Berkunjung ke Sabah atau Sarawak menggunakan laluan udara sudah menjadi pilihan utama buat majoriti pengguna. Namun memandu merentasi sempadan Sarawak/Brunei/Sabah turut memberikan pengalaman berbeza. 

Sekiranya kamu merancang untuk mengembara menggunakan laluan darat Sarawak-Brunei-Sabah, berikut adalah panduan berguna untuk kamu. 

1. Sediakan matawang Brunei untuk bayar tol 

Sediakan matawang Brunei untuk bayaran tol di Tol Jambatan Rasau [Sumber gambar]

Ketika memandu di wilayah Brunei, kenderaan akan melalui Tol Jambatan Rasau. Kadar bayaran yang dikenakan pada sebuah kenderaan biasa adalah Brunei Dollar (BND) $3. 

Sekiranya perjalanan melibatkan pergi dan balik, maka sediakanlah duit siap-siap untuk bayaran tol dua hala. Selain matawang Brunei, tol tersebut juga menerima bayaran dalam matawang Dollar Singapore. 

2. Isi minyak petrol sebelum masuk Brunei

Di Brunei, kenderaan asing hanya dibenarkan mengisi minyak petrol di stesen petrol terpilih sahaja. Justeru itu, demi mengelak berlakunya masalah kereta yang dipandu kehabisan petrol sehingga perlu berpatah balik semula ke Miri, jadi, periksa lah terlebih dahulu baki petrol yang ada pada kenderaan sebelum bergerak memasuki sempadan Brunei dan isilah tangki minyak kereta semaksimum yang mungkin. 

3. Dua kali memasuki wilayah Brunei 

Secara umumnya, perjalanan darat dari Sarawak ke Sabah akan melewati wilayah Brunei untuk dua kali iaitu antara sempadan Miri-Brunei-Limbang dan Limbang-Brunei-Lawas.  

4. Pas sementara keluar / masuk kenderaan di Brunei

Pas Sementara Membawa Kenderaan Masuk/Keluar Brunei boleh diisi secara online di portal Brunei Vehicle Online Pass (VES

Tidak seperti tahun-tahun yang sudah dimana pemandu kena isi borang sementara keluar/masuk kenderaan secara manual di pos kawalan atau imigresen di Brunei, kini para pemandu sudah boleh melengkapkan borang tersebut secara online dari rumah sebelum bertolak.  

Apa yang diperlukan adalah memasukkan butiran-butiran asas berkaitan kenderaan di portal Brunei Vehicle Online Pass (VES), dan kemudian cetak slip tersebut yang akan disertakan dengan QR Code. Tempoh sah pas tersebut adalah 3 bulan dari tarikh pendaftaran. 

5. Scan pas sementara keluar/masuk kenderaan 

Seperti yang dijelaskan, slip yang telah dicetak itu nanti akan ada paparan QR Code. Menjadi kewajipan dan tanggungjawap pemandu sendiri memastikan tiap kali kenderaan KELUAR dan MASUK di pos kawalan wilayah Brunei, slip (QR code pada slip atau pas tersebut ) harus discan pada alat scanner yang terletak di pos kawalan. 

Ada ketikanya lokasi di mana terletaknya alat scanner itu tidak begitu “menonjol” di sebahagian pos kawalan, jadi eloklah bertanya saja pada pegawai kastam yang bertugas, mereka sentiasa sudi untuk membantu.  

6. Gunakan Waze untuk panduan jalan

Untuk yang pertama kali memandu menggunakan jalan darat Sarawak-Brunei-Sabah, tentu sekali risau tersesat jalan. Oleh itu, aktifkan aplikasi Waze sepanjang perjalanan adalah amat membantu terutamanya dikawasan persimpangan jalan.  

Cuma di Brunei, sekiranya masih perlu menggunakan aplikasi Waze, kamu harus aktifkan internet roaming yang dikenakan cas sekitar RM10 hingga RM20 sehari bergantung pada telco yang digunakan. 

7. Barang Terlarang dan Kawalan

Oleh kerana kita akan memasuki negara Brunei, sebaiknya periksa barang-barang yang dibawa sama ada untuk tujuan kegunaan sendiri atau barang yang mahu diperdagangkan itu dikategorikan sebagai barang kawalan atau barang terlarang oleh Brunei.  

