6 Tempat Anda Boleh Jumpa Sabahan dan Sarawakian di Semenanjung

3380

Bilangan anak Sabah dan Sarawak yang menetap di Semenanjung Malaysia sememangnya ramai.

Ada yang berada di Semenanjung atas sebab mencari rezeki dan ada juga yang sedang menyambung pengajian di IPTA atau IPTS di sana.

Berikut adalah beberapa tempat dan lokasi yang kami rasakan mudah untuk anda yang mahu berhubung atau bersua dengan rakan-rakan dari Sabah atau Sarawak.

1. Lapangan Terbang

Tiap kali menunggu pesawat di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KILIA), selalu akan terserempak dengan kawan-kawan Sabahan dan Sarawakian.

Apalagi kalau musim perayaan, cuti semester, memang ramai anak Sabah dan Sarawak yang berada di perantau akan pulang ke laman kampung.

Kadang-kadang di KLIA atau KLIA 2, anda bukan sekadar dapat jumpa kawan senegeri, bahkan orang sekampung yang sama daerah yang sudah lama tidak pernah jumpa pun kadang-kabang boleh terserempak di lapangan terbang.

Jadi, rajin-rajinlah saling berteguran dan berkenalan tatkala berjumpa. Jangan malu-malu.

Tapi jangan pula “semata-mata” mahu kenal dan jumpa orang Sabah atau Sarawak kamu pergi lapangan terbang.

2. Universiti

Bagi anak Sabah dan Sarawak yang menyambung pengajian di Semenanjung pula, bilanganya memang ramai.

UPSI yang terletak di Tanjung Malim boleh dikatakan antara universiti yang menempatkan bilangan pelajar Sabah dan Sarawak yang ramai. Dianggarkan dalam 2000 ribu orang.

Jadi keberangkalian untuk berkenalan dan jumpa dengan orang Sabah dan Sarawak memang tinggi.

3. Kedai Makan

Negeri Sabah dan Sarawak boleh dikatakan sebagai “syurga makanan”. Justeru itu, kehadiran warga Borneo di Semenanjung sudah tentu akan membuatkan mereka rindu akan masakan kampung.

Situasi ini secara tidak langsung telah meningkatkan permintaan terhadap masakan tradisi Sabah dan Sarawak yang sukar dicari di Semenanjung.

Atas sebab itu, seawal tahun 2015 dan 2016 menyaksikan lonjakan pembukaan restoran atau kedai yang menjual pelbagai masakan Sabah dan Sarawak di sekitar Lembah Klang bagi memenuhi permintaan anak-anak Borneo.

Antara restoran atau kafe bertemakan Borneo di KL atau Selangor adalah seperti Restoran Pinggan Borneo, Kafe SALTed, Sarawak Bowl, Pinjan Sarawak, Javian Kitchen dan sebagainya.

Jadi, inilah tempat-tempat anak Sabah dan Sarawak akan berkumpul, melepaskan rasa rindu akan masakan Sabah atau Sarawak.

4. Pasar Borneo

Selain restoran dan kafe, tahun 2016 turut memperlihatkan usaha oleh anak-anak Borneo di perantau bagi memulakan pasar tamu yang cukup sinonim dengan komuniti di Sarawak dan Sarawak.

Pasar Borneo Seri Kembangan dan Borneo Streee Galaxy Ampang Mall yang beroperasi tiap hujung minggu menjadi tempat bagi usahawan Borneo memasarkan pelbagai produk, sayur, barangan dan makanan berkonsepkan Sabah dan Sarawak.

Selain di area Selangor, Pasar Borneo turut dibuka di Pasir Gudang, Johor. Bahkan sebuah Pasar Muafakat Sabah juga sedang dalam pembinaan dan akan beroperasi tidak lama lagi di Bandar Seri Alam, Pasir Gudang, Johor.

5. Rumah Ibadat

Rumah ibadat juga adalah tempat yang tidak pernah ditinggalkan oleh anak Sabah dan Sarawak sungguhpun berada di jauh dari kampung. Tuhan jangan ditinggalkan, pesan orang tua-tua sebelum kami merantau di tempat orang.

Tiap penganut berlainan latar belakang atau kepercayaan akan menunaikan tanggungjawab keagamaan berdasarkan pegangan masing-masing.

Persekutuan komuniti di rumah ibadat inilah menjadi sistem sokongan yang terbaik buat anak-anak perantauan.

6. Festival dan Acara Tahunan

Tiap tahun memang banyak acara, sambutan atau festival yang akan diadakan di serata negeri di Semenanjung, tidak kira skala acaranya besar atau kecil.

Tempat-tempat yang mempunyai bilangan penduduk Borneo yang ramai sudah tentunya akan mengambil inisiatif menganjurkan program-program yang berkaitan.

Antaranya adalah seperti Perayaan Gawai dan Kaamatan, Majilis Berbuka Puasa atau sambutan Hari Raya bersama dengan Ketua Menteri kedua-dua negeri, Lan Berambeh Anak Sarawak serta pelbagai sambutan kebudayaan dan tradisi Sabah dan Sarawak di peringkat universiti.

Selain dapat jumpa sahabat-sahabat dari Borneo, peluang menghadiri acara sebegini terutamanya bagi sahabat-sahabat Semenanjung, anda juga akan berpeluang mengenali tradisi dan kebudayaan Borneo, selain menikmati pelbagai makanan tempatan Sabahan dan Sarawakian.

Comments

comments