Negara China seringkali memberikan “kejutan” kepada dunia luar akan keunikan dan betapa luar biasanya projek pembinaan di negara itu hingga ia juga memperoleh monopoli atas pemborosan seni bina dan prestasi struktur terkini. 

Sebelum ini kita digemar-gemurkan dengan bangunan pencakar langit Liebian International Plaza di bandar Guiyang, China yang menampilkan air terjun buatan manusia tertinggi di dunia yang mempunyai ukuran ketinggian 108 meter (354 kaki). Kini di kota Shanghai pula dikhabarkan hotel bawah tanah pertama di dunia yang dinamakan sebagai InterContinental Shanghai Wonderland bakal beroperasi tidak lama lagi. 

Intercontinental Shanghai Wonderland yang juga dikenali sebagai Hotel Deep Pit dijangka mula beroperasi suku keempat tahun ini iaitu antara bulan Oktotober ke Disember. Pembinaan hotel ini menjadi unik kerana banyak sebab: 

1. Hotel dibangunkan di sebuah kuari yang terbengkalai 

Selalunya pembinaan hotel dan resort mewah akan ditempatkan di kota raya dan tebingan pantai yang menjadi tumpuan orang ramai. Namun Hotel Deep Pit bertaraf lima bintang ini dibangunkan di dalam kuari terbengkalai di bandar Songjiang yang terletak di barat daya Shanghai kira-kira 35km dari pusat bandar Shanghai.

Kuari terbengkailai yang dibangunkan sebagai tapak hotel mewah [Sumber gambar]

2. Hotel bawah tanah

Selain pembinaan di kuari terbengkalai, apa yang paling menonjol tentang hotel ini adalah 16 dari 18 tingkat hotelnya secara teknikal dibina di bawah tanah, termasuk dua tingkat di bawah air. Dua tingkat di bawah air terdiri daripada bilik tamu dan restoran. Setingkat lagi pula menghadap ke akuarium bawah air dan menyediakan kemudahan kompleks sukan termasuk kolam renang. 

3. Konsep mesra alam menjadi daya tarikan utama

Di samping menjadi seni bina yang mengagumkan, bangunan Intercontinental Shanghai Wonderland yang dibina oleh pemaju hartanah Shimao Group turut memberi fokus pada prinsip reka bentuk mesra alam.

Hotel ini memiliki jana kuasa sendiri, termasuk untuk tujuan pemanasan dan pencahayaan melalui tenaga geoterma dan tenaga solar, serta bumbungnya yang diliputi tumbuhan hijau.

Pembangunan mesra alam [Sumber gambar]

4. Pemandangan yang menabjukkan

Hartanah mewah ini mempunyai 336 bilik dan suite. Para tetamu akan dapat menikmati panorama yang menarik dari balkoni bilik penginapan yang terdedah kepada pemandangan air terjun yang menakjubkan dari tebing-tebing sekitarnya. 

5. Gelombang projek seni bina di China yang didorong oleh perkembangan ekonomi 

Hotel ini merupakan sebahagian daripada gelombang projek yang didorong oleh rangsangan ekonomi China. Projek ini mengambil sebuah pasukan yang terdiri daripada lebih 5,000 orang arkitek, jurutera, pereka dan pekerja serta memakan masa lebih daripada 10 tahun untuk menyiapkan pembinaan hotel. 

Projek yang ditubuhkan seawal tahun 2006 ini tidak dapat memulakan kerja pembinaan berikutan timbulnya pelbagai kesukaran dan risiko, sehinggalah tahun 2013 barulah kerja-kerja pembinaan secara rasmi dimulakan. 

6. Reka Bentuk Mendapat Sentuhan Firma Atkins

Seperkara lagi yang menarik tentang hotel mewah ini adalah rupa bentuk hotelnya direka oleh syarikat Atkins iaitu sebuah firma reka bentuk yang sama yang terlibat dalam satu hotel yang paling mewah di dunia iaitu Burj Al Arab Hotel di Dubai. Manakala kerja-kerja melibatkan kejuruteraan hotel bawah tanah  pula dikendalikan oleh syarikat-syarikat China.

Comments

comments