Bertemankan Kereta Wira, Memandu Dari Miri Sarawak Ke Kunak Sabah

159

Ini kereta pertama aku. Kesian pintu dia dah kemek dan sikit berlubang. Kereta ni rasanya dah berusia 16 ke 17 tahun kalau aku tak silap. Walaupun sudah berusia, tapi banyak kenangan aku dengan kereta ini. Aku beli wira ini second hand dari used car di Sarawak dulu. Waktu itu ghairah sangat nak pakai kereta. Maklumlah baru bekerja.

Suatu masa dulu, aku pernah memandu dari Miri, Sarawak ke Kunak, Sabah menggunakan kereta wira ini.

JARAK MIRI KE KUNAK

Jarak Miri ke Kunak sehala lebih dari 1000km kalau aku tak silap. Lupa aku. Kau boleh cek kat Google. Kau akan keluar Malaysia (melepasi Brunei), masuk semula ke Malaysia, lepas itu lintas lagi Brunei dan akhir sekali masuk Malaysia semula untuk teruskan perjalanan. Sekali kau terlepas satu check point untuk cop pasport, kau kena patah balik untuk cop semula.Memang banyak kali kena cop pasport aku dan kawan sewaktu permulaan perjalanan itu.

Satu perkara yang menarik bila kau nak keluar Sarawak dan memasuki satu daerah di Brunei, kau perlu melepasi sebatang sungai. Sungai tu hanya ada sebuah feri yang berfungsi untuk undur dan gerak ke depan bagi mengangkut kenderaan. Lebar nya pula hanya beberapa puluh meter sahaja! Hehehe. Dengar cerita sekarang dah ada jambatan, tak pasti betul atau tidak.

Aku meneruskan perjalanan hingga ke Kota Kinabalu dan bermalam di sana.

KOTA KINABALU

Kota Kinabalu ialah nadi negeri Sabah. Bandaraya ini pesat membangun. Lokasinya juga menarik kerana terletak di tepi laut. Setiap petang warga Kota Kinabalu akan dihidangkan dengan pemandangan senja yang sangat cantik.

Kau boleh lihat ramai pelancong dan pengunjung berebut-rebut mengambil gambar matahari terbenam di water front bersebelahan pasar Filipina. Sumpah memang sangat cantik! Kebesaran Tuhan.

PASAR FILIPINA

Pasar Filipina juga sebahagian tarikan di bandaraya KK. Sesiapa saja yang pernah menjejak kan kaki di bandaraya itu pastinya tak akan lupa dengan pelbagai kraf yang dijual di sana. Menarik! Pelbagai jenis kraf yang dibuat dari mutiara, cengkerang hidupan laut dan seni ukir tangan masyarakat Filipina serta tempatan yang tak akan kau jumpa di tempat lain banyak dijual di situ.

Malam itu aku membawa teman serumah aku melihat kehidupan jalanan kanak-kanak di bandar KK. Mereka meneruskan kelangsungan hidup dengan peluh dan kudrat. Mereka menjual rokok dan pelbagai barangan yang boleh dijual untuk terus kekal hidup. Rata-rata umur mereka seawal 7-12 tahun. Simpati aku melihat kanak-kanak tanpa mana-mana warganegara ini. Mereka pendatang dari negara jiran, Filipina. Entahlah isu ni agak sensitif, jadinya tak berani aku nak ulas panjang lebar. Kau tanya lah orang tempatan.

KUNDASANG

Setelah seharian di KK, awal pagi lagi aku sudah meneruskan perjalanan menuju Kundasang.

Kundasang ini seperti Cameron Highland, suhu nya sejuk. Tapi masa tu aku tak tahu lah pula Kundasang ni ada ladang lembu ala ala New Zealand.Agaknya waktu itu memang tidak ada lagi kot.

Sepanjang perjalanan, kau kena tempuh beberapa check point yang dijaga oleh anggota PGA. Hampir semua PGA yang aku temui akan menepuk dahi bila mendengar cerita yang aku memandu dari Miri menuju ke Kunak. Tambah lagi mereka tepuk dahi bila melihat aku hanya memandu kereta wira 1.3 saja. Hahaha! Nasib aku konvoi dengan seorang lagi teman serumah yang memandu Honda EK. Kira kereta dia lagi power lah.

JAMBATAN TAMPARULI

Kenangan berjalan di jambatan gantung Tamparuli tak akan aku lupakan. Gayat jangan cakap. Bawah jambatan tu sungai besar bersama arus yang deras. Bila kau berjalan, jambatan itu akan terbuai-buai membuatkan lutut rasa lemah untuk meneruskan langkah! Hahaha!

Sepanjang perjalanan menempuhi Kundasang, Seingat aku, macam tak sempat aku guna gear lima. Semuanya gear rendah. Hahaha! Mujur gearbox aku tak rosak.

Perjalanan di Kundasang ialah perjalanan mengelilingi bukit. Kau akan memandu menaiki dan menuruni bukit yang penuh dengan selekoh.

