5 Perbezaan Cuti Perayaan di Zaman Kecil dan Zaman Dewasa

151
Kredit Foto: Sharif Putra

Tanpa mengira usia, ketibaan perayaan adalah waktu yang semua kita nanti-nantikan. Selain bercuti, anda juga dapat balik ke kampung bersua dengan ahli keluarga dan menyambut perayaan bersama-sama mereka.

Tentu saja cuti perayaan ini agak berbeza sekiranya mahu dibanding antara pengalaman cuti perayaan anda ketika masih kecil dan zaman sekarang – dimana sekarang anda sudah menjadi dewasa.

Inilah antara 5 perbezaan cuti perayaan di zaman kecil dan zaman dewasa:

1. Cuti panjang

Ketika zaman sekolah, cuti perayaan sentiasa dinantikan. Sama ada cuti Tahun Baru Cina, Hari Raya atau Hari Gawai dan Kaamatan, tidak kira perayaan yang mana satu yang disambut, yang pasti anda dapat bercuti. Akhir tahun pula sekolah ada cuti berbulan lamanya. Inilah keseronokan zaman masih belajar. Banyak cuti!

Zaman dewasa pula ternyata jauh berbeza kerana anda perlu bekerja dan ada tanggungjawab yang perlu ditunaikan.

Keadaan semasa tidak lagi memungkinkan anda menikmati pelbagai jenis cuti panjang tiap kali tibanya perayaan seperti zaman masih menuntut di sekolah.

Setelah melangkah ke alam pekerjaan, ada kalanya cuti perayaan yang sepatutnya anda ambil bercuti pun anda perlu bertugas, menyebabkan anda tidak dapat balik beraya bersama keluarga.

2. Kad ucapan

Teringkat waktu kecil, beberapa minggu sebelum menjelangnya cuti perayaan pasti akan membeli kad ucapan untuk diberikan kepada guru dan rakan-rakan, dan anda juga akan menerima kad ucapan balas daripada teman-teman.

Kad ucapan Ramadhan (Kredit Foto: Muslim Volunteer Malaysia)

Sekarang pula, seiring dengan perkembangan teknologi dengan adanya telefon pintar dan pelbagai aplikasi komunikasi, semuanucapan hanya melalui teks yang disampaikan menerusi Whatsapp, Facebook Messenger, Wechat dan lain-lain.

3. Memberi angpao & duit raya

Zaman anda masih kecil menyambut kedatangan perayaan itu adalah sesuatu yang amat dinatikan dan mengembirakan kerana boleh dapat sejumlah angpao, duit raya atau duit poket.

Duit raya (Kredit Foto: Suliana Amran)

Tapi sekarang, anda sudah dewasa! Giliran anda pula yang perlu sediakan sejumlah duit  untuk diberikan kepada anak-anak kecil yang lain.

4. Jumlah anggota keluarga ramai, meriah dan adik beradik dapat berkumpul bersama

Sambutan perayaan di kampung terasa meriah kerana semua ahli keluarga dapat berkumpul bersama-sama.

Kemeriahan seperti itu tidak lagi begitu dirasai tatkala sudah dewasa. Ini kerana semua adik beradik sudah ada haluan masing-masing dan terpisah membawa diri serta ada tanggungan rumahtangga sendiri yang perlu dijaga.

Musim perayaan pun belum tentu semua dapat berkumpul bersama seperti dahulu kala kerana tiap orang sudah ada ahli keluarga yang perlu didahulukan seperti beraya dengan keluarga sebelah suami atau isteri.

5. Insan istimewa dalam hidup telah pergi menghadap illahi

Seiring dengan usia anda yang semakin meningkat, mereka yang lebih berusia daripada anda pun semakin uzur. Sepuluh tahun berlalu, dua puluh tahun berlalu, seorang demi seorang pergi meninggalkan anda.

Sekiranya zaman masih kecil anda biasa luangkan waktu bersama datuk dan nenek serta kedua orang tua, dan apabila sudah dewasa mereka sudah tidak ada, tiap kali menjelangnya cuti perayaan pasti serba sikit membuatkan anda terasa sepi dan tidak seindah zaman kecil lagi.

Comments

comments