kek lapis yang terhidang di atas meja, mahu merasa mana satu yang lebih sedap dan disukai. Kadang-kadang ia membuat anda “tertagih” sehingga susah nak berhenti makan!

Fakta Menarik Tentang Kek Lapis Sarawak

Berikut adalah fakta menarik tentang beberapa rekod Kek Lapis yang pernah tercatat di Malaysia Book Of Records:

1. Tahun 2008 : Kek Lapis Terpanjang (14 Meter)

Pada tahun 2008, buat julung kalinya kek lapis Sarawak mencipta sejarah dan dicatatkan sebagai Kek Lapis terpanjang di Malaysia.

Kek lapis yang panjangnya berukuran 14 meter diiktiraf oleh Malaysia Book Of Records sebagai “Kek Lapis Terpanjang” ketika itu.

2. Tahun 2010 : Kek Lapis Terpanjang (18 Meter)

Pada tahun 2010, Persatuan Kek Lapis Sarawak berjaya memecahkan rekod pada tahun 2008, apabila 20 pengusaha dari persatuan berkenaan berjaya menghasilkan kek lapis berukuran 18 meter.

3. Tahun 2011 : Kek Lapis Terpanjang (30.8 Meter)

Bersempena dengan sambutan Hari Ulang Tahun Radio Televisyen Malaysia (RTM) ke-65, kek lapis yang dibuat di Kilang Rabiah Amit Cake House, Demak Laut, Sarawak yang kemudiannya diterbangkan ke Kuala Lumpur berjaya mencipta rekod baru Malaysia Book Of Records sebagai Kek Lapis Terpanjang dengan ukuran 30.8 meter.

4. Tahun 2012 : Rekod Kek Lapis Terbesar 

Pegawai daripada Malaysian Book Of Records sedang mengukur kek lapis terbesar UNIMAS (Kredit Foto: RTM)

Selain Kek Lapis Sarawak Terpanjang, tercatat juga Kek Lapis Sarawak Terbesar di Malaysia Book Of Records hasil usaha Sekretariat Rakan Integriti Mahasiswa UNIMAS dengan kerjasama Rabiah Amit Cake House sempena sambutan ulang tahun ke-20 penubuhan UNIMAS.

Kek lapis Sarawak terbesar itu mengambil masa selama 10 hari untuk disiapkan dan berukuran 5 meter x 10 meter.

5. Tahun 2017 : Akan Datang 

Dijangka akan ada lagi usaha untuk mencipta rekod baru Kek Lapis Terpanjang pada bulan Julai 2017 nanti. Sama-sama kita nantikan perkembangannya!

Itulah antara info-info menarik tentang Kek Lapis Sarawak.

Mengambil kesempatan ini, kami dahulukan ucapan Selamat Hari Raya buat semua dan bagi sahabat-sahabat yang sedang dalam perjalanan pulang, hati-hati sepanjang perjalanan dan semoga selamat sampai di destinasi.

Comments

comments