Amir Kamaruzzaman adalah seorang anak muda kelahiran Kuala Lumpur yang mengusahakan bisnes ayam pansuh. Amir mula berniaga ayam pansuh pada awal bulan puasa tahun 2015 yang lepas setelah beliau kehilangan pekerjaan dalam bidang minyak dan gas akibat daripada kejatuhan harga minyak dunia.
Menurut Amir, beliau sendiri teringin memiliki bisnes ayam pansuh sebelum ini, tetapi terbatas atas kesibukan kerja. Dengan waktu yang terluang dan berbekalkan sedikit simpanan, beliau jadikan sebagai modal untuk memulakan perniagaan ini.
Dari segi keuntungan, ia agak lumayan sungguhpun hanya mengusahakan bisnes itu secara sambilan dan pada musim bulan puasa sahaja. Tahun lepas umpamanya, “saya mendapatkan untung bersih dalam RM4k setelah tolak duit minyak, gaji penolong dan modal bahan-bahan” kata Amir.
Dari segi resipi ayam pansuh pula, Amir memberitahu, resipi itu diajar oleh sahabat baik beliau yang bernama Steve Paul David, seorang yang berbangsa Kelabit yang berasal dari Bario, Miri
Dari resipi asal yang diajarkan itu dan juga maklum balas dari pelanggan-pelanggannya, terhasillah resipi ayam pansuh yang beliau kenali sebagai “Ayam Pansuh KL” yang senang dinikmati oleh semua kaum tidak kira di Semenanjung, ataupun di Sarawak.
Sungguhpun lahir di Kuala Lumpur, namun, beliau dibesarkan di Miri, Sarawak sehingga beliau berumur 12 tahun. Sebahagian besar zaman kanak-kanak Amir dihabiskan di sana. “Saya juga sekali-sekala pergi melawat Miri untuk mengubat rindu kerana hatinya sentiasa berada di sana” ujarnya.
Sekiranya tiada halangan tugas dan komitmen lain, Amir juga merancang meneruskan bisnes itu pada bulan puasa tahun ini.