Aktiviti mendaki gunung sememangnya digemari ramai kerana ia bukan saja aktiviti sukan yang menyihatkan, tetapi juga memberikan kepuasan yang luar biasa apabila berjaya menawan puncak gunung selain ganjaran melihat pemandangan alam yang luas dan indah.
Sering dianggap sebagai kegiatan lasak yang sesuai untuk orang dewasa, aktiviti mendaki memerlukan si pendaki memiliki kekuatan fizikal dan mental yang paling asas. Ini kerana sepanjang pendakian, kita akan berdepan dengan laluan trek yang mencabar serta memakan masa berjam lamanya sebelum sampai ke puncak gunung. Kemudian, stamina yang sama diperlukan untuk turun semula ke kaki gunung.
Namun begitu, trend pendakian gunung seakan tidak lagi hanya sinonim dan dimonopoli oleh orang dewasa semata-mata apabila munculnya hero kecil bernama Wyatt Maktrav yang telah berjaya menawan lebih 40 buah puncak gunung.
Wyatt Maktrav berjaya mencipta pendakian pertama ketika usianya baru mencecah 8 bulan.
Berdasarkan catatan Malaysian Book of Records, pemegang rekod individu termuda yang pernah menawan puncak Gunung Kinabalu adalah Muhammad Amiruel Isohod dari Melaka. Ketika itu dia baru saja berusia 4 tahun 2 bulan.
Saat mengagumi kehebatan anak kecil ini, kita juga akan tertanya sekiranya selamat membiarkan kanak-kanak kecil pergi mendaki gunung kerana ia aktiviti yang berisiko dan mudah berlaku kemalangan saat mendaki kerana trek yang berbahaya, curam atau berbatu.
Sebenarnya, kedua orang tuanya iaitu Eduardo dan Sha Bedural adalah pendaki berpengalaman.
Selain menemani anak mereka sepanjang pendakian, Eduardo dan Sha Bedural sentiasa mengambil kira aspek keselamatan sebelum pergi mendaki seperti memilih gunung yang sesuai untuk didaki, mempertimbangkan apa-apa persediaan awal atau latihan sekiranya perlu, mengambil kira faktor cuaca dan sebagainya.
Jadi, aspek keselamatan anak saat mendaki gunung sentiasa dibawah pemantauan kedua orang tuanya.