Ternyata Fakta Beras Bario & Nanas Di Sini Lebih Enak Jelas Bukan Sekadar Omongan Palsu

    95

    Foto dibawah ini diambil sekitar jam 6.30pagi di atas “Prayer Mountain” atau dikenali sebagai Bukit Doa.

    Prayer Mountain, Bario, Sarawak

    Pendakian yang bermula seawal jam 5.30 pagi dan mengambil masa kira-kira sejam untuk tiba di puncak bukit benar-benar berbaloi apabila mataku disajikan dengan panorama indah gunung-ganang dan kehijauan alam bumi Bario.

    Bario merupakan sebuah daerah terpencil yang terletak di pedalaman Sarawak dan berada kira-kira 3000 meter dari aras laut.

    Kedudukannya di kawasan tanah tinggi membuatkan suhu dan cuaca di sini agak dingin berbanding daerah lain di Sarawak.

    Lokasinya yang terletak jauh di kawasan pedalaman membuatkan perjalanannya agak lama iaitu kira-kira 13 jam menggunakan jalan darat dari Miri. Namun begitu, daerah ini juga boleh diakses melalui udara menggunakan pesawat kecil twin-otter dari Miri yang hanya memakan masa kira-kira 50 minit.

    Majoriti penduduk di daerah terpencil ini dihuni oleh etnik Kelabit menyebabkan nama Bario ini turut dikenali sebagai Tanah Tinggi Kelabit. Daerah unik ini juga terkenal dengan penanaman padi bukit dan nanas.

    Aku merasa sendiri nasi dan nanas sepanjang berada di sini dan ternyata fakta yang menyatakan beras Bario dan nanas di sini lebih enak jelas bukan sekadar omongan palsu. Kelembutan beras bario serta kemanisan nanas di sini mungkin dek faktor tanah atau suhunya yang dingin membuatkan bumi Bario sukar dilupakan.

    Landskap muka buminya yang bergunung-ganang serta kehijauan sawah padi yang terbentang luas dalam keadaan cuaca dingin di kawasan pedalaman yang jauh daripada hiruk-pikuk kota benar-benar mendamaikan.

    Tidak hairanlah ramai pengembara dari luar negara yang cintakan alam memilih Bario sebagai destinasi pilihan di kepulauan Borneo.

    Ketenangan dan kedamaian tanah tinggi ini turut mempesonakan jiwaku.

    InsyaAllah andai masa mengizinkan, andai kudrat masih kuat, aku akan jejakkan lagi kaki ke sini. Mungkin di kemudian hari dengan menggunakan jalan darat yang mencabar kira-kira 13 jam dari bandar Miri dengan scramblerku. InsyaAllah

    Comments

    comments