Bila jumpa jalan rata pun terpaksa juga aku tukar ke gear rendah kerana memotong kenderaan berat di hadapan. Ya lah Wira 1.3, kau tahu saja lah pick up dia bagaimana. Rasanya hampir patah pedal minyak aku tekan tapi begitu saja lah perginya. Hahaha! Stresss!

GUNUNG KINABALU

Sepanjang perjalanan itu juga aku dijamu dengan pemandangan yang sangat cantik! Aku memandu berlatar belakangkan gunung Kinabalu sambil disulami kehijauan kebun sayur yang banyak di lereng bukit. Sesekali awan putih berarak menutupi puncak Kinabalu dibawa tiupan angin dingin puncak Kundasang.

PEKAN NABALU

Dipertengahan bukit Kundasang ini, kau akan berjumpa dengan pekan Nabalu. Di sini pelbagai cenderamata dan hasil kraftangan penduduk tempatan banyak dijual. Kalau kau tiada kesedaran memang kempis dompet kau lihat barang di sini. Sepertinya semua mahu dibeli. Cantik!

Kadang-kadang bukan kerana kraf itu yang cantik, tapi penjual nya juga gadis-gadis genit yang boleh menyebabkan semua jualan jadi cantik! Hahahaha!

Etnik di sini majoriti nya adalah bangsa Dusun. Mereka berkulit putih dan rendang orang nya.

Kalau lelaki tubuh badannya kelihatan sasa. Mungkin kerana sering mengangkat hasil sayuran yang berat menaiki lereng bukit tinggi.

Jika wanita pula mereka manis dengan senyuman. Lembut tutur kata dan amat sopan tingkah laku nya. Pendek kata semua nya baik dan bagus lah tentang mereka.

KINABALU PARK

Kalau kau singgah di Kinabalu Park, jika bernasib baik kau akan terserempak dengan penduduk di sini yang sedang mengangkat barangan berat untuk di hantar ke atas gunung Kinabalu.

Ada yang membawa tong gas, simen dan pelbagai lagi barangan berat lain. Kadang-kadang aku rasa Hollywood lebih tepat untuk ambil mereka pegang watak Hulk dari pelakon sedia ada! Serius wei, mereka memang kuat!

RANAU

Penghujung Kundasang kau akan jumpa pekan Ranau. Pekan di sini umpama ‘bandar’ utama bagi mana-mana pemandu yang memandu di laluan Kundasang.

Ranau ini pekan di tanah rata. Di sini terkenal dengan Poring, tempat kau beriadah mandi kolam air panas. Di sini juga banyak rumah tumpangan, So mana-mana individu yang nak eksplorasi Kundasang, bagus kau tidur di rumah tumpangan atau hotel di pekan Ranau. Malam hari mudah kau nak cari makan kerna di sini banyak kedai makan.

Tapi kalau kau nak sangat tidur di Kundasang, nak rasa suasana bila bercakap keluar ‘asap’ dari mulut, boleh saja kau tidur di hotel atau resort di sana khususnya di Kinabalu Park.

TAWAU

Aku sampai di Tawau sehari sebelum Aidiladha. Aku dan teman serumah tidur satu malam di bandar Tawau. Aku pun dah lupa nama hotel yang kami sewa. Ikut sebenarnya kami telah melalui persimpangan ke Kunak, namun orang yang perlu dijumpa belum sampai lagi. Jadinya kami terus saja menuju ke Tawau.

Buat pengetahuan kau, Tawau ini terkenal dengan makanan laut yang murah. Tetapi sekarang aku tak pastilah masih murah atau tidak. Lama sangat aku dah tinggalkan bandar Tawau. Etnik terbesar di bandar itu ialah etnik Bugis.

Di Tawau juga kadang-kadang kau boleh berjumpa satu komuniti yang digelar pala’u (sebut pelauk?). Aku pun dah lupa apa gelaran untuk mereka. Mohon Sabahan perbetulkan jika aku silap.

Mereka ini hidup dan berkeluarga di atas laut. Bila mereka turun ke darat jalan mereka pun agak pelik sedikit. Ini kerna badan mereka telah ‘di set’ untuk berada di atas air, bukan darat. Kalau kau nak faham lebih lanjut kau tanya lah doktor. Aku nak terang bimbang silap. Mereka adalah etnik yang sangat mahir menyelam dan sangat mahir dengan selok belok kehidupan di laut lepas.

Dengan mengamalkan kehidupan nomad di lautan luas, komuniti ini juga dikenali sebagai sea gypsies di peringkat antarabangsa. Kadang-kala sedih juga lihat anak-anak kecil mereka. Comot seperti terbiar begitu saja jika terserempak di pekan Kunak atau Samporna.

Menurut teman Sabah aku, komuniti ini pernah dipujuk untuk duduk di darat dengan penempatan disediakan oleh pihak-pihak berkenaan, namun pilihan mereka tetap kehidupan nomad di lautan luas. Mereka menolak penempatan di darat.

