6 Panduan Penting Sebelum Menjejaki Air Terjun Julan, Air Terjun Tertinggi di Sarawak

    2688

    Air Terjun Julan terletak di Taman Negara Usun Apau, Miri. Terdapat banyak air terjun yang boleh dijumpai di Taman Negara Usun Apau seperti air terjun Selio, air terjun Koya dan air terjun Kotak (Putak).

    Namun air terjun yang paling terkenal adalah Air Terjun Julan yang merupakan air terjun tertinggi di Sarawak.

    Tontoni Video Rakaman Air Terjun Julan

    Air Terjun Julan terbahagi kepada 2 iaitu Air Terjun Julan Barat (Western Julan Fall) dan Air Terjun Julan Timur (Eastern Julan Fall).

    Usaha menjejaki air terjun tertinggi ini tidaklah mudah kerana beberapa faktor. Jadi, berikut adalah panduan-panduan yang boleh diambil kira sebelum anda memulakan misi ke sana.

    1. Rekomenkan trip 4 hari 3 malam

    Trip pergi dan balik dari Miri ke air terjun ini sekurang-kurangnya memerlukan pakej 4 hari 3 malam atau pun paling kurang 3 hari 2 malam.

    Hari pertama adalah perjalanan dari Miri ke Jambatan Julan. Daripada Miri, anda perlu menaiki pacuan empat roda menuju ke Jambatan Julan (Julan Bridge). Jarak dari Miri ke Jambatan Julan adalah sekitar 270km yang memakan masa antara 6 hingga 8 jam perjalanan.

    Tidak jauh dari Jambatan Julan, terdapat perkampungan penduduk, dimana anda boleh menumpang dan bermalam di rumah penduduk lokal yang diupah menjadi juru pandu (perlu buat perancangan dan perbincangan awal dengan pihak yang berkenaan).

    Hari kedua anda boleh memulakan misi menjejaki air terjun Julan dan dijangkakan anda akan bermalam di hutan. Jarak antara Jambatan Julan dengan air terjun Julan adalah sekitar 12km dan masa yang diperlukan untuk sampai ke destinasi adalah sekitar 4 – 5 jam dan ia amat bergantung pada juru pandu, kondisi trail serta stamina para peserta.

    Hari ketiga, daripada air terjun Julan, anda akan berjalan kaki pulang semula ke Jambatan Julan dan berehat serta bermalam disitu.

    Hari keempat, perjalanan pulang semula ke Miri.

    2. Cari penduduk lokal sebagai juru pandu 

    Perkara major yang anda perlu ketahui adalah, tidak ada perkhidmatan pemandu pelancong profesional yang boleh menjadi juru pandu sepanjang perjalanan menuju ke Air Terjun Julan.

    Anda cuma dapat bergantung sepenuhnya pada penduduk lokal yang lebih tahu selok belok laluan ke sana.

    3. Bersedia membawa beg yang berat sepanjang pendakian

    Tidak ada “porter” yang boleh diupah untuk membantu membawa barang-barang para pendaki ketika menuju ke air terjun Julan.

    Oleh itu, anda perlu bersedia membawa semua kelengkapan dan barangan dalam beg seperti makanan, bekalan air, pakaian, khemah dan lain-lain yang boleh mencecah 10kg berdasarkan kemampuan diri sendiri.

    4. Bekalan air minuman

    Sungguhpun terdapat banyak anak sungai sepanjang perjalanan ke air terjun Julan, tetapi kualiti air sungai untuk dijadikan sebagai bekalan air minuman adalah tidak terjamin.

    Sebaiknya anda bawa dan masukkan pil klorin bagi tiap 1 liter air sungai yang telah dimasak sebelum diminum.

    5. Laluan trail yang belum diterokai 

    Sungguhpun jarak antara jambatan Julan dengan air terjun hanya 12km, namun, trail yang akan dilalui adalah mencabar. Ini kerana hampir 90% trail tersebut adalah laluan yang belum pernah diterokai atau pun pernah dilalui tetapi penuh dengan semak atau tumbuhan (kerana tidak ramai menjejaki air terjun ini). Sangat-sangat mencabar!

    Selain laluan turun naik anak bukit, laluan yang masih dara, anda juga akan perlu melalui beberapa anak sungai. Jadi, perlu pastikan bahawa peserta memakai kasut yang sesuai dan membawa pakaian tambahan.

    6. Kekuatan fizikal dan mental

    Disebabkan segala cabaran sepanjang perjalanan, mereka yang mahu menjejaki air terjun Julan perlukan persediaan mental dan fizikal yang kuat.

    Aktiviti menjejaki air terjun Julan adalah lebih sesuai untuk mereka yang berpengalaman atau pernah menyertai beberapa siri pendakian sebelum ini.

    Trip ke air terjun Julan adalah tidak sesuai untuk anda sekiranya tujuannya adalah untuk bersantai atau anda seorang pendaki yang masih berada pada tahap “beginner”.

    Comments

    comments