Rumah Panjang Iban di Melaka

1427

Di Kuching, Sarawak, anda boleh mengunjungi Kampung Budaya Sarawak bagi mengenali tradisi dan kebudayaan tiap kaum dan etnik di Sarawak.

Di Ayer Keroh, Melaka pula, terdapatnya sebuah Mini Malaysia & Asean Cultural Park, yang memuatkan pelbagai replika rumah kebudayaan yang mewakili keunikan seni bina tradisional 13 negeri di Malaysia serta rumah tradisi pelbagai negara Asean.

Kesemua rumah tradisi di taman kebudayaan ini dilengkapi dengan barangan, seni dan kraf yang menonjolkan kebudayaan etnik tiap-tiap negeri.

Bagi Rumah Sarawak yang terdapat di Mini Malaysia & Asean Cultural Park, anda boleh menemukan sebuah rumah panjang tradisi Iban yang terdiri daripada 4 buah “pintu”.

Rumah panjang ini lebih berkonsepkan rumah kebudayaan yang terbuka untuk dikunjungi oleh para pelawat yang mahu mengenali ciri dan tradisi rumah panjang Iban.

Baca juga : Pemandangan Rumah Panjang Mewah di Bintulu Sarawak

Terdapat seorang “Tuai Rumah” yang menjaga rumah panjang itu iaitu Nelson Anak Ranseng.

Ketibaan anda di laman rumah panjang itu akan disambut oleh pahlawan Iban ini.

Menurut Nelson Anak Ranseng, binaan rumah panjang Iban di Mini Malaysia & Asean Cultural Park adalah 80% menyerupai rumah panjang tradisi Iban, lengkap dengan komponen penting sesebuah rumah panjang yang terdiri daripada “tanju” (beranda terbuka), “ruai” (ruang terbuka), bilik dan “sadau” (peran).

Baca juga: 5 Fakta Menarik Tentang Kayu Belian – Kayu Besi Borneo

Selain menerokai keunikan gaya seni bina rumah panjang, kehadiran anda di rumah panjang Iban juga akan diserikan lagi dengan aktiviti seperti menyumpit, berhibur dengan alat muzik Sape, melihat pelbagai kraftangan Sarawak, bergambar menggunakan pakaian tradisi atau kostume Bidayuh, Orang Ulu, Iban dan sebagainya.

Tanggal 29 Julai 2017 (Sabtu), akan diadakan acara Ngiling Bidai di rumah panjang Iban ini. Pelbagai acara akan berlansung pada hari tersebut, termasuk pertandingan kumang & keling, mewarna batik Sarawak, menyumpit, tarian kebudayaan Sarawak serta demo masakan Sarawak.

Selain aktiviti di rumah panjang Iban, pelawat juga boleh ikuti pelbagai persembahan di pentas utama yang dikenali sebagai Tun Teja yang akan mementaskan persembahan kebudayaan daripada pelbagai etnik.

Mini Malaysia & Asean Cultural Park terbuka untuk kunjugan pada setiap hari, bermula seawal 9.00pagi hingga 6.00petang



Comments

comments