1. Pisang Saba atau Pisang Nipah
Sabah adalah negeri utama pengeluar pisang Saba atau pisang Nipah dan mempunyai pasaran yang amat baik di Semenanjung dan Singapura.
Kalau di Sarawak, pisang ini dikenali sebagai pisang Kepok.
Tiap minggu pasti ada pisang Saba dihantar ke Kuala Lumpur dan Johor untuk pasaran Semenanjung.
Tahun 2015 saja sebanyak 8600 tan metrik pisang Saba telah dieksport ke Semenanjung dan trend eksport komoditi itu kian meningkat dari tahun ke tahun.
Pisang ini banyak digunakan untuk menghasilkan pisang goreng yang menjadi kegemaran dalam kalangan rakyat negara ini.
Pergi saja ke gerai makan atau gerai tepi jalan, jualan pisang goreng di satu-satu kedai boleh cecah ratusan kilo tiap hari. Ia juga banyak diguna oleh industri produk makanan berasaskan pisang seperti kerepek.
Harga ladang bagi pisang Saba adalah dibawah RM1 tiap kilo dan berubah mengikut permintaan dan pengeluaran semasa.
Manakala harga borong pisang Nipah di pasaran Semenanjung pula adalah sekitar RM2 sekilo hingga RM3 sekilo bergantung pada jumlah yang diborong. Selalunya lagi banyak yang diborong, harganya lebih murah.
2. Ikan Bilis & Hasil Laut Sabah
Sabah mempunyai pelbagai jenis hasil laut yang mendapat permintaan yang tinggi di pasaran.
Tiap kali sekiranya berkunjung ke Sabah, pelancong mesti rebut peluang mencuba makanan laut yang murah dan memborong pelbagai jenis hasil laut untuk dibawa pulang.
Antara hasil laut yang mempunyai pasaran di Semenanjung adalah ikan bilis, lagi-lagi menjelangnya Ramadan ini, permintaan terhadap ikan bilis pastinya akan meningkat.
Sumber ikan bilis di Semenanjung rata-ratanya daripada Kedah dan Terengganu, selain bilis yang diimport daripada Thailand serta Indonesia. Barangkali kos logistik membuatkan harga ikan bilis agak mahal di sekitar Lembah Klang.
Kalau di Sabah, lokasi seperti Kimanis, Tawau dengan mudah boleh beli pelbagai jenis atau kategori ikan bilis pada harga yang murah.
Ini termasuklah ikan bilis bulat (pelbagai jenis atau saiz), ikan bilis kopek atau ikan bilis belah, ikan bilis mata biru dan udang kering.
Ikan bilis Sabah bukan saja mempunyai pasaran yang baik di Semenanjung, tetapi juga di Brunei dan Sarawak.
3. Buah-buahan Borneo
Buahan-buahan Borneo seperti tarap dan bambangan juga mempunyai permintaan tinggi dalam kalangan komuniti Borneo di Semenanjung.
Disebabkan ia buah yang jenis bermusim, jadi kadang-kadang balik ke Sabah memang tidak berpeluang mahu merasa tarap dan bambangan.
Disebabkan itulah buah-buahan seperti tarap dan bambangan mempunyai pasaran yang baik di Semenanjung,.
Walau bagaimana pun buah-buahan ini sifatnya bermusim dan jangka hanyat buah yang pendek akan menyukarkan urusan logistik serta kos pembungkusan yang akan meningkatkan kos penghantaran dan mempunyai risiko yang tersendiri.
Bagi mereka yang berminat menerokai pasaran produk-produk keluaran Sabah ini, sekurang-kurangnya perlu pelajari dan menguasai aspek logistik (proses, prosedur dan pengurusan kargo kapal laut atau kapal terbang) dan kena cari pembeli atau pemborong siap-siap.
Selain tiga produk diatas, hasil tanaman lain yang patut diterokai pasarannya adalah seperti halia, pomelo dan lain-lain.