Pelajar di SK Kuala Pelugau, Selangau, Sibu Sarawak Terima Kad Raya Daripada Sultan Brunei

1454

“Gembira dapat menerima kad raya daripada insan hebat seperti Tuanku Sultan Hassanal Bolkiah dan menjadi detik kenangan terindah yang pasti tidak akan saya lupakan apabila bakal meninggalkan alam persekolahan sekolah rendah serta akan menginjak ke Tingkatan Satu tahun hadapan” kata adik Cherria Natasha anak Pengabang, murid di Sekolah Kebangsaan Kuala Pelugau, Selangau, Sibu, Sarawak

Seramai 101 orang murid bermula seawal prasekolah sehinggalah murid tahun enam serta guru-guru dan juga staf sokongan seramai 23 orang turut menerima kad raya yang serupa.

Seluruh warga sekolah tidak menduga sama sekali bahawa mereka akan menerima kad balasan Hari Raya Aidilfitri daripada Sultan Hassanal Bolkiah.

Pada tahun lepas, Borneo Dihati turut melaporkan kisah murid-murid di sekolah yang sama menerima balasan kad raya daripada Sultan Brunei yang membuatkan mereka merasa teruja dan tersentuh kerana tidak menjangkakan akan menerima kad ucapan balas daripada Sultan Brunei.

Sungguhpun sekadar membalas kad ucapan raya, namun bagi anak-anak di pedalaman, ia bukan saja sekeping kertas yang dijadikan sebagai koleksi peribadi, tetapi turut memberi makna yang amat bernilai dalam hidup mereka.

Menurut guru di sekolah tersebut, biarpun murid-murid berada jauh di kawasan pedalaman, ia bukan batu penghalang untuk memastikan murid-murid di sekolah tersebut turut merasai kegembiraan menerima kad raya daripada Sultan Brunei tersebut.

Seluruh warga sekolah memberikan penghargaan kepada Tuanku Sultan Hassanal Bolkiah atas keprihatinan dan keikhlasan baginda mengutuskan kad raya tersebut.

Comments

comments