“Tak Rasa Nak Pindah Dari Sarawak Ke?” Jawapan Aku ialah TIDAK!

7085

Tak ramai yang tahu cerita ini. Sebenarnya Sabah,Sarawak dan Labuan merupakan antara tempat pilihanku untuk posting. Ketika rakan-rakan lain kebanyakannya minta tempat yang berdekatan dengan rumah mereka dan sekitar Semenanjung, aku membuat pilihan yang menongkah arus.

Tahun 2014, ketika keputusan posting keluar, aku antara insan yang gembira apabila dapat tahu namaku ditempatkan ke Sarawak. Bukan apa, saja aku nak cari pengalaman di tempat baru yang tak pernah aku jejaki sebelum ini.

Dalam masa yang sama, kebanyakan rakan-rakanku yang dipostingkan ke Sarawak dan Sabah seolah-olah berat hati apabila menerima keputusan tersebut. Mungkin faktor terpaksa berjauhan dengan keluarga atau komitmen lain. Bagi aku pula,berjauhan dengan keluarga bukanlah satu masalah besar buat diriku kerana sejak di sekolah menengah lagi,aku dah bersekolah di sekolah asrama.

Masa muda nilah saat untuk aku mencari pengalaman di negeri orang.

Sampai di Sarawak, aku lebih teruja dan gembira bila dapat tahu aku ditempatkan ke sekolah pedalaman. Memang itu pun target aku. Zaman belajar di IPG, pensyarah selalu bercerita pengalaman mereka mengajar di pedalaman. Aku tertarik dan bercita-cita untuk merasai pengalaman tersebut.

Alhamdulillah, aku dapat sesuaikan diri di sekolah sejak awal lagi. Hidup di pedalaman ini tenang. Susah nak rasa “stress”. Kerja pun tak bertimbun-timbun macam yang bekerja di bandar. Aku selalu dengar luahan hati rakan-rakan di bandar yang “stress” dengan kerja mereka. Tiada istilah kesesakan lalu lintas. Rumah aku berhadapan je dengan kelas.Tak payah nak fikir banyak.

Satu sahaja masalah aku semasa mula-mula posting hinggalah masuk tahun kedua. Elaun pedalaman aku tidak dibayar walaupun pada hakikatnya sekolah aku layak menerima elaun tersebut. Line telefon dan internet sekolah aku pernah bermasalah selama setahun dan kami terputus hubungan dengan dunia luar.

Jadi setiap sebulan sekali keluar ke bandar untuk membeli stok barang makanan, baru aku boleh berhubung dan menggunakan internet.

Generator juga pernah bermasalah sehingga berhari-hari bergelap. Aku peduli apa? Tak ada line, tak ada cahaya, itu bukan masalah yang besar bagi aku. Mungkin faktor tak kisah sangat dengan benda-benda remeh itu juga membuatkan aku selesa dan dapat menyesuaikan diri hidup di pedalaman.

Sepanjang berada di Sarawak hingga ke saat ini, aku juga berpeluang untuk meneroka dan menjelajah tempat-tempat baru yang tak mungkin aku dapat jejaki andai berkhidmat di Semenanjung. Boleh belajar cara hidup dan budaya masyarakat di sini dan pelbagai benda baru.

Serius banyak benda dan pengalaman yang aku belajar di Sarawak ini.

Tahun kedua aku di sini, Tuhan pertemukan pula aku dengan seseorang yang istimewa iaitu jodoh aku. Bertambahlah bahagia aku di sini.

Kemudian, Alhamdulillah elaun pedalaman aku juga dibayar beberapa bulan setelah aku berkahwin. Syukur Alhamdulillah.

Line telefon dan internet juga dah kembali berfungsi. Jadi tipulah andai aku kata aku tak selesa tinggal di sini. Dahlah isteri satu sekolah pulak. Bila aku dengar dan tengok cerita rakan-rakan aku yang berjauhan dengan suami isteri dan terpisah dengan Laut China Selatan maka perasaan syukur itu semakin bertambah.

Tetapi kadang-kadang orang akan sentiasa bertanya. Orang akan sentiasa berkata. “Baliklah ke negeri asal. Baliklah ke Semenanjung”.

Salahkah aku berkhidmat di Sarawak? Salahkah aku rasa selesa di sini? Aku bukan tak balik terus. Masa cuti aku akan pulang ke Semenanjung. Aku akan bertemu ibu bapaku serta keluarga yang aku cintai. Keluargaku memahamiku.

Bukan bererti selama-lamanya aku berkhidmat di Sarawak. Cuma sekarang ini masih belum ada keinginan untuk berkhidmat di Semenanjung.

Adakah duduk berjauhan dengan keluarga itu ertinya kau tak sayang keluarga? Engkau yang duduk dekat itu kira sayang sangat keluarga?

Kasih sayang tak mengenal tempat. Ia datang dari hati. Jauh tak bererti aku lupa. Kadang-kadang yang dekat lebih alpa.

Hari ini genap 3 tahun 25 hari aku di bumi Sarawak. Andai ada yang bertanya aku, “Tak rasa nak pindah dari Sarawak ke?” Jawapanku ialah TIDAK.

Hantar kisah & pengalaman anda: http://borneodihati.org/hantar-artikel/

Comments

comments