Pengalaman Menawan Pinnacles di Gunung Mulu National Park

    75

    Berminat untuk mendaki Pinnacles di Gunung Mulu National Park? Di sini aku kongsikan pengalaman mendaki trek Pinnacles selama 3 hari 2 malam. Kalau ikut aku stay Mulu 5 hari dan buat aktiviti lain seperti “caves tour”. Dalam tulisan ini, aku khususkan cerita mengenai Pinnacles sahaja dan bagi yang berminat untuk mendaki Pinnacles sahaja, anda perlu ada masa minimum 3 hari 2 malam di Mulu.

    1. Bersedia Sedia Untuk “Jungle Trekking” Sejauh 9km

    Menaiki bot kira-kira satu jam dari National Park HQ ke Kuala Litut. Trip bot ini banyak dan mula bergerak jam 8 atau 9 pagi. Biasanya dalam perjalanan ke Kuala Litut, bot akan berhenti di Kampung Batu Bungan dan Clearwater Cave.

    Kampung Batu Bungan ini tempat perkampungan orang Penan jadi boleh tengok sedikit sebanyak cara hidup mereka.

    Clearwater Cave pula gua yang sangat cantik. Dalam gua ini ada sungai dan airnya jernih. Lepas “lunch” berdekatan gua ini, bot meneruskan perjalanan ke Kuala Litut.

    Dari Kuala Litut, kena “jungle trekking” sejauh 9km untuk pergi ke Camp 5. Setiap pendaki yang berhajat untuk mendaki Pinnacles perlu bermalam di sini. Tak jauh mana, kira-kira 3 jam perjalanan. Ikut “fitness” masing-masing. Kalau yang slow dan pancit boleh sampai 5 jam jalan kaki ke Camp 5 ini. Aku sampai Camp 5 masa itu kira-kira jam 3 petang. Jadi ada masa untuk berehat-rehat dan mandi di Sungai Melinau yang terdapat di Camp 5.

    2. Perlu Ada Guide, Tidak Dibenarkan Mendaki Tanpa Guide

    Bagi sesiapa yang berhajat untuk mendaki Pinnacles, perlu ada “guide” dan anda tidak dibenarkan dan dilarang sama sekali untuk mendaki tanpa guide.

    3. Selain Mendaki, Anda Juga Perlu Memanjat 

    Malam sebelumnya, guide akan bagi penerangan dan taklimat ringkas mengenai pendakian. Trek dia memang curam dan mencabar. Bukan hanya perlu mendaki, tetapi anda perlu juga memanjat. Ada part yang kena “rock climbing”, kena panjat tangga dan batu-batu yang tajam.

    Pemakaian “gloves” amat digalakkan untuk mengelakkan kecederaan pada tangan. Kebanyakan batu-batunya juga licin lebih-lebih lagi kalau hujan pada malam sebelumnya. Jadi kena berhati-hati. Extra careful.

    4. Untuk Mendaki Kena Ada Limit Masa

    Tidak semestinya semua yang mendaki akan sampai ke puncak. Guide akan tetapkan masa paling lama untuk sampai ke “mini pinnacles” ialah 1 jam 30 minit. Jika anda melebihi masa yang ditetapkan, guide akan meminta anda menamatkan pendakian dan kembali pulang ke Camp 5 kerana anda tidak cukup “fit” untuk meneruskan pendakian hingga ke puncak.

    Biasanya pendakian bermula jam 6.30 pagi jadi waktu paling lama pendaki perlu tiba di “mini pinnacles” ialah jam 8 pagi. Ini kerana anda perlu turun dari puncak Pinnacles selewat-lewatnya jam 11 pagi.

    Semua ini untuk tujuan keselamatan supaya para pendaki tiba semula ke Camp 5 sebelum gelap.

    Kawasan Mulu ni boleh dikatakan berbahaya kerana binatang buas. Guide bagitau aku yang dia pernah jumpa ular dan beruang. Jadi sila dengar cakap guide dan jangan memandai-mandai.

    5. Tahap Fitness Adalah Penting 

    Total masa aku naik ke puncak dan turun semula ke Camp 5 kira-kira 8 jam, iaitu 4 jam naik dan 4 jam turun. Ini pun bergantung pada fitness level. Ada yang boleh naik puncak 3 jam lebih. Ada yang 5 jam. Masa aku daki Pinnacles ada 13 orang dan yang berjaya tiba di puncak 9 orang. Semua yang pernah daki Kinabalu cakap trek Pinnacles ini lagi “gila” dan mencabar. Jadi jangan sesekali pandang rendah pada trek ini walau ketinggiannya tak setanding Gunung Kinabalu.

    Jungle trekking dari Camp 5 ke Kuala Litut sejauh 9 km dalam keadaan kaki dan tangan yang masih sakit gara-gara panjat Pinnacles. Kemudian, tunggu bot yang akan ambil anda dari Kuala Litut pulang ke National Park HQ.

    Sekian perkongsian aku mengenai pendakian trek Pinnacles di Gunung Mulu National Park. Salah satu impian aku sejak 2 tahun yang lalu. Selamat mencuba bagi yang berminat.

    Comments

    comments