Fedoh Ompiduk anak jati Rungus kelahiran Sabah ini menjadi tumpuan di Standard Chartered KL Marathon (SCKLM) 2016 baru-baru ini kerana menampilkan keunikan pakaian tradisional Rungus ketika menyertai acara larian Marathon.
Menurut Fedoh Ompiduk, usaha tersebut dilakukan oleh beliau kerana mahu manfaatkan peluang yang ada untuk mempromosikan budaya dan tradisi Rungus melalui larian.
Ini bukanlah sesuatu yang baru bagi anak muda berkelulusan Sarjana Muda Sastera (Bahasa dan Linguistik Melayu) ini yang kini bertugas sebagai seorang guru di Rawang, Selangor.
Seawal tahun 2014 ketika menghadiri Majlis Konvoksyen UPM, beliau telahpun memakaikan baju tradisi Rungus bersama adik perempuannya, dengan harapan dapat memberi pendedahan kepada orang luar agar mengenali dengan lebih dekat pakaian tradisi bangsa Rungus yang unik dan istimewa.
Sepanjang kehadiran mereka di majlis itu, ramai yang tertarik dengan penampilan beliau dan adiknya. Ramai juga yang ingin bergambar dengan mereka termasuk graduan-graduan dari luar negara. Tambah beliau, dari situlah beliau dapat mempromosikan pakaian tradisi dan budaya bangsa Rungus.
Sejak kecil lagi, Fedoh Ompiduk memang terdedah dengan kebudayaan dan tradisi Rungus. Beliau pernah membuat persembahan Mongigol Sumundai dan pandai membuat kraf tangan manik yang merupakan sumber pendapatan sampingan keluarga (ibu) sehingga kini.
Fedoh Ompiduk mula melibatkan diri dalam bidang larian pada bulan April, 2014. Beliau mendapat inspirasi daripada cerita kepahlawanan orang Rungus zaman dahulu, mengambil keputusan untuk berlari tanpa kasut. Pengalaman zaman kanak-kanak yang berjalan kaki ayam sejauh 3km ke sekolah sewaktu sekolah rendah menguatkan lagi semangat untuk terus berlari tanpa kasut.
Sekarang, Fedoh Ompiduk mampu melakukan larian lebih dari 50km tanpa memakai kasut. Sehingga kini, beliau sudah menyertai 35 acara larian iaitu 12 ultra marathon, 11 full marathon dan selebihnya jarak dalam lingkungan 10 hingga 30km. Larian paling jauh yang disertai ialah Borneo Deathmarch 250km.
Sokongan ahli keluarga, terutamanya ibu memberikan kekuatan kepada Fedoh Ompiduk untuk terus berlari. Pakaian tradisi yang beliau miliki ini semuanya atas usaha ibunya.
“Satu perkara yang harus kita pegang, di mana pun kita berada, jangan sesekali lupa akan asal usul kita. Kadang kala, kita akan kelihatan berbeza dengan yang lain tetapi dari situlah kita dapat memberikan kesedaran kepada masyarakat bahawa bangsa Momogun Rungus memang wujud di dunia” – Fedoh Ompiduk.