Pegawai Penjara Ini Kongsikan Pengalaman Sertai Mr. Kaamatan Klang Valley

    946

    Saya Darryl Kanggim, Mr. Kaamatan Klang Valley Johor (Naib Johan) berusia 28 tahun, berketurunan Dusun Liwan dan berasal dari Kg Marakau Ranau, Sabah.

    Saya adalah anak ke-4 daripada 7 orang adik beradik dan berkerja sebagai seorang pegawai penjara di Melaka.

    Saya menyertai pertandingan Mr Kaamatan atau lebih dikenali sebagai “BUVAZOI TAVANTANG” kerana di sinilah pentas untuk saya menguji sejauh mana pemahaman saya tentang suku kaum yang saya peragakan iaitu suku kaum Murut Tahol, selain daripada mempelajari keunikan sejarah Murut Tahol.

    Keunikan dari segi busana juga merupakan antara faktor mendorong saya menyertai pertandingan ini.

    Antara persediaan yang saya lakukan sebelum berlansungnya pertandingan ini ialah sudah semestinya mempelajari bahasa ibunda Murut Tahol, sebagai pengenalan diri semasa pertandingan berlansung.

    Dari segi pakaian pula, saya menggunakan pakaian yang saya reka sendiri hasil daripada kajian (ketika Borneo Hornbill Festival) 3 tahun lalu tentang bahan utama, corak dan hiasan utama dalam busana kaum Murut Tahol ini.

    Usaha membawa suku kaum lain daripada suku kaum sendiri bukanlah satu perkara yang mudah kerana saya berketurunan Dusun Liwan Ranau dan sudah semestinya mempelajari bahasa ibunda Murut Tahol merupakan satu cabaran bagi saya.

    Selama 3 minggu saya mengambil masa untuk belajar secara lisan daripada rakan-rakan yang fasih berbahasa Murut selain mendengar lagu-lagu Murut untuk belajar sebutan yang betul.

    Saya bukan saja mahu mengangkat busana Murut Tahol, saya juga mahu berkongsi serba sedikit bahasa pertuturan kaum ini.

    Saya berharap Mr. Kaamatan Klang Valley dapat terus dianjurkan, kerana melalui pertandingan ini kita bukan sahaja dapat melihat keunikan busana Kadazan, Dusun, Murut, Rungus (KDMR), ia juga dapat menjaga khazanah warisan nenek moyang kita agar terus diwarisi, dijaga dan dikenali supaya ia tidak hilang ditelan zaman.

    Selain itu, melalui pertandingan ini juga anak-anak muda akan lebih memahami dan mempelajari tentang sejarah asal usul kaum yang mereka peragakan.

    Untuk mengangkat martabat kaum KDMR bukanlah satu perkara yang mudah kerana ia memerlukan kerjasama daripada semua pihak bagi memelihara dan memulihara tradisi kita agar terus diwarisi generasi ke generasi yg akan datang.

    Terima kasih kepada semua pihak yang banyak membantu khususnya Ketua Pengarah Mister Kaamatan Klang Valley 2017 En. Juanis Mering, Dr. Zulkifli Kassim, Cik Suzie, En. Adlan, En. Mizie, Dylan, serta rakan-rakan seperjuangan yang lain.

    Comments

    comments