Pengalaman Kali Pertama Sambut Hari Gawai, Gadis Ini Dibawa “Ngabang” Ke 7 Buah Rumah di Sarawak!

3576

Hari Gawai sentiasa menjadi perayaan yang hanya dibaca dalam buku teks sekolah. Saya tidak tahu apa yang akan berlaku, atau mengapa ia disambut, melainkan penjelasan di buku teks yang mencatatkan bahawa ia adalah pesta 2 hari bagi penduduk memanjangkan kesyukuran kepada Tuhan kerana hasil tuaian yang baik.

Buku yang saya baca itu tidak pernah menjelaskan bagaimana ia disambut atau apa yang berlaku dalam 2 hari tersebut.

Akhirnya saya dapat juga mengalami dan melihat sendiri kemeriahan sebenar sambutan Hari Gawai di Sarawak bersama dengan para sahabat iaitu Ninja, Angie, Belinda. Peluang ini sekali dalam seumur hidup!

Angie adalah Sarawakian, anak tempatan yang telah memanjangkan jemputan kepada kami untuk berkunjung dan melawat kampungnya di Sarawak.

Sekiranya bukan jemputan dia, saya tidak akan pernah tahu hospitaliti yang begitu baik oleh komuniti Bidayuh di sana.

Cara mereka menyambut kehadiran tetamu membuatkan anda rasa seperti berada di rumah sendiri.

Sekiranya bukan jemputan ini, saya tidak akan berkesempatan merasa makanan tempatan yang cukup enak dan yang belum pernah saya rasa sebelum ini.

Sekiranya bukan jemputan ini, saya juga tidak akan pernah mendapat peluang untuk melangkah masuk ke rumah panjang dan melihat keunikan infrastuktur yang boleh menempatkan lebih 20 keluarga dalam satu-satu masa.

Pada hari pertama Gawai, kami telah melawat sejumlah 7 buah rumah. Sesetengah rumah masih mengekalkan corak binaan rumah tradisional, ada yang berdiri teguh dan kukuh di atas bukit.

Saya suka kehidupan berkomuniti di setiap kampung di sini. Keeratan hubungan setiap keluarga yang berkongsi kedamaian dan kebebasan daripada tekanan hidup.

Kami warga kota sebenarnya tidak sedari akan kehilangan sesuatu yang berharga dalam hidup kami, kehidupan kami yang sentiasa sibuk memburu perkara-perkara materialistik yang tidak membawa apa-apa makna pada akhirnya nanti.

Di kesemua 7 buah rumah yang dikunjungi, kami telah dihidangkan pelbagai makanan tempatan yang lazat sekali. Ada daging lembu, kambing, daging babi yang disediakan dalam pelbagai cara.

Bahkan ada juga coklat, beras ungu atau beras pulut yang seakan lemang. Di setiap lawatan kami, pinggan makan yang penuh berisi sentiasa diedarkan kepada tetamu dan cawan kami juga tidak pernah kosong.

Kami juga terpaksa bergegas dari sebuah rumah ke rumah yang lain kerana lebih banyak makanan sedang menanti kami di rumah yang lain.

Apabila datang kepada minuman pula, minuman mesti hari Gawai – tuak! Ia adalah sejenis wain beras yang dihasilkan sendiri oleh penduduk disini.

Berbekalkan beras, yis dan gula, ia memberikan anda rasa wain terbaik yang pernah saya cuba. Setiap keluarga mempunyai resipi yang berbeza dan setiap rumah yang anda lawat juga akan menyajikan sesuatu yang berbeza.

Di antara sambutan perayaan pula, golongan muda akan pergi dari rumah ke rumah untuk melakukan acara berdoa.

Selalunya, ia disertai dengan muzik yang datang daripada pukulan gendang, instrumen tradisional yang lain dan semua orang digalakkan untuk menari bersama-sama. Ini adalah festival yang terbaik yang pernah saya hadiri.

Saya benar-benar melihat apa erti sebenar 1Malaysia, apabila Dayak, Cina dan India serta semua suku etnik yang lain makan bersama-sama di sebuah meja dan minuman pula dikongsikan seperti semua satu keluarga.

Saya mengerti buat kali pertama apa yang dimaksudkan melihat perpaduan lebih daripada limitasi warna kulit, agama dan budaya. Sebaliknya menerima antara satu sama lain seadanya, kerana manusia semua sama.

Sarawak, terima kasih atas layanan anda.

Terima kasih juga ditujukan kepada Angie dan seluruh keluarga yang telah melayan kami seperti anggota keluarga mereka sendiri.

Pengalaman yang kami dapat di sini tidak mungkin akan dapat kami cari di tempat lain.

Terima kasih kerana menunjukkan kepada kami cara untuk mengasihi sesama kita, hubungan persaudaraan dan keeratan keluarga.

Comments

comments