Pengalaman Bertugas di Sabah : Dulu Takut, Kini Cinta

    13103

    Pada tahun 2005, sehari sebelum arahan penempatan bertugas, setelah tamat latihan asas kepolisan, saya berdoa tanpa henti agar tidak ditempatkan di Malaysia Timur (Sabah & Sarawak).

    Pelbagai momokan, kisah mistik dan bermacam-macam versi menakutkan yang telah dihidangkan kepada saya.

    Teringat ketika nama saya disebut, jantung seolah-olah terhenti bila saya ditugaskan ke Daerah TENOM! Sebuah daerah pendalaman Sabah (Saya langsung tidak pernah mendengar nama daerah ini!)

    Saya mula membuat carian dengan Encik Google tentang Tenom dan bertambah menakutkan bila saya terlihat beberapa gambar tengkorak bersusun di dinding dalam sebuah rumah kebudayaan disana. (Hati mula terfikir yang bukan-bukan tentang satu kaum yang mengamalkan Kanibalisme di Amazon, Brazil)

    Pada bulan Ogos 2005 (jika tidak silap) dengan hati yang amat berat, saya telah terbang ke Kota Kinabalu dari Kuala Lumpur.

    Sepanjang dalam penerbangan fikiran saya kusut memikirkan saya akan ke Sabah bukan melancong, tetapi menetap dalam jangka masa yang agak panjang.

    Saya tidak pernah keluar dari Semenanjung walaupun ke negara jiran dan kini saya terpaksa menetap di sebuah negeri yang sangat asing bagi saya. Bagaimana saya boleh menyesuaikan diri dengan makanan, bahasa, adat dan budaya di Sabah?

    Adakah orang-orang Sabah dapat menerima kehadiran saya orang dari Semenanjung?

    Setelah saya menjejakkan kaki di Kota Kinabalu, saya telah dijemput oleh pemandu Berbangsa Murut.

    Dia menyapa saya “Selamat Datang Ke Sabah” “Ampai saja tuan punya beg disiring, nanti sa angkat tu beg masuk di bonet”.

    Saya terdiam, kerana tidak faham apa maksud percakapannya. Mengikut pefahaman saya “ampai” mungkin rumpai dan “siring” mungkin seiring. Tetapi bila digabungkan macam tidak kena tafsiran saya itu.

    Melihat saya kehairanan, pemandu itu ambil beg saya dan terus masukkan kedalam bonet kereta.

    Dalam perjalanan saya cuma terdiam kerana sekeliling saya cuma laluan curam dan hutan rimba dan suhu sejuk disitu betul2 menggigit tulang (kami menggunakan jalan Gunung Mas, Tambunan kerana jalan Kimanis masih dalam pembinaan) masa perjalanan ketika itu kira-kira 4 jam dari Kota Kinabalu kerana keadaan gelap dengan jalan yang curam, licin dan berbukit serta hujan.

    Setibanya di Tenom saya telah dibawa berjumpa dgn seorang pegawai senior saya Allahyarham Insp Rizal Basin (Al Fatihah) di sebuah restoren makanan segera popular di dunia KFC!! (masa itu terus rasa macam nak peluk saja cashier yang cantik sebab Google tak cakap ada KFC di Tenom haha).

    Saya mempelawa pemandu untuk makan sekali bersama kami tapi dia menolak dengan sopan dan berkata “Indapa tuan, sa mo bubut masa bah..ngam2 esuk sa cuti mo pulang kampung” saya terdiam kembali (indapa, bubut, siring, ampai saya lansung tidak ada idea apa maksud perkataan2 itu)

    Setelah beberapa bulan di Tenom, sedikit-sedikit persepsi melampau sebelum ini mula terhakis. Saya tertarik dengan sikap kebanyakan masyarakat di Tenom yang lembut bila bertutur terutama dengan “orang luar” seperti saya.

    Adalah suatu amalan disini khasnya apabila yang muda ingin melintasi dihadapan yang lebih tua dengan menundukkan badan dan berkata “limpas ya” (tumpang lalu).

    Semangat kekeluargaan disini juga kuat saya masih tidak lupa gelaran “first cousin” “second cousin” yang biasanya kami guna hanya sepupu. Dalam satu rumah juga kita boleh lihat ada yang Muslim, ada yang Kristian dan ada yg masih mengamalkan kepercayaan paganisme. Tetapi tiada sebarang masalah untuk menghormati kepercayaan masing-masing.

    Saya sendiri sering dijemput untuk menghadiri perkahwinan di Gereja dan saya tidak pernah menghampakan pihak yang menjemput.

    Di Sabah, terdapat 27 suku kaum, bagaimanakah mereka dapat mengekalkan keharmonian hidup dengan kepelbagaian adat, budaya dan agama ini? Rahsianya cuma satu, “RESPECT”.

    Sebagai muslim saya tidak boleh mempercayai apa yang kamu percaya, tetapi saya menghormati apa yang kamu percaya. Formula ini sepatutnya bukan hanya di implimentasikan di Sabah tetapi di seluruh Malaysia.

    Iman kita sebagai seorang muslim seharusnya tidak disandarkan pada “taboo” semata-mata.

    Kadang-kadang saya hairan adakah iman kita cuma disandarkan pada logo-logo bukan Islam semata-mata? Bagaimana pula dgn isu sosial yang semakin membarah didalam masyrakat Islam kita? Adakah sesiapa yang turut mengambil berat??

    Jika dahulunya saya ditakutkan dengan bermacam-macam keadaan kemunduran di Sabah, kini saya rasa cinta saya makin menebal.

    Kepada mereka diluar sana yang belum pernah menjejakkan kaki ke Sabah, saya cadangkan anda lawatilah kesini. Berdepanlah dengan masyarakat disini.

    Saya berani berkata disini anda akan mula mengenali cinta pandang pertama. Saya bukan orang Sabah. Tetapi Sabah ada ruang yang istimewa di sudut hati saya.

    Menilailah sesuatu itu dengan adil atau sekurang-kurangnya kamu tidak berkata apa-apa yang belum pernah kamu jumpa.

    Comments

    comments