Selepas hampir 6 tahun saya tidak bermastautin di Sarawak, berdasarkan rekod saya, sudah lebih 20 kali saya berkunjung ke Sarawak. Saya ke Kuching, Sibu, Mukah, Bintulu dan juga Miri.
Kenapa saya terus ke sini? Saya tiada jawapan konkrit. Asalkan ada panggilan dan jemputan serta ajakan. Saya akan terus ‘godek’ web Air Asia, MAS, Malindo Air dan satu ketika Firefly. Ada yang berkata, bolehlah…kehadiran kamu ditaja di sponsor. Seingat saya 3 kali sahaja di sponsor tiket dengan saya mendahulukan wang saku saya. Selebihnya saya sampai ke Sarawak atas tanggungan sendiri.
Sarawak sangat bermakna buat diri saya. Hingga nama pena saya Nazmie Samarahan dikekalkan walaupun saya bukan lagi penghuni Kota Samarahan. Perkataan Samarahan terus mengikut saya hinggakan poster kuliah saya akan tertera Nazmie Samarahan.
Tak kurang juga pengerusi majlis samada di Masjid atau jabatan kerajaan menjemput saya berucap dengan berkata dipersilakan Ustaz Nazmie Samarahan, Tuan Nazmie Samarahan Bin Abdul Ghani, Encik Nazmie Bin Samarahan dan bahkan ada yang akan bertanya apa makna Samarahan dalam bahasa arab. Kalimah itu begitu asing buat mereka.
Di Sarawak saya mula bergaul dengan sahabat-sahabat berbilang kaum. Sedikit sebanyak saya belajar tentang adat dan budaya. Bahkan tidak kekok antara kami “tanya-tanya” tentang agama masing-masing. Memegang Bible, melihat isi di dalamnya, orang bertanyakan tentang al-Quran dan lain-lain. Penuh harmoni.
Sarawak mengajar saya berdikari. Menjejakkan kaki di sini dikala usia 18 tahun. Datang dari negeri Kedah, negeri yang sangat majoriti Muslim, dimana bukan Islam hanya kelihatan di bandar sahaja. Bersekolah Arab, tiada peluang bermuamalah dengan non muslim.
Sampai Sarawak, 360 darjah hidup saya perlu bertukar. Dalam keadaan tanda salib, lambang-lambang agama lain sangat muda kelihatan. Bertukar di sini ialah tasamuh dalam beragama. Penghormatan antara satu dengan lain mula dipupuk. Bahasa yang berbeza bukan halangan. Rakan-rakan Sarawak tahu saya tidak pandai berbahasa ibunda mereka. Secara berdikit-dikit kefahaman diberikan.
Sarawak juga menyediakan ruang dakwah yang luas. Enam bulan pertama saya di sini, sudah pun mendapat peluang berkhutbah Jumaat. Selepas 2 tahun di sini, ruang-ruang dakwah mula terbuka. Berpidato, berkuliah, berceramah, motivasi pelajar dan lain-lain semuanya saya belajar di Sarawak. Masjid memberikan ruang yang luas bagi sesiapa sahaja yang ingin berkongsi ilmu.
Berkenalan dengan beberapa figur penggerak Unit Saudara Kita (USK) antaranya Puan Nurulhuda Abdullah dan Mejar Sabri Wahid memberikan pengalaman baru kepada saya dalam dakwah non Muslim. Kampung sejauh Kampung Sawai di pedalaman Sarawak mula dijejaki. Kampung Kandaie antara Kampung yang mula saya menjejaki. Apa khabar mereka semua ya sekarang ini?
Hampir tahun ke 5 di Sarawak dalam keadaan saya masih mahasiswa guru, diberi peluang oleh pegawai Sektor Pendidikan Islam Negeri Sarawak pada waktu itu Ust Mohamad Sayuti Omar (Kini pegawai Dakwah BPI KPM) untuk membina modul kem Ibadah 3H 2M. Dan modul ini diguna pakai hampir di semua bahagian di negeri Sarawak anjuran Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak. Lebih manis apabila Ustaz-ustaz di peringkat bahagian menghubungi saya bertanya itu dan ini tentang modul tersebut. Satu penghargaan buat saya. Moga sepanjang ia digunakan di Sarawak, ia memberi manfaat buat semua.
Sarawak juga terkenal dengan enaknya makanan. Terus terang, lidah saya tidak dapat terima masakan Sarawak ketika mana mula-mula sampai ke sini. Namun mula bercinta dengan masakannya. Kek lapis, laksa Sarawak, ayam pansuh, sayur midin, ohh…banyak jika mahu disenaraikan.
Sarawak juga mempunyai tokoh-tokoh hebat dalam medan dakwah dan siasah. Saya gembira dan bersyukur dapat berkenalan dengan mereka semua.
Banyak jika mahu senaraikan apa manisnya Samarahan dan Sarawak buat diri saya. Biarlah ia menjadi memori manis dan sebahagiannya duka buat diri saya yang akan terus dikandung badan hinggalah saya kembali mengadap Allah swt.