Keistimewaan Gula Apong Sarawak

897

Sekiranya di Melaka terkenal dengan gula Melaka, Pahang dengan gula Kabung (enau), Sarawak pula terkenal dengan gula Apong.

Sungguhpun manisan gula ini kelihatan hampir serupa, namun sebenarnya ia berbeza sama ada dari segi bahan yang digunakan bagi menghasilkan ketiga-tiga jenis gula ini. Rasa dan haruman antara gula Melaka, gula Kabung dan gula Apong juga ada bezanya.

Dari segi perbezaan bahan penghasilan, gula Melaka diperbuat daripada nira pokok kelapa, gula Kabung diperbuat daripada nira pokok Kabung, manakala gula Apong pula terhasil daripada nira pokok nipah atau dikenali sebagai pokok Apong oleh penduduk lokal di Sarawak.

Pokok nipah

Proses membuat gula Apong bermula dengan mengumpulkan nira pokok nipah. Selepas itu ia perlu dimasak untuk berjam-jam lamanya supaya menjadi pekat. Sepanjang tempoh itu, ia perlu dikacau tanpa henti supaya gula Apong itu tidak hangus, sehinggalah ia menjadi likat. Gula Apong yang siap akan dijual dalam bentuk cecair pekat berbanding gula Melaka dan gula Kabung yang dijual dalam bentuk ketulan.

Gula Apong yang likat ini biasanya akan dimasukkan dalam bungkusan plastik untuk tujuan jualan dan ia amat mudah ditemui di tamu-tamu yang terdapat di Sarawak. Ia mempunyai permintaan yang tinggi sebab banyak digunakan dalam penyediaan makanan dan minuman.

Manisan gula Apong banyak digunakan dalam pembikinan kuih. Antara kuih yang mesti menggunakan gula ini adalah kuih penyaram (atau dikenali sebagai pinjaram di Sabah) yang sememangnya digemari oleh orang Sarawak dan Sabah. Tanpa manisan dan haruman gula Apong, ia hanya sekadar cucur biasa.

Kuih penyaram

Selain penyaram, manisan gula ini juga banyak digunakan dalam penyediaan kuih beras pulut, selorot, rojak, rempah BBQ dan lain-lain.

Beras pulut dikukus bersama gula Apong (Kredit Foto: Liaw Kian Soon)

Selain kuih, manisan gula Apong turut digunakan dalam penyediaan cendol, Teh C Special dan ais krim. Sekiranya anda suka travel dan pernah ke Kuching, Sarawak maka Ais Krim Gula Apong adalah hidangan mesti dalam trip anda ke sana.

Ais Krim Gula Apong (Kredit Foto: R.G. Ais Krim Bergula Apong)

Berikut disertakan resepi mudah bagi anda yang mahu mempelajari membuat Kuih Penyaram

Resepi Kuih Penyaram 

Bahan-bahan:

  • 1 cawan gula
  • 4 cawan tepung gandum
  • 1 cawan tepung beras
  • 2 cawan gula Apong
  • 3 cawan air suam

Langkah 1 : Gaulkan tepung gandum dan tepung beras terlebih dahulu.

Langkah 2 : Gunakan bekas berlainan untuk campur dan gaulkan gula Apong, gula pasir bersama air suam. Gaul sehingga sebati.

Langkah 3 : Masukkan adunan gula Apong ke dalam bekas tepung tadi (Langkah 1), sedikit demi sedikit sehingga adunan nampak agak cair.

Langkah 4 : Sesudah itu, tapiskan adunan tadi dan perap (atau rehatkan) 2 hingga 3 jam atau semalaman.

Langkah 5 : Sesudah itu panaskan minyak secukupnya bagi menggoreng penyaram (gunakan kuali kecil kerana tiap kali hanya dapat menggoreng sebiji penyaram pada 1 kuali).

Selepas itu, tuangkan sesenduk adunan itu ke dalam kuali. Biarkan beberapa ketika  sehingga cecair adunan itu mula membujur dan mengering (rujuk foto dibawah).

Sesudah itu, terbalikkan, dan biarkan beberapa ketika bagi memastikan kedua-dua permukaan kuih itu masak sehinggalah ia bertukar warna keemasan gelap.

Comments

comments