Keenakan Ikan Liking Pasti Buat Kamu Meleleh!

Ikan liking yang hanya boleh ditemukan di Kota Belud, Sabah ternyata begitu enak dan memberikan anda rasa yang sukar dilupakan.

72

Sekiranya Sarawak terkenal dengan terubuk masin, Sabah pula terkenal dengan ikan masin liking.

Tanya saja tentang ikan liking, tentu nama Kota Belud, Sabah yang akan disebut-sebut. Ini kerana ikan liking hanya terdapat di Kota Belud yang merupakan pengeluar ikan masin jeruk itu.

Keenakan ikan liking yang diperbuat daripada ikan talang ini terbukti apabila ia bukan saja digemari oleh warga Sabah, malahan ikan liking cukup dikenali, disukai dan menerima tempahan daripada orang Sarawak dan Semenanjung.

Ia juga menjadi buah tangan wajib dibeli tiap kali berkunjung ke Kota Belud, Sabah.

Aroma dan rasa yang terdapat pada ikan liking adalah jauh berbeza dengan ikan masin talang biasa, sungguhpun kedua-kedua ikan masin itu diperbuat daripada jenis ikan yang sama.

Ini kerana proses pembikinan ikan liking perlu diperam atau dijeruk terlebih dahulu. Proses inilah yang tidak ada pada pembikinan ikan masin talang biasa. Proses memeram ikan inilah yang kemudiannya memberi aroma seperti perkasam yang terdapat pada ikan liking.

Proses penjemuran ikan liking (Kredit Foto: Bharian)

Selepas diperam semalaman, barulah ikan itu akan dibelah, dilumurkan dengan garam dan kemudiannya dijemur di bawah sinaran matahari sehingga kering.

Dari segi harga jualan pula, ia bergantungan pada saiz dan berat ikan tersebut. Kepingan yang bersaiz kecil harganya sekitar RM10 sekeping. Manakala kepingan ikan liking yang lebih besar akan mencecah berpuluh ringgit sekeping.

Sekiranya anda berkunjung ke Kota Belud, Sabah, singgahlah di Restoran Warisan Bonda bagi menikmati ikan liking goreng.

Masa tuan kedai menggoreng ikan liking, baunya sangatlah sedap. Wangi sangat. Sesiapa yang menghidunya pasti terus terasa lapar.

Apabila dihidangkan, anda hanya perlu perah dengan limau dan campur dengan cili padi. Siap sedialah memesan beberapa pinggan nasi putih panas kerana rasa masin, pedas, masam, rasa ranggup serta aroma perkasam pada isi ikan liking itu benar-benar membuka selera anda.



Comments

comments