Bagi pasanganan yang baru saja berkahwin, sudah tentu akan meluangkan waktu berbulan madu bersama pasangan masing-masing. Baik untuk tujuan berehat atau berkongsi detik bersama yang lebih bersifat peribadi dan intim yang akan mengeratkan lagi hubungan serta kasih antara pasangan.
Ramai pasangan warga asing dari celahan dunia yang gemar memilih Sabah sebagai destinasi berhoneymoon bersama pasangan mereka. Ada yang meluangkan 1 minggu berhoneymoon di Sabah, dan ada juga yang sampai 3 minggu berada di sana.
Berikut antara sebab-sebab mereka telah memilih Sabah sebagai destinasi bercuti dan berbulan madu bersama orang tercinta.
1. Suasana resort yang cukup romantis
Antara resort bertaraf 5 bintang yang sentiasa jadi pilihan pasangan warga asing yang berhoneymoon di Kota Kinabalu ialah Shangri-La’s Tanjung Aru Resort & Spa.
Melanie C yang berasal dari UK yang berhoneymoon di Shangri-La’s Tanjung Aru Resort & Spa nyata amat kagum dengan pemandangan yang luar biasa, kolam renang serta pelbagai kemudahan mewah untuk para pelanggan di resort itu.
Menurutnya, apa yang membuatkan resort tersebut begitu unik adalah ia benar-benar khusus untuk membuat tetamu merasa begitu istimewa ketika menginap disitu.
2. Jatuh cinta pada pandangan pertama
Jatuh cinta pada pandangan pertama ternyata bukan mitos, ia benar-benar terjadi.
Kisah pasangan warga asing yang berkenalan buat kali pertama, kemudian jatuh cinta dan berakhir dengan episod bahagia terbukti melalui kisah pasangan Jepun bernama Tomoya dan Saaya.
Tomoya dan Saaya berkenalan buat kali pertamanya di Kg. Inukiran, Kudat Sabah ketika mereka menghadiri program pelajar Jepun di Sabah pada tahun 2009.
Menerusi program itulah Tomoya dan Saaya dapat mengenali antara satu sama lain dan membuka lembaran baru kisah kehidupan mereka berdua.
Selepas tamat program di Sabah, mereka pulang ke Jepun dengan jodoh yang telah ditakdirkan sehinggalah mereka berkahwin pada Disember 2016 yang lepas.
Maka, Kudat, Sabah – yang menjadi tempat dan titik permulaan ikatan kasih antara dua pasangan ini telah menjadi salah satu destinasi honeymoon pilihan pasangan tersebut.
Baca juga: Pasangan Jepun Pilih Kudat, Sabah Sebagai Destinasi Honeymoon & Kahwin Ikut Tradisi Rungus
3. Hospitaliti yang terbaik
Tidak kira sama ada kamu mahu bercuti atau berhoneymoon, semua orang pasti mahu berada dalam “mood” yang gembira dan ceria menghabiskan waktu cuti, rehat atau saat manis yang diluangkan bersama pasangan.
Justeru, servis tempat penginapan resort dan hotel yang tip-top adalah prasyarat penting supaya tidak timbul isu-isu remeh yang akan menjejaskan mood seharian tetamu atau pelanggan.
Di Sabah, bukan saja standard hospitaliti dan perkhidmatan resort atau hotel penginapannya hebat dan luar biasa, bahkan menurut Chris West yang telah berbulan madu bersama pasangannya di Sabah selama 3 minggu, mereka ternyata terpegun dengan sambutan penduduk tempatan.
Mereka sangat mesra, murah dengan senyuman dan wajah yang penuh keceriaan mengalu-alukan kehadiran tetamu. Itu sesuatu yang tidak pernah beliau lihat dan alami sebelum ini.
4. Banyak pilihan aktiviti
Sekiranya pasangan memilih berbulan madu antara 1 minggu hingga 3 minggu yang jadi kebiasaan dalam kalangan pasangan warga asing, maka selain meluangkan waktu bersama, tentu mereka turut inginkan pelbagai aktiviti pengisian bagi memastikan trip ke Sabah adalah berbaloi.
Di Sabah, dari aktiviti lasak hingga santai seperti mendaki gunung, scuba diving di pulau-pulau yang terkemuka di dunia, water rafting, pelbagai jenis aktiviti santai, semuanya ada.
5. Pilihan makanan
Kepelbagaian pilihan makanan juga antara aspek penting dalam memilih tempat berhoneymoon.
Di Kota Kinabalu, selain boleh merasa makanan lokal dan masakan tradisi, terdapat juga banyak restoran mewah dengan beraneka jenis menu bagi memenuhi keperluan pasangan warga asing yang hadir disitu.
6. Pemandangan alam yang menakjubkan
Dari banyak-banyak review yang telah kami teliti, majoriti pasangan warga asing yang berbulan madu di Sabah memuji pemandangan alam di negeri itu yang cukup menakjubkan.
Pemandangan gunung, pantai, pulau, lautan, waktu pagi dan senja serta menggabungkan dimensi waktu, ruang dan suasana hati masing-masing individu yang hadir, mengukir seribu memori yang baru. Hal ini tidak boleh dirakam dengan sarana paling canggih sekalipun, hanya terakam di memori masing-masing individu.