5 Kerisauan Anak Sabah & Sarawak Sambung Belajar di Semenanjung & Cara Atasinya

Panduan buat anak Sabah dan Sarawak yang bakal melanjutkan pengajian ke universiti di Semenanjung.

1324

Bagi pelajar-pelajar yang akan melanjurkan pelajaran ke IPTA, terutama dalam kalangan anak Sabah dan Sarawak, sudah tentu pelbagai persoalan dan pergumulan yang sedang timbul di fikiran anda.

1. Kewangan

Majoriti pelajar  tentu risau dengan kewangan untuk sambung belajar. Tempoh pengajian 3 hingga 4 tahun, maka sejumlah wang diperlukan untuk membayar yuran pengajian, menanggung kos makan dan minum sepanjang tempoh itu.

Jangan pula kerana masalah kewangan anda lepaskan peluang baik untuk melanjutkan pelajaran ke universiti kerana terdapat pelbagai saluran bantuan kewangan dan biasiswa yang boleh mengatasi masalah tersebut.

Contoh, PTPTN adalah alternatif yang banyak menyokong pengajian mereka yang tidak mendapat biasiswa, tidak terkecuali juga anak Sabah dan Sarawak. Selain itu PTPTN juga selalu ada memberi wang pendahulu kepada yang memerlukan bagi menampung kos pengangkutan ke kampus.

Selain itu, entiti seperti Yayasan Sabah dan Yayasan Sarawak yang dinaungi oleh kerajaan negeri turut menawarkan pelbagai pinjaman dan biasiswa kepada pelajar dari kedua-dua negeri.

Baca juga : Biasiswa Yayasan Sarawak Untuk Pelajar Sarjana Muda, Sarjana & PhD

Baca juga : Biasiswa Pinjaman Kerajaan Negeri Sarawak Sesi 2017/2018 Kini Dibuka

2. Tidak tahu bagaimana ke universiti dan sebagainya

Tiap universiti ada persatuan pelajar anak Sarawak atau anak Sabah, dan mereka amat aktif menjaga kebajikan serta membantu menguruskan pendaftaran pelajar baru khususnya dalam kalangan anak Sabah dan Sarawak.

Contohnya, di UPSI ada :

  • Jalinan Anak Sarawak UPSI
  • Ikatan Bersepadu Anak Jati Sabah UPSI

Begitu juga dengan universiti lain di Semenanjung, masing-masing ada persatuan anak negeri tersendiri. Boleh buat carian di Facebook dan berhubunglah dengan mereka.

Di samping itu, pihak universiti selalunya akan ada sediakan pengangkutan dan pasukan pelajar yang akan menanti ketibaan anda di lapangan terbang. Apa yang anda perlu lakukan adalah berhubung dengan pihak universiti untuk ambil tahu tentang jadual perjalanan atau sambutan di lapangan terbang nanti.

3. Tempat Tinggal di Universiti

Bagi pelajar kemasukkan baru atau tahun 1 pengajian di universiti, selalunya akan mendapat penempatan atau penginapan di kolej yang terletak di sekitar kampus. Perkara ini selalunya akan dinyatakan sekali dalam surat tawaran pengajian anda.

Penginapan bagi pengajian tahun 1 anda tidaklah menjadi masalah, selain yuran yang agak murah berbanding menyewa bilik atau rumah di luar kampus.

4. Pendaftaran Pengajian

Sila ambil peduli dengan tarikh pendaftaran yang dicatat dalam surat tawaran. Hadir dan lapor diri mengikut tarikh yang ditetapkan kerana pada minggu pertama selalunya adalah minggu orientasi.

Sepanjang 1 minggu itu, anda bukan saja dapat mengenali rakan senior, persekitaran kolej dan kampus atau fakulti tempat anda akan mengikuti kuliah, namun, minggu orientasi ini juga adalah ruang yang disediakan bagi mempermudahkan lagi proses pendaftaran pengajian anda dibawah bantuan mentor atau pembantu mahasiswa yang terdiri daripada mahasiswa atau siswi yang lebih senior.

5. Pekerjaan Lepas Bergelar Graduan

Ada juga segelintir yang mungkin risau akan pekerjaan lepas bergraduasi nanti kerana bidang kursus yang akan diikuti.

Sekiranya anda mempunyai beberapa tawaran atau pilihan untuk lanjutkan pengajian, maka tidak menjadi masalah untuk anda menimbangkan kursus apa yang lebih anda minati dan mempunyai peluang pekerjaan yang lebih cerah pada masa akan datang.

Tapi buat yang hanya terima 1 tawaran dan tidak ada pilihan, rasanya tidaklah perlu terlalu risau tentang pekerjaan buat masa ini. Mulakan dahulu pengajian dan sepanjang beberapa tahun itu nanti mula kenal pasti potensi diri dan rancang serta kejar kerjaya yang anda mahukan.

Ramai dalam kalangan graduan hari ini berjaya dalam kerjaya masing-masing sungguhpun dari latar belakang pendidikan (Ijazah) yang berlainan dengan apa yang mereka tuntut ketika di universiti.

Sekiranya anda atau ahli keluarga atau kenalan anda ada apa-apa persoalan atau masalah lain, sila tinggalkan di ruangan komen. Mungkin ada senior-senior atau pihak lain dapat memberi nasihat dan cadangan yang lebih baik bagi mengatasi masalah tersebut.

Baca juga : 6 Tempat Anda Boleh Jumpa Sabahan dan Sarawakian di Semenanjung

Comments

comments