6 Sebab Tidak Dapat Balik Kampung Sambut Gawai & Kaamatan Tahun Ini

1378

Tiga minggu lagi kita akan menyambut Hari Gawai dan Kaamatan.

Bagi anak perantauan Borneo, sudah tentu waktu ini ditunggu-tunggu, balik ke kampung berkumpul bersama keluarga dan meraikan sambutan Gawai dan Kaamatan.

Sungguhpun begitu, ramai juga anak Sabah dan anak Sarawak yang mungkin tidak dapat balik ke kampung tahun ini atas pelbagai faktor.

Antaranya adalah kerana:

1. Terpaksa Kerja atau Bertugas 

Ini adalah antara sebab utama ramai Sabahan dan Sarawakian yang tidak dapat pulang ke kampung demi menjalankan amanah tugas yang telah diberikan.

Sama ada anggota polis, jururawat, tentera dan pelbagai sektor pekerjaan di kerajaan atau swasta yang kadang kala perlu menjalankan tugas, terpaksa berkorban waktu beraya bersama keluarga demi tugas.

Harap-harap tahun berikutnya nanti akan dapat giliran untuk bercuti dan balik kampung menyambut Gawai & Kaamatan.

2. Lambat Beli Tiket Penerbangan, Harga Mahal  

Kadang-kadang ada juga situasi di mana memang sudah plan mahu balik Gawai atau Kaamatan.

Tangguh punya tangguh beli tiket penerbangan, sampailah beli tiket saat akhir, tentulah harga tiket jadi mahal.

Kalau beli beberapa bulan lebih awal mungkin hanya RM300 hingga RM500 sahaja. Tapi kalau sudah masuk bulan Mei baru mahu beli memang cecah ribuan ringgit.

Contohnya semakkan kami di portal penebangan mendapati lokasi seperti KL – Sibu, Sarawak adalah antara lokasi “panas”. Tiket penerbangan pada 26 Mei sudah pun habis.

Berikut pula adalah harga tiket pada 27 Mei 2017 (semakan harga pada 11 Mei, 5.28pm).

Manakala bagi kebanyakkan lokasi di Sabah pula, masih boleh dapatkan lagi tiket pada minggu terakhir Mei dan pada harga sekitar RM200 – RM400 (setakat hari ini).

Cara senang sebenarnya beli saja tiket penerbangan beberapa bulan lebih awal, ketika adanya promosi oleh syarikat penerbangan. Beli saja tiket murah itu walaupun belum ada perancangan balik.

Kalau pun tidak jadi mahu balik nanti pun tidak apa, kira rugi seratus dua ringgit saja. Apa-apa pun pandai-pandailah kita buat perancangan awal.

3. Mahu Duduki Peperiksaan Akhir Semester 

Majoriti pelajar Sabah dan Sarawak yang menyambung pengajian di universiti di Semenanjung tidak dapat pulang ke kampung bagi menyambut Hari Gawai dan Kaamatan.

Ini kerana tarikh sambutan Hari Gawai dan Kaamatan sering kali bertembung dengan tarikh minggu peperiksaan. Masing-masing kena buat ulangkaji dan persiapan menduduki peperiksaan akhir semester.

Kalau mahu balik ke kampung pun boleh sebenarnya, andai tarikh peperiksaan untuk subjek yang diambil itu jatuh pada minggu selepas hari Gawai atau Kaamatan.

Tapi pelajar mungkin akan pilih untuk tidak balik sebab kalau balik kampung nanti memang “mood” mahu beraya saja. Jadi, takut pula nanti tidak ada masa mahu ulangkaji subjek peperiksaan.

4. Tidak Dapat Ambil Cuti Lebih

Selain faktor bertugas ketika Gawai dan Kaamatan, faktor tidak dapat cuti yang lebih juga adalah antara sebab rancangan mahu balik kampung tidak menjadi.

Contohnya hanya dapat cuti 3 atau 4 hari. Kalau yang tinggal di kawasan pusat bandar utama seperti di Kota Kinabalu atau Kuching memang tiada masalah. Kira cukup juga cuti 3 atau 4 hari.

Tapi bagi yang duduk jauh dari kawasan bandar, perjalanan mahu pulang ke kampung pun sudah mengambil masa 2 hingga 3 hari. Jadi kalau tidak ada cuti 1 minggu atau lebih, memang suntuk waktu mahu pulang ke kampung.

5. Hal Kecemasan 

Kita hanya mampu merancang, sebaik-baik perancangan kita, kadang-kadang akan ada waktunya kita juga tidak terlepas dari ujian dan cabaran. Lagi-lagi saat gembira mahu balik kampung untuk beraya bersama keluarga.

Saat itulah akan berlaku hal-hal kecemasan sama ada ahli kelurga jatuh sakit dan sebagainya. Apa pun kita harap kita dijauhkan dari semua perkara ini.

6. Tidak Cukup Bajet 

Isu kewangan pun kira mencabar juga hari ini, lagi-lagi yang duduk di merantau jauh dan punya ramai ahli keluarga.

Katakan ada 5 orang ahli keluarga yang mahu balik sekali, memang kena simpan beberapa ribu juga sebagai belanja untuk pengangkutan saja.

Apa lagi kalau duduk di luar negara.

Bagi penjawat awam yang ada tiket percuma boleh manfaatkan, kurang juga bebanan kewangan mahu balik Gawai dan Kaamatan nanti.

Comments

comments