Esok pagi aku terus bergegas ke lapangan terbang Tawau. Hari itu hari Raya Aidiladha. Pagi itu juga teman aku memakai baju Melayu, kononnya nak feel raya di perantauan lah tu.
Aku dan teman bergegas laju ke dewan ketibaan. Kami perlu menunggu seseorang.

Lebih kurang setengah jam menunggu, orang yang dinanti pun tiba. Tanpa membuang masa, aku dan teman terus memecut menuju ke Kunak.

KUNAK

Jarak Tawau ke pekan Kunak tidak lah jauh. Sekitar 1 jam saja kau sudah sampai. Namun pemanduan perlu penuh konsertrasi. Selain jalan yang kurang elok, lori sawit dan pacuan 4 roda juga banyak memandu secara laju di laluan ini.

Sepanjang jalan kau dihidangkan dengan kehijauan pokok sawit. Di Lahad Datu saja ada beberapa buah Felda, itu belum ditambah dengan milikan estet lagi.

Kunak adalah kawasan kampung. Kawasan ini diapit oleh Lahad Datu dan juga Tawau. Sebelah atas pula Samporna. Kau masih ingat insiden Lahad Datu? Semua saling berkaitan dengan empat kawasan ini. Kau rajinlah cari info kat Google. Bimbang aku salah cakap, ke dalam pula jadinya.

Bagaimana pun sering juga aku terserempak dengan orang dari Semenanjung. Kebanyakan mereka berkhidmat sebagai guru atau PGA.

Tiba di Kunak aku dan teman merehatkan diri sebentar di rumah orang yang kami jemput di AirPort Tawau tadi. Kami berbual dan mengenang kembali perjalanan sepanjang hari dari Miri ke Tawau. Jika difikir kembali seperti mustahil kami berjaya melakukannya. Semuanya tidak dirancang!

CABARAN PALING BESAR – HUJAN

Kau tau apa cabaran paling besar yang aku hadapi? Bukan sekadar jarak beribu kilometer yang perlu ditempuhi, tetapi hujan lebat sepanjang perjalanan ke Kundasang! Jujurnya mulut aku tak henti-henti berzikir dan berdoa mohon perjalanan kami dipermudahkan sepanjang pemanduan. Ngeri juga aku tengok gaung dan lereng bukit di Kundasang tu. Teringat dosa silam.

Kunak ini yang paling best ialah kau sentiasa akan dapat makanan laut segar. Pagi-pagi kau rajin lah pergi ke jeti. Di situ kau boleh memilih ikan, sotong, ketam dan udang yang baru naik dari laut.

Kau bayangkan, aku pernah bakar udang dan sotong saiz sebesar tapak tangan tanpa apa-apa perencah. Udang dan sotong yang masih berkilat baru naik darat tu kau ratah begitu saja. Dia punya sedap, cakap banyak pun tak guna lah! Silap haribulan boleh gout duduk di Kunak ni. Hahahah!

Setelah menghilangkan letih, maka secara rasmi nya aku pun menyerahkan kunci kereta Wira aku pada ‘orang’ itu. Terima kasih lah aku ucapkan pada dia kerana sudi membantu aku untuk menerima kereta wira ini.

PULANG KE MIRI

Aku meneruskan perjalanan pulang ke Miri dengan menaiki kereta teman serumah yang setia bersama aku meredah bukit bukau Kundasang.

Kami memandu laju kerana perlu sampai ke Limbang sebelum sempadan Brunei-Limbang di tutup. Eh betul ke sempadan di Limbang? Aku pun dah tak berapa ingat lah! Hahahaha! Betulkan aku jika tersilap.

Jadi nya semasa perjalanan pulang, tidak banyak aktiviti yang sempat aku dan teman lakukan. Semuanya sudah keletihan.

LIMBANG

Sampai di Limbang agak lewat, pintu sempadan pun telah ditutup. Maka nya kami mengambil keputusan untuk bermalam di bandar itu.nSemua kos hotel di Limbang terpaksa aku tanggung memandangkan Limbang tidak termasuk dalam plan kami untuk bermalam. Lagi pun aku tak nak menyusahkan kawan aku tu. Dia setuju teman kan aku drive ke Kunak tempohari pun dah kira bersyukur sangat aku rasa.

Selain muzium, Bukit yangg terdapat di Limbang ini juga adalah salah satu tarikan bagi bandar Limbang. Namanya Bukit Mas. Seingat aku, dua atau tiga kali aku pernah naik melayan pemandangan bandar Limbang dari bukit ini. Lama sangat dah, aku pun hampir lupa.

Sekarang ini tahun 2017 aku tak pasti jika Limbang sudah bertukar wajah menjadi bandar metropolitan. Kau bayangkanlah sudah 10 tahun aku tinggalkan bandar itu. Haish, cepat sungguh masa berlalu.

Perkongsian pengalaman oleh Nzam Whid

Comments

comments