Homesick Saat Merantau & Bekerja di Tempat Baru? Ini Cara Saya Atasinya!

163

Pernahkah anda mengalami homesick?

Apabila saya meninggalkan Semenanjung dan berpindah ke Sabah, perasaan berada di tempat baru itu hebat.

Di sini udara segar, nyaman, dan makanan yang sedap.

Tapi malangnya, lama-kelamaan perasaan teruja itu semakin pudar.

Saya mula berasa rindu terhadap kampung halaman.

Semasa umur hampir memasuki 30-an, saya akui memang agak malu untuk mengakui saya homesick.

Apakah homesick itu sebenarnya?

Selepas setahun lebih tinggal di Sabah, saya mula berasa sedikit tertekan.

Setelah sebegini buat seketika waktu, saya tersedar: Saya bukannya tidak suka Sabah. Saya cuma rindukan kehidupan yang lama.

Belajar untuk mengenalpasti rasa homesick akan memberi berbezaan, kerana dari sini saya akan belajar untuk mengatasi sesuatu yang benar-benar mengganggu saya.

Rasa homesick sebenarnya adalah mengenai keperluan naluri untuk kasih-sayang, perlindungan dan rasa selamat.

Selalunya, kasih-sayang dan keselamatan akan dikaitkan dengan rumah.

Oleh itu, apabila kita tidak merasakannya dalam persekitaran baru kita, kita akan mula rindukan rumah.

Apabila saya berpindah ke sini, saya berkenalan dengan beberapa orang, tetapi mereka semua masih baru kepada saya.

Rasa sukar untuk berasa dilindungi, disayangi, dan selamat dengan orang yang masih belum dikenali dengan baik.

Terdapat 3 faktor yang akan mempengaruhi homesick:

1. Pengalaman

Jika anda tidak pernah jauh dari rumah sebelum ini, anda mungkin lebih mudah untuk mengalami homesick. Anda tidak biasa menghadapi perasaan asing.

2. Personaliti

Kanak-kanak yang mendapat pengasuh baru akan mengalami “insecure attachment”. Umumnya, jika anda tidak pandai untuk bergaul dengan orang lain, perkara ini selalunya mempengaruhi bagaimana anda menghadapi perubahan persekitaran.

3. Faktor luaran

Tahap homesick anda akan bergantung kepada tahap kesanggupan anda untuk berubah. Apa yang anda lakukan dan bagaimana menghadapinya. Reaksi keluarga juga akan mempengaruhi tahap homesick anda.

Seperti perkara lain, belajar mengenali homesick dan apa kesannya adalah langkah pertama untuk bagaimana mengatasinya.

Cara Mengatasi Homesick: 

Berhenti mengenang kehidupan terdahulu

Apabila saya homesick, salah satu tabiat buruk saya adalah suka mengenang kembali kehidupan yang terdahulu, (malah melupakan segala perkara pahit yang ada dalam kenangan tersebut).

Saya selalu merasakan tempat sendiri lebih baik dari tempat lain.

Sebenarnya tiada yang salah tentang mengimbau masa lalu.

Tetapi, ia akan menjadi masalah bila selalu mengenang dan tidak mahu keluar daripadanya.

Ia menghalang saya daripada menghargai apa yang saya ada pada masa ini dan juga menghalang diri saya terhadap pengalaman dan orang baru.

Orang yang melihat setiap pengalaman yang baik sebagai sesuatu yang bermanfaat, akan lebih cenderung untuk mendapat mood yang baik.

Tetapi orang yang selalu membanding bezakan antara masa lalu dan sekarang, akan mempunyai sikap tidak dapat menerima setiap pengalaman baik yang datang.

Untuk mengelakkan diri dari membanding beza, apabila anda terfikirkan tentang pekerjaan atau keluarga semasa anda..

.. cubalah untuk mengingati bahawa diri anda dulu pernah berangan-angan mahukan semua ini.

InsyaaAllah, ia dapat melihat secara positif kehidupan yang anda miliki sekarang

Kenangan lalu boleh menjadi sesuatu yang menyakitkan. Tetapi ia juga boleh membuat keadaan menjadi lebih baik.

Semuanya tentang bagaimana persepektif anda terhadapnya.

Mencipta rutin dan kebiasaan yang baru

Seperti yang disebutkan diatas, homesick adalah berkenaan keperluan naluri untuk kasih-sayang, perlindungan dan rasa selamat yang dikaitkan dengan rumah.

Maka apa yang anda boleh lakukan adalah dengan mencipta “rasa selamat” di kediaman baru anda.

Selain daripada berkenalan dengan kawan baru dan memberikan masa pada diri sendiri..

.. salah satu cara mudah untuk melakukan ini adalah dengan membina rutin baru anda sendiri.

Rutin tersebut tidak perlu rumit.

Suatu rutin boleh semudah pergi ke kedai runcit setiap pagi ahad.

Semakin banyak anda melakukan melakukan perkara yang sama berulang kali dalam kehidupan baru anda, semakin banyak anda membina kebiasaan.

Anda akan merasakan rasa selamat di tempat baru dan perasaan homesick itu mula mereda.

Jika anda merasa homesick, tiada apa yang hendak dimalukan

Pada asasnya, rasa selamat adalah satu perasaan yang semua orang mahukan, dari kanak-kanak, pelajar kolej, atau orang dewasa pada usia 30-an dan seterusnya.

Ia boleh menjadi perkara yang sangat sukar untuk dilalui, terutamanya ketika hari cuti.

Tetapi bila kita faham apakah itu homesick, insyaaAllah kita boleh mengatasinya.

Pernahkah anda mengalami perasaan ini?

Apa yang anda buat bila mengalaminya?

Saya suka untuk mendengar daripada anda pada ruangan komen dibawah.

Artikel disumbangan oleh Muhamad Naim

Hantar artikel anda : http://borneodihati.org/hantar-artikel/

Comments

comments