Pada Disember 2017 yang lepas, saya telah menyertai Borneo Youth Sape Festival yang diadakan di Sibu. Disitulah saya dipertemukan dengan pemain Sape terkenal iaitu Encik Mathew Ngau Jau (National Living Heritage) dan Encik Jerry Kamit.
Mathew Ngau Jau adalah seorang “guru” Sape yang bukan saja ternama di Malaysia, tetapi juga di peringkat international.
Saya masih ingat dalam sebuah sesi interview oleh Astro Awani, Mathew Ngau Jau berpesan agar generasi muda hari ini bukan saja perlu belajar bermain Sape tetapi juga harus mewarisi kemahiran yang diperlukan untuk menghasilkan instrumen tersebut agar ia tidak pupus.
Sejak itu, semangat untuk membuat Sape’ semakin menebal dalam diri meskipun merasakan ianya agak sukar untuk dilakukan.
Saya banyak diberikan sokongan dan semangat oleh keluarga dan rakan rapat untuk membuat Sape. Pada awal tahun 2018, saya mula membuat Sape meskipun tiada asas dalam pembuatan Sape’.
Berbekalkan kemahiran pertukangan dan seni, saya memberanikan diri untuk cuba membuat Sape’ berdasarkan pemerhatian dan turut diberikan sedikit tunjuk ajar oleh Encik Dines Ngau Wan, iaitu seorang pembuat dan pemain Sape’.
Akhirnya, dalam tempoh masa 2 bulan, iaitu pada bulan Februari 2018, saya berjaya untuk menghasilkan Sape’ pertama yang dibuat 100% oleh saya sendiri walaupun tiada pengalaman.
Manakala Sape kedua pula berjaya disiapkan pada bulan Mac dan saya bercadang untuk membuat banyak lagi Sape setelah mendapat beberapa tempahan dari rakan.
Berikut adalah beberapa proses utama yang terlibat dalam pembikinan Sape:
1. Pemilihan Kayu
Kayu yang digunakan dalam pembuatan Sape adalah kayu Medang, iaitu sejenis kayu berkualiti, dan senang diusahakan untuk dijadikan Sape’. Kayu ini berdiameter lebih kurang 60cm.
2. Membentuk blok
Proses seterusnya adalah membelah dua kayu Medang dengan menggunakan chainsaw untuk membentuk blok kayu yang sesuai dengan saiz sebuah Sape. Secara amnya, blok kayu untuk membuat Sape adalah berukuran 4 kaki panjang, 7 inci lebar dan 4 inci tebal.
3. Proses membentuk Sape dan membelah bahagian lubang atau belakang Sape’
Proses ini dilakukan sehingga dalam dan nipis bagi memastikan Sape’ yang dibuat itu nanti akan menghasilkan bunyi yang nyaring.
Ketebalan dada atau permukaan Sape bagi menghasilkan bunyi Sape yang bagus dan berkualiti adalah 1cm atau kurang. Semakin nipis permukaan atau dada Sape serta semakin dalam lubang dihasilkan, maka semakin nyaring bunyi Sape yang akan dihasilkan itu nanti.
4. Ukiran pada kayu
Terdapat beberapa pilihan ukiran pada Sape antaranya ukiran bermotifkan corak Orang Ulu atau lukisan bermotifkan corak Pua Kumbu Iban.
5. Sape yang telah siap akan dilengkapi dengan pick up
Ia adalah sejenis alat elektronik bertujuan untuk menyambungkan Sape ke alat pembesar suara elektrik. Fret dan bridge Sape ini dibuat daripada rotan.
6. Inovasi menggunakan alat penalaan (tuning machine heads)
Ia diperbuat daripada logam alloy dan menggunakan tali pancing (stainless steel fishing line)