Mengintip Keunikan Kompia, Ini 5 Fakta Menarik Tentang Kompia Sibu Sarawak

    2195

    Tidak lengkap kunjungan anda ke Sibu, Sarawak sekiranya tidak mencuba dan merasa sendiri Kompia yang boleh didapati dengan mudah di sekitar bandar Sibu.

    Jadi, bagi sahabat-sahabat Borneodihati yang merancang melawat Sibu, pastikan anda tidak lepaskan peluang merasa sendiri Kompia asli yang terdapat di bandar Angsa ini.

    1. Sejarah Kompia 

    Kompia sebenarnya berasal daripada negara China. Dikatakan Kompia dibakar buat pertama kali oleh Jeneral Qi Guang pada tahun 1563 di wilayah Fujian, China ketika beliau memimpin pasukannya berperang dengan Jepun.

    Oleh kerana dalam kondisi peperangan, keadaan tersebut menyukarkan  proses memasak makanan, maka beliau memikirkan cara untuk menyelamatkan tentera dan kaumnya dari kelaparan dengan membakar roti keras berkerak yang boleh disimpan dalam tempoh masa yang lama, mudah dibawa ketika bergerak dan boleh makan pada bila-bila masa.

    Rupa Kompia yang dijual di Sibu (Foto Kredit : Connie Chew)

    Roti tersebut kemudiannya diikat dengan tali bersama-sama dengan sayur-sayuran melalui saluran lubang di bahagian tengah kompia dan seterusnya digantung di atas bahu para tentera.

    Dengan cara ini, mereka bukan saja dapat bawa bekalan makanan dengan mudah, bahkan tidak menganggu pergerakkan ketika ke medan pertemuran.

    Isu makanan diatasi, dan akhirnya musuh berjaya dikalahkan dan seluruh rantaunya diselamatkan.

    Sebagai penghormatan kepada Ketua Jeneral Qi Guang, mereka menamakan roti tersebut sebagai “Guang Ping” atau lebih hari ini lebih dikenali sebagai Kompia. Roti Kompia kemudiannya dibawa ke Sibu oleh komuniti Foochow pada awal tahun 1900-an.

    2. Pembuatan Kompia Secara Tradisional 

    Sungguhpun sudah ramai pengusaha yang telah menggunakan gas dan ketuhar elektrik bagi menghasilkan dan membakar Kompia, namun, di bandar Sibu ini anda masih boleh dapatkan Kompia asli yang dibakar menggunakan cara tradisional iaitu menggunakan ketuhar arang. Bagi pengemar Kompia, sudah tentu cara penghasilan secara tradisi ini tetap menjadi pilihan mereka.

    Ketuhar Arang untuk membakar Kompia (Kredit Foto : Pro Steve)

    3. Dua jenis kompia 

    Jenis kompia (Kredit Foto : Josephine Tnay)

    Secara umumnya, kompia asli adalah merujuk kepada dengan roti yang lebih keras, mempunyai taburan binjan dan rasanya lebih kepada masin. Namun, ada juga mencuba jenis yang lembut dan manis.

    4. Kompia dikomersilkan 

    Sekiranya anda berkunjung ke kedai-kedai sekitar pusat bandar Sibu, anda boleh dapati bahawa Kompia telah dikomersialkan mengikut selera pelanggan dengan memasukkan pelbagai inti ke dalam roti itu.

    Anda boleh menemukan Kompia yang berinti ayam BBQ, tuna, ayam, ikan bilis, charsiew dan pelbagai jenis inti-inti lain yang disesuaikan dengan kehendak para pelanggan.

    Kompia yang mempunyai inti (Kredit Foto : Frankie Yong)

    5. Kompia boleh didapati dengan mudah

    Kompia seakan sudah sebati dan menjadi sebahagian daripada makanan rutin penduduk di Sibu. Ia bukan saja digemari oleh komuniti Foochow, bahkan juga amat disukai oleh penduduk dari etnik lain.

    Kompia boleh didapati dengan mudah disekitar pusat bandar Sibu dan ia boleh dibeli seawal 6.00pagi sehinggalah ia habis dijual.

    Bagi anak kelahiran Sibu yang berkerja dan merantau di luar Sarawak pula, sekiranya berpeluang balik ke laman kampung di Sibu, sudah tentu Kompia akan menjadi antara senarai buah tangan yang akan mereka beli untuk dibawa pulang ke tempat kerja bagi dikongsikan dan dinikmati oleh kawan-kawan mereka yang tidak pernah mencuba kompia.

    Comments

    comments