8. Elak Pergerakan Pada Waktu Kemuncak 

Kesesakan di pos kawalan Limbang ke Brunei [Sumber gambar]

Sesiapa pun tidak gemar terperangkap dalam trafik yang mana kenderaan berbarisan panjang hingga harus menunggu berjam lamanya sebelum dapat meneruskan perjalananan menuju ke destinasi.

Untuk mengelakkan kejadian seperti ini, adalah dinasihatkan kamu membuat perancangan perjalanan untuk mengelak pergerakan pada waktu puncak di pos imigren Brunei terutamanya pada waktu balik kerja atau hujung minggu sebab pada ketika itulah akan ada banyak kenderaan yang turut keluar masuk menerusi pos kawalan sempadan. 

9. Waktu Operasi Pos Imigresen 

Sentiasa semak waktu operasi pos imigresen. Biasanya waktu operasi standard pos imigresen adalah antara 6.00pagi hingga 12.00tengah malam dan masa operasi selalunya akan dilanjutkan ketika musim perayaan. 

10. Passport 

Memandangkan perjalanan dari Miri, Sarawak ke Sipitang Sabah akan melewati negara Brunei, pastikan setiap penumpang mempunyai passport (termasuk anak-anak kecil). 

Bagi yang belum punya passport pula, berikut adalah antara jenis-jenis passport yang boleh kamu dapatkan dari Jabatan Imigresen Malaysia, bergantung pada keperluan masing-masing:

Passport Antarabangsa Malaysia  – RM200 untuk 5 tahun. Kadar bayaran untuk kanak-kanak dan warga emas pula adalah RM100. 

Passport Terhad ke Brunei – hanya untuk warga Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan. Passport ini hanya boleh digunakan ke Brunei. Kadar bayaran adalah RM50 untuk 5 tahun. 

Dokumen Perjalanan Kumpulan – untuk warganegara Malaysia, minima 5 orang hingga 20 orang. Dokumen ini boleh digunakan mengunjungi negara-negara ASEAN (kecuali Filipina dan Indonesia). Tempoh sah laku dokumen ini adalah 9 bulan sahaja dan bayaran RM200 untuk satu dokumen. 

11. Sembilan Pos Kawalan Imigresen

Pos Imigresen Sindumin – Merapok [Sumber gambar]

Sepanjang perjalanan dari Miri, Sarawak ke Brunei dan kemudian menuju ke Sipitang, Sabah, kita akan limpas 9 buah Pos Kawalan Imigresen.

  • Sindumin, Sabah (pos imigresen Sindumin dan Merapok berada pada bangunan yang sama)
  • Merapok, Sarawak
  • Trusan, Sarawak
  • Labu, Brunei
  • Temburong, Brunei
  • Pandaruan, Limbang
  • Tedungan, Limbang
  • Sungai Tujuh, Kuala Belait, Brunei
  • Sungai Tujoh, Miri, Sarawak

12. Rancang perjalanan dan patuhi undang-undang lalu lintas

Pemanduan dari Miri, Sarawak ke Kota Kinabalu boleh memakan masa antara 8jam hingga 10jam bergantung pada kadar pemanduan, trafik dan tempoh masa yang digunakan berehat sepanjang perjalanan (seperti buang air, berehat makan dan sebagainya). Jadi, rancang perjalanan dan bertolak awal agar dapat sampai di destinasi tepat pada masa yang dirancang. 

Nasihat akhir buat para sahabat Borneodihati, memandu di lebuh raya Brunei tentunya sangat seronok kerana permukaan jalan raya yang “licin” tanpa lubang-lubang.

Apa pun sentiasalah beringat untuk mematuhi peraturan jalan raya seperti had laju yang ditetapkan dan ikutlah lorong kiri sekiranya tidak memotong. Jangan sesekali terikut-terikut kenderaan yang memecut melebihi had laju, supaya tidak memudaratkan diri dan nama baik negara apabila tertangkap melakukan kesalahan trafik di tempat orang – Brunei.  

Comments